Doa-doa Rasulullah ketika hijrah

Kaum musyirikin Mekah mempunyai dua kebimbangan. Pertamanya, bahaya yang akan menimpa kumpulan dagangan dan barang dagangan mereka yang akan melalui Madinah. Keduanya, kuasa politik yang mereka miliki di Tanah Arab akan mula melemah.

 

Atas dua kebimbangan dan ketakutan ini, ketua-ketua Quraisy berkumpul untuk mendapatkan kata sepakat apa yang harus dilakukan ke atas ketua yang menjadi musuh utama mereka pada tanggal 12 September 622 Masihi bersamaan dengan 26 hari bulan Safar.

 

Mereka ada tiga pilihan seperti didedahkan dalam al-Quran (Al-Anfaal 8:30): ikat dan penjara, bunuh atau dihalau keluar dari Mekah. Tanggal 13 September 622 Masihi, baginda Nabi Muhammad SAW memulakan hijrah baginda ke Mekah.

 

Kekerasan adalah jalan terakhir yang digunakan apabila kebatilan selama ini yang dianuti dan diamalkan oleh penduduk musryikin Quraisy tidak mampu lagi berdepan dengan kebenaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

 

Tidak ada kekuatan yang digembleng oleh musyrikin Quraisy dapat mengatasi rancangan Allah membawa keluar pesuruh-Nya daripada rancangan jahat mereka walaupun bilangan mereka ramai dan persiapan mereka juga rapi dengan ganjaran yang lumayan – 100 ekor unta.

 

Apabila Allah kehendaki “..dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (At-Taubah 9:40), tidak ada kekuatan dan kuasa yang dapat menghalang. Maka berhijrahlah Nabi Muhammad SAW bersama rombongan baginda dari Mekah ke Madinah.

 

Strategi baginda SAW dirancang dengan rapi selepas diperintahkan supaya berhijrah. Kunjungan baginda ke rumah Abu Bakar as-Siddiq RA juga pada waktu yang luar biasa iaitu pada waktu tengah hari di kala penduduk Mekah berehat dan tidak keluar dari rumah mereka kerana cuaca yang panas.

 

Hijrah Nabi Muhammad SAW juga satu rahsia yang hanya diketahui oleh ahli keluarga Abu Bakar as-Siddiq dan Ali bin Abi Talib RA, sepupu kepada baginda Nabi Muhammad SAW.

 

Kedua-dua Baginda Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar keluar melalui satu ruang kecil di belakang rumah Abu Bakar supaya hijrah mereka tidak dapat dikesan oleh penduduk Mekah.

 

Selepas rumah Abu Bakar, Gua Thur pula menjadi tempat persinggahan selama tiga hari tiga malam sebelum mereka berjumpa dan bertolak ke Madinah dengan dibantu oleh petunjuk jalan yang mahir dan cekap bernama Abdullah bin al-Uraiqit.

 

Abu Bakar telah menyerahkan terlebih dahulu kepada Abdullah dua ekor binatang tunggangan yang akan dikendarai mereka selepas mereka keluar dari Gua Thur.

 

Dua ekor binatang ini dipersiapkan dengan rapi oleh Abdullah dan beliau menepati janji seperti seorang profesional yang berkemahiran tinggi dan beramanah menunggu baginda Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar di tempat dan masa yang dijanjikan iaitu di Gua Thur.

 

Beliau membawa rombongan hijrah yang dimuliakan Allah melalui jalan yang tidak pernah dilalui dan tidak diketahui sebelum ini. Mengikut satu riwayat, hamba kepada Abu Bakar iaitu Aamir bin Fuhairah RA juga bersama-sama dalam rombongan ini.

 

Walaupun begitu, baginda Nabi Muhammad SAW tidak hanya bergantung kepada melaksanakan strategi yang dirancang dengan baik dan menepati masa dan ketika (perfect execution). Pergantungan kepada Allah adalah kekuatan yang tidak boleh dipandang ringan.

 

Mari kita sama-sama hayati doa-doa yang dipanjatkan oleh Nabi Muhammad SAW apabila baginda mula meninggalkan Mekah dan doa yang diperintahkan oleh Allah untuk dipanjatkan oleh baginda sepertimana dirakamkan dalam al-Quran.

 

Mudah-mudahan tahun Hijrah 1443 yang bakal kita lalui, kita juga mengungkapkan doa baginda ini memohon pertolongan Allah agar apa yang kita dihajati tercapai.

 

Hijrah ini menjadi titik tolak yang terpenting dalam sejarah manusia. Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah pada 12 Rabiulawal bersamaan dengan 23 September 622 Masihi. Dua doa baginda Nabi Muhammad SAW iaitu:

 

Doa 1

“Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisi-Mu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.” (Al-Israa’ 17:80)

 

Doa 2

“Semua pujian hanyalah kepada Allah, yang menciptakanku yang sebelumnya aku tidak wujud. Ya Allah, bantulah aku mengatasi keganasan dunia, perubahan masa dan kesusahan malam dan siang hari.”

 

“Ya Allah, jadikanlah sahabatku dalam perjalananku dan penggantiku ke atas keluargaku setelah pemergianku. dan berkatilah apa yang telah Engkau sediakan untukku, membuatkanku merendah diri untuk-Mu dan pada-Mu, Engkau membuat akhlakku terpuji dan yang paling disayangi-Mu. Jangan membuatku bergantung kepada orang lain.”

 

“Wahai Tuhan kepada yang lemah, aku memohon perlindungan dengan pelbagai kemuliaan-Mu,  di mana langit dan bumi bersinar dan dengannya kegelapan hilang,  dan di mana perkara yang pertama dan yang terakhir menjadi baik dan mulia  dan daripada kemarahan-Mu menimpaku dan daripada kemurkaan-Mu turun ke atasku.”

 

“Aku mencari perlindungan daripada terputusnya pertolongan-Mu, daripada tiba-tiba datangnya kemurkaan-Mu, daripada terhilangnya kesihatan yang baik yang Engkau memberkatiku dengannya dan daripada semua bentuk kemurkaan-Mu.”

 

“Ia adalah hak-Mu bahawa aku harus berusaha untuk menggembirakan-Mu sebanyak yang ku termampu. Tidak ada kebesaran dan kekuatan kecuali yang Engkau miliki.”

 

Rujukan: The Noble Life of the Prophet (PBUH) oleh Dr Ali Muhammad as-Sallabi

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia