Dilema Siswazah Baharu: Emosi dan Solusi untuk Diri

Dilema Siswazah Baharu: Emosi dan Solusi untuk Diri | IKRAM

Bergelar seorang “fresh graduate”, banyak pengalaman yang pastinya menyedarkan diri bahawa kehidupan luar bukanlah seindah imaginasi ketika di bangku sekolah. Mungkin dahulu apa yang diamati hanyalah daripada perspektif seseorang yang belum mengenal erti kepayahan mendapatkan sesuatu.

Hampir semuanya dihidangkan selazatnya oleh ibu bapa. Sebagai anak kecil, titik keringat untuk membela kehidupan belum tercerna oleh akal fikiran yang cuma memikirkan keseronokan bermain bersama rakan-rakan.

Setelah melanjutkan pelajaran ke universiti, sedikit demi sedikit tirai kepayahan itu mula dirasai terutama daripada aspek kewangan dan pengurusan masa.

Tidak kurang juga, dugaan menimba ilmu serta cubaan mengadaptasi diri dengan persekitaran baharu mula menunjukkan tanda-tanda kesukaran yang sekali-sekala meruntuhkan semangat dan merobek jiwa. 

Namun, melihat rakan-rakan seperjuangan yang menghadapi situasi yang serupa untuk mencapai objektif yang sama, diri ini masih mampu bertahan untuk terus berjuang walaupun hati berkali-kali menghasut untuk menghentikan segala-galanya.

Apabila diri tersedar bahawa tempoh pengajian ini hampir menemui titik penamat, perasaan gusar melebihi keterujaan untuk bergelar graduan. Risau memikirkan masa depan dan mempersoalkan bagaimanakah diri mampu menghadapi dunia luar sebagai seorang dewasa.

Apakah diri mampu mencari posisi dalam sektor pekerjaan yang diidamkan walhal diri masih mencari hala tujuan? Persaingan yang sengit pula adakalanya menyempitkan peluang yang sedia terhad.

Bukanlah gaji yang tinggi dikejarkan oleh diri yang sedar bahawa itu hanyalah permulaan, namun ketidaktentuan mencari jalan untuk menimba pengalaman dengan picisan kemahiran itulah yang dirunsingkan. Usia yang hampir menjangkau 30-an pula menyebabkan diri mula berkira-kira sama ada mampu mencapai impian sebelum lewat usia.

Perasaan gusar semakin menebal apabila melihat rakan-rakan sebaya mula memegang jawatan tinggi serta mampu mengumpul harta pada usia yang muda.

Bukan cemburu dengan kejayaan mereka, sebaliknya merasakan diri tidak berguna kerana masih tercari-cari tujuan. Kini baru tersedar bahawa kedewasaan itu bukanlah fasa yang mudah seperti yang diidamkan.

Apabila melihat orang lain menikmati banyak perkara yang kita idam-idamkan, terbit suatu rasa seolah-olah kita jauh ketinggalan. Kita sering terlupa bahawa perjalanan setiap orang itu tidak semestinya sama kerana kita akan mendapatkan sesuatu perkara tepat pada masanya.

Sebahagian daripada kita ditakdirkan berkesempatan untuk melanjutkan pelajaran lebih lewat berbanding rakan-rakan seusia. Begitu juga soal jodoh, kesihatan dan sebagainya. 

Justeru, jangan meletakkan kayu ukur kejayaan dari satu arah sahaja, sebaliknya syukurilah apa yang ada kerana kehidupan kita ini boleh saja menjadi dambaan bagi ramai orang di luar sana.

Tidak kurang juga, akibat kehidupan yang dianggap gagal oleh sesetengah orang, kita mudah menyesali perkara yang lepas. Misalnya, siswazah yang masih bergelut mendapatkan pekerjaan berasa seolah-olah diri sudah membazirkan masa dan wang untuk menuntut ilmu kerana akhirnya tidak mendapatkan hasil yang diinginkan. 

Ingatlah bahawa pencarian ilmu bukanlah bertujuan mendapatkan pekerjaaan atau jawatan yang tinggi semata-mata. Ilmu seharusnya mampu memacu kita melihat dimensi yang lebih luas dan kekuasaan Allah SWT dalam mentadbir semesta alam.

Dalam pelayaran kedewasaan, erti perjuangan dan pengorbanan semakin sebati bagi melatih diri berjuang sendirian. Berbekalkan azam dan tekad, langkah demi langkah disusun untuk mengejar angan.

Angan itu adakalanya dapat dikecapi, namun adakalanya terdiam sepi. Akal dan hati berbisik bahawa itu bukan tanda untuk berhenti memandangkan jatuh bangun ialah resam kehidupan sehingga mati.

Adakalanya kegagalan dapat memaksa diri untuk bangun sendiri sekurang-kurangnya untuk mencari “ubat” bagi mengubati “luka”. Dalam perjuangan mencari “penawar’, dugaan lain mungkin menerpa hingga menyebabkan diri terjatuh berkali-kali.

Diri mungkin ditolak-tolak hingga visi mulai memudar, namun sisa kudrat masih cukup untuk meneruskan langkah menuju ke lokasi penamat.

Apabila menghadapi kesukaran dalam hidup, kita akan menghadapi dua keadaan iaitu sama ada terus berusaha dan meletakkan pengharapan kepada Allah SWT atau mempamerkan sikap seolah-olah sudah tawar hati dengan aturan Pencipta dan tidak mencari jalan untuk mengoreksi diri. Ikutilah jalan yang diredai Ilahi kerana Dialah pemegang takdir hakiki.

Islam mengajar kita supaya tidak berputus asa kerana setiap kesukaran pasti disertai dengan kemudahan. Amalkanlah empat perkara iaitu sabar, ikhtiar, doa dan tawakal. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan daripada harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Renungkan hikmah di sebalik dilema yang dihadapi dan yakinlah bahawa sifat sabar ini akan mendatangkan hasil pada kemudian hari. Tidak cukup dengan itu, ikhtiar juga perlu dilakukan sebagai jalan mendapatkan apa yang diinginkan.

Misalnya, bagi siswazah baharu, antara matlamat utama selepas tamat pengajian adalah mendapatkan pekerjaan. Antara usaha yang boleh dilakukan adalah mendapatkan nasihat daripada orang yang berpengalaman, memohon pekerjaan sama ada secara terus di sesebuah organisasi atau melalui aplikasi pekerjaan dan menambah baik kemahiran sedia ada.

Jadikan doa sebagai senjata untuk mencapai apa-apa yang dihajati dan bertawakallah kepada Allah SWT. Hentikan dilema ini dan yakinlah bahawa Allah SWT merupakan sebaik-baik Pemberi.

Khairunisa Zul Kuraini
Siswazah Linguistik Melayu, Universiti Malaya

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia