Dicekak sebab Rapatkan Saf: Kisah dan Pengajaran

Perkongsian hos stesen radio tempatan, Anas Tahir mengenai seorang remaja lelaki yang dicekak dan diherdik seorang pak cik sebaik selesai mengerjakan solat berjemaah di sebuah masjid di Lembah Klang mengejutkan banyak pihak.

Lebih mengejutkan lagi apabila insiden tersebut bukanlah disebabkan remaja tersebut melakukan kesalahan, sebaliknya berpunca daripada tindakannya yang prihatin untuk merapatkan saf ketika solat.

Remaja yang dikenali sebagai Waqiuddin dan kawan-kawannya bukanlah asing di masjid berkenaan. Mereka sekumpulan anak muda yang istiqamah hadir ke masjid untuk menunaikan solat berjemaah pada saban waktu.

Yang membezakan mereka dengan orang lain ialah mereka sangat menjaga saf jemaah sehingga tidak mahu membiarkan renggang ketika solat walaupun sedikit.

Apabila berenggang dengan makmum di sebelah, mereka cepat-cepat merapatkannya sesuai dengan hadis Nabi SAW yang bermaksud:

“Janganlah kamu meninggalkan ruang-ruang bagi syaitan. Barang siapa yang menyambungnya (saf), maka Allah akan menyambungnya dan barang siapa yang memotong saf, maka Allah akan memotongnya.” [Riwayat Abu Dawud (666), Sahih]

“Waqiuddin, budak muda yang saya selalu nampak berjemaah di masjid. Geng-geng dia ni memang selalu rapatkan saf macam orang-orang luar negara,” catat Anas.

Sambil mengongsikan beberapa gambar, Anas bercerita lagi:

“Inilah gayanya mereka rapatkan saf. Memang sampai bersentuh. Geng-geng muda ni memang dia orang rapat betul saf. Contohnya bila dia orang naik rakaat yang seterusnya tu, bila terjarak sikit, mereka akan cuba untuk rapatkan semula. Saya sangat puji dan sangat suka.”

Pak cik yang dimaksudkan solat di sebelah Waqiuddin. Tiba-tiba sehabis sahaja imam memberi salam, dia terus mencekak belakang leher Waqiuddin lalu menjerit, “Kau ni kurang ajar dengan orang tua!”

Seperti masih tidak berpuas hati lagi, pak cik tersebut bangun sambil “mengunci” tangan Waqiuddin ke belakang. Daripada cara dan kekuatannya, kalau tidak kena gaya, tangan remaja tersebut boleh tergeliat.

Meskipun diperlakukan begitu, Waqiuddin masih kekal tenang dan tidak membalas sedikit pun. Beberapa orang ahli jemaah termasuk Anas pada mulanya tergamam, cuma mampu beristighfar sambil mengurut-urut dada. Mujurlah drama itu cepat berakhir apabila pak cik tersebut berjaya ditenangkan.

Rupa-rupanya kejadian buli bukan berlaku di jalan raya dan asrama sahaja. Masjid pun tidak terlepas daripada insiden serupa. Bukanlah kita nak melabel pak cik itu sebagai pembuli. Dia mungkin ada alasan tersendiri yang menyebabkannya bertindak sedemikian.

Apa-apa pun, berlakunya hal tersebut antara seorang anak muda dan seorang dewasa, di dalam rumah Allah pula, tentunya sesuatu yang mengaibkan.

Si anak muda barangkali mahu bersungguh-sungguh menghidupkan sunah, manakala si pak cik pula mungkin tidak suka kakinya tersentuh dengan kaki orang lain berulang kali. Jadi, berlakulah apa yang telah berlaku.

Kalaupun pak cik berasa tidak selesa dan menganggap tindakan Waqiuddin itu sebagai kurang ajar, janganlah terlalu mengikut emosi.

Bak kata Anas, kalau rasa budak itu kurang ajar pun, tak bolehkah menyelesaikannya di belakang? Pak imam baru saja memberi salam dan beristighfar, tiba-tiba terdengar suara menjerit-jerit. Mungkin pak imam pun terkejut dengan kejadian yang tak semena-mena itu.

Banyak perkara yang dapat kita angkat sebagai pelajaran daripada insiden ini.

1. Akhlak dan adab

Jagalah adab di mana-mana. Remaja itu mungkin dianggap tidak beradab oleh sesetengah orang. Tetapi, salahkah dia hendak menyahut seruan Nabi? Salahkah dia dalam keadaan nak merapatkan saf itu, jari kakinya kerap tersentuh jari kaki orang di sebelahnya?

Atau adakah si pak cik yang patut berlapang dada untuk menerima teguran si anak yang tidak sedikit pun memalukan beliau di khalayak ramai? Adab bermasyarakat, lebih-lebih lagi di masjid mencerminkan akhlak kita yang sebenar. Renungilah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku tidak diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952), Sahih]

2. Jurang generasi

Masih banyak juga berlaku masalah jurang antara generasi. Yang tua berkata orang muda biadab, tak hormat orang tua, kurang ajar.

Sebaliknya yang muda berpandangan orang tua jumud, tak progresif, tak ikut perkembangan, tak terbuka minda sebab tak mahu belajar pelbagai ilmu yang bersepah dalam media sosial macam orang muda.

Masalah turun-temurun antara orang tua dan orang muda ini boleh selesai sekiranya semua menghayati hadis ini:

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi SAW bersabda (maksudnya):

“Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” [Riwayat al-Bukhari (5997)]

3. Peranan pendamai

Jika kita melihat dua pihak yang sedang bergaduh, bertindaklah segera untuk mendamaikannya, tetapi bukan semberono. Pastikan dahulu situasi difahami dan kita yakin ia tidak membawa kepada keburukan yang lebih besar.

Ada masa mungkin kita perlu bertahan dan menghubungi pihak keselamatan atau pihak polis. Tetapi dalam keadaan biasa, tenangkanlah keadaan dengan jalan percakapan, berpesan, memberi nasihat dan menyuruh bersabar.

Allah telah menggariskan kepada kita ciri-ciri orang yang tidak rugi dalam firman-Nya yang bermaksud:

“…dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.” (Surah al-Asr: 3)

Pada akhir perkongsian, Anas menukilkan satu catatan yang menarik:

“Adik, abang minta maaf, rasa bersalah tak tolong halang pak cik tu. Kau kuat dik, dapat tahan sabar. Abang doakan satu hari nanti kau akan jadi IMAM yang satu masa dulu digelar KURANG AJAR sebab rapatkan saf.”

Semoga kita semua dibimbing dan dikasihi Allah.

A Ralim M Yassen
Editor

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia