Dalam dunia serba terbuka hari ini, maklumat mengalir deras tanpa sempadan. Media sosial menjadi lapangan untuk semua orang bercakap tentang pelbagai hal termasuk berkaitan agama.
Namun, dalam keterbukaan ini, kita sering terlepas pandang satu perkara penting yang diajar oleh Islam sejak awal iaitu berkaitan “disiplin ilmu”.
Islam tidak membenarkan sesiapa sahaja berbicara sesuka hati dalam hal yang bukan bidangnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan hukum-hakam, akidah dan syariat.
Fenomena ini bukan sekadar isu disiplin, ia menyentuh soal keselamatan kefahaman umat dan masa depan generasi akan datang.
Justeru, pendidikan yang menekankan asas Islam Rahmah seperti yang dipelopori oleh Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM melalui pendekatan AISAR (Asas Islam Rahmah) perlu dikuatkan dan disebarluaskan, agar masyarakat celik dalam memilih sumber ilmu, tahu siapa yang patut dipercayai dan memahami batas peranan masing-masing.
Disiplin ilmu dalam Islam: Serahkan kepada yang ahli
Allah SWT berfirman (maksudnya):
“Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah an-Nahl: 43)
Ayat ini menjadi prinsip asas dalam tradisi keilmuan Islam iaitu menyerahkan urusan kepada ahlinya. Apabila seseorang bukan ahli mengeluarkan pandangan, lebih-lebih lagi dalam isu besar seperti agama, kesannya bukan kecil. Ia boleh mengakibatkan kecelaruan, kekeliruan, fitnah dan bahkan kesesatan.
Rasulullah SAW turut memberi amaran tentang hal ini dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu secara sekali gus dari dada manusia, tetapi Allah mencabut ilmu dengan mematikan para ulama, sehingga apabila tidak ada lagi ulama, manusia akan mengangkat orang-orang jahil sebagai pemimpin, lalu mereka ditanya dan memberi fatwa tanpa ilmu. Maka mereka sesat dan menyesatkan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan bahawa apabila urusan ilmu tidak lagi berada di tangan para ahlinya, masyarakat akan tergelincir dari landasan yang benar. Hal ini bukan perkara kecil, tetapi satu bencana senyap yang merosakkan umat dari dalam dan secara perlahan-lahan apalagi jika situasi seperti ini dibiarkan saja.
Ilmu agama bukan sekadar petikan ayat
Kita tidak akan membenarkan jurutera berkisah tentang ubat. Sesiapa pun, tidak akan percaya jika seorang juruteknik menyampaikan hujahnya berkaitan undang-undang.
Namun mengapa dalam hal agama, masih ada segelintir individu yang berasa bebas bercakap sesuka hati hanya kerana petikan ayat dan populariti yang ada?
Sedarkah kita, ilmu agama adalah satu bidang yang mempunyai silsilah, sanad, metodologi dan kaedah tersendiri. Ia tidak cukup dengan membaca atau mengikuti video semata-mata.
Ulama terdahulu menghabiskan puluhan tahun menimba ilmu sebelum mereka berani mengulas hukum. Bahkan para sahabat sendiri, walaupun mereka hidup bersama Rasulullah SAW, namun sangat berhati-hati dalam menjawab soalan berkaitan hukum.
Maka dalam konteks masyarakat hari ini, penting kita memupuk kesedaran bahawa tidak semua orang boleh menjadi rujukan dalam agama. Disiplin ilmu perlu dipelihara agar umat tidak keliru dengan maklumat yang bercampur aduk antara emosi dan fakta apalagi dengan cakap sesedap rasa.
Implikasi ilmu tanpa disiplin
Antara kesan besar apabila disiplin ilmu diabaikan termasuklah:
i. Kekeliruan hukum: Orang awam tidak tahu mana satu panduan sahih. Apalagi jika seseorang itu baru mencari tahu mengenai agama Islam.
ii. Kehilangan adab berilmu: Sesiapa sahaja berasa layak untuk mengulas tentang agama, tanpa rasa bersalah, walaupun dirinya bukan ahli dalam sesuatu bidang tersebut.
iii. Keruntuhan institusi keilmuan: Ulama atau para asatizah (ilmuwan Islam) tidak lagi dihormati sebagai rujukan kerana masing-masing merasakan sudah tahu sesuatu itu berpandukan pembacaan buku atau tontonan video.
iv. Kemunculan ekstremisme atau liberalisme: Kedua-duanya berpunca daripada tafsiran agama tanpa asas atau kaedah ilmu yang betul lagi benar. Situasi ini sangat memberikan implikasi yang tidak sihat kepada masyarakat sehingga boleh mencetuskan polemik atau tragedi yang tidak diingini.
Inilah yang menjadi cabaran utama kita hari ini, bagaimana memastikan masyarakat terus terdidik dengan ilmu yang benar, sambil tetap merasai rahmat Islam yang indah dan menyatukan?
AISAR: Asas Islam Rahmah menjawab keperluan ini
Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM melalui pendekatan AISAR mengangkat satu naratif penting bahawa Islam bukan sahaja agama yang benar, tetapi juga agama yang membawa rahmat dan kesejahteraan untuk semua.
AISAR berlandaskan lima teras utama Maqasid Syariah:
i. Pemeliharaan Agama (Din)
ii. Pemeliharaan Nyawa (Nafs)
iii. Pemeliharaan Akal (Aql)
iv. Pemeliharaan Keturunan (Nasl)
v. Pemeliharaan Harta (Mal)
Melalui AISAR, masyarakat dididik untuk memahami agama secara holistik, bukan berdasarkan emosi semata-mata, tetapi dengan berpandukan ilmu dan kefahaman yang betul lagi benar.
Dalam konteks disiplin ilmu, AISAR menekankan bahawa menjaga agama (Hifz ad-Din) bukan sahaja dengan solat dan ibadah, tetapi juga dengan memastikan bahawa ilmu agama hanya disampaikan oleh mereka yang layak. Perkara ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab menjaga agama itu sendiri.
Ia selari dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Barang siapa yang dikehendaki oleh Allah untuk kebaikan, maka Allah akan faqihkan dia dalam agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menuju umat madani berilmu
Cabaran utama kita bukanlah kekurangan akses maklumat, tetapi kekurangan kepekaan terhadap siapa yang benar-benar berautoriti dalam sesuatu bidang ilmu.
Ramai masyarakat lebih mudah terpengaruh dengan selebriti agama daripada mendalami siapa sebenarnya mereka, memeriksa latar belakang pengajiannya, sanad ilmunya atau manhajnya.
Dalam suasana ini, pendekatan Madani yang dibawa oleh kerajaan hari ini yang menekankan nilai kemanusiaan, ilmu dan integriti perlu dijayakan bersama pendekatan Islam Rahmah yang dicanangkan oleh gerakan masyarakat seperti IKRAM.
Harapan kita ialah untuk melahirkan masyarakat:
1. Yang berilmu dan tahu batas bercakap
2. Yang menghormati kepakaran dan tidak memandai-mandai
3. Yang membudayakan ilmu, bukan sekadar mencetus sensasi
Disiplin ilmu adalah tanda Rahmah
Islam adalah agama ilmu. Dan ilmu dalam Islam tidak datang tanpa adab. Tidak semua orang boleh berbicara atas nama agama. Keterbukaan yang ada bukan suatu lesen untuk mencetuskan kekeliruan.
Kembalilah kepada prinsip Islam yang mendidik kita untuk bertanya kepada yang ahlinya, mendengar daripada yang layak dan memelihara ilmu sebagai warisan agung para nabi.
Disiplin ilmu adalah benteng pertama mempertahankan kesucian agama. Melalui pendekatan Asas Islam Rahmah (AISAR), masyarakat boleh diajak untuk kembali kepada kefahaman agama yang sahih, seimbang dan memanusiakan manusia.
Firman Allah (maksudnya):
“Dan janganlah kamu mengatakan terhadap apa yang disebut-sebut oleh lidahmu secara dusta: ‘Ini halal dan ini haram,’ untuk mengada-adakan kebohongan terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah tidak akan beruntung.” (Surah an-Nahl: 116)
Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang mencintai ilmu, menghormati ahli ilmu dan menjaga amanah ilmu dengan penuh rahmah bagi merealisasikan negara Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur iaitu negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun, insya-Allah.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat IKRAM