Fenomena keberanian yang menyesatkan dalam pelbagai isu sosial, politik, agama dan budaya hari ini menyaksikan realiti yang membimbangkan.
Mereka yang bersalah, sebagai contohnya yang menyebarkan kemungkaran, menyalahgunakan kuasa, memanipulasi agama dan merosakkan nilai masyarakat, sering kali tampil paling berani. Mereka berani bercakap, bertindak, malah memimpin.
Sebaliknya, mereka yang benar, orang baik, manusia yang berpegang pada prinsip dan nilai agama, lebih bersikap berdiam diri, berundur, hingga ada yang menyorokkan kebenaran atas alasan menjaga keharmonian, kononnya. Kenapa ini berlaku?
Ada ungkapan menyebutkan, “kerana diamnya orang baik.” Ya, tetapi hakikatnya lebih dalam daripada itu. Ia berkait dengan kefahaman terhadap ilmu, sikap terhadap amanah dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat Islam.
“Sesungguhnya orang yang paling penakut adalah orang yang tahu perkara salah sedang berlaku, namun ia diam kerana tidak mahu kehilangan zon selesanya.”
Mengapa mereka tampil mendominasi?
Mereka yang membuat salah atau kejahatan berani di khalayak kerana merasakan ramai yang menyokong. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW:
“Akan datang satu masa, umat-umat lain akan memanggil satu sama lain untuk menentang kamu seperti orang-orang yang makan memanggil satu sama lain ke hidangan mereka.”
Para sahabat bertanya: “Adakah kerana bilangan kita sedikit ketika itu?” Nabi SAW menjawab:
“Tidak, bahkan kamu ramai ketika itu, tetapi kamu umpama buih di lautan. Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu daripada hati musuh-musuh kamu dan meletakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn.”
Mereka bertanya: “Apakah itu al-wahn?” Baginda bersabda: “Cinta dunia dan takut mati.” (HR Abu Dawud, 4297, Sahih)
Realitinya, kumpulan yang salah menjadi berani kerana mereka tahu orang yang benar takut kehilangan kedudukan, takut dikritik dan “cintakan zon selesa”. Ketika situasi yang lain, mereka tidak peduli terhadap dosa.
Dalam Surah al-Kahfi, Allah mengisahkan bagaimana mereka yang sombong dan menentang kebenaran berkata:
“Aku tidak yakin kiamat akan datang, dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapatkan balasan yang lebih baik daripada ini.” (Surah al-Kahfi: 36)
Mereka berani kerana tidak takut hari pembalasan dan merasakan dunia ini milik mutlak mereka tanpa akan adanya hari pembalasan. Tidak terkecuali, mereka bijak memanipulasi kefahaman agama.
Sebahagian golongan sesat memetik ayat-ayat al-Quran untuk menyokong kebatilan mereka. Hal ini jelas sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Maka celakalah orang-orang yang menulis Kitab dengan tangan mereka, lalu mereka berkata: ‘Ini daripada Allah’…” (Surah al-Baqarah: 79)
Bukan sekadar soal keberanian
Ada yang menyangka orang baik diam kerana lemah. Tetapi sebenarnya sering kali mereka ini diam kerana beberapa alasan, antaranya tidak mahu berbalah. Perkara ini jelas sebagaimana dalam Surah al-Furqan ayat 63 (maksudnya):
“Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Penyayang itu adalah orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang bodoh menyapa mereka, mereka berkata: ‘Salam’.”
Namun, dalam konteks menegakkan kebenaran, diam boleh menjadi satu bentuk pengkhianatan terhadap amanah ilmu dan agama. Selain itu, salah faham terhadap konsep hikmah juga sering menjadi penghalang.
Pada zaman ini, masih ada yang menyangka hikmah itu ialah diam dan bersabar semata-mata. Hakikatnya, ia tidaklah sedemikian. Hikmah dalam dakwah ialah meletakkan sesuatu pada tempatnya dan yang utamanya termasuklah berkata benar pada masa yang tepat.
Rasulullah SAW bersabda:
“Jihad yang paling utama adalah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.” (HR Abu Dawud, 4344 dan Tirmizi, 2174, Hadis Hasan)
Ilmu tanpa kefahaman: Masalah kronik ummah hari ini
Ramai orang hari ini berilmu tetapi tidak faham. Mereka menghafaz dalil, tahu istilah dan boleh berhujah, tetapi tidak tahu bagaimana menggunakannya untuk membina kebenaran. Ibn Qayyim al-Jawziyyah pernah berkata:
“Ilmu tanpa amal adalah kegilaan, dan amal tanpa ilmu adalah kesesatan.”
Malah, Allah SWT telah mengingatkan hambanya tentang mereka yang membawa kitab tetapi tidak memahaminya:
“Perumpamaan orang yang diberi Taurat, kemudian mereka tidak melaksanakannya adalah seperti keldai yang membawa kitab-kitab.” (Surah al-Jumu’ah: 5)
Sedikitnya sokongan kepada kebaikan
Sedarkah kita, ketika kebaikan tidak disokong, maka kebenaran menjadi sunyi? Dan kesunyian itu memberi laluan kepada kebatilan untuk mendominasi. Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa antara kalian melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka dengan hatinya. Dan itu adalah selemah-lemah iman.” (HR Muslim, 78)
Kita tidak cukup hanya tidak menyokong keburukan, tetapi seharusnya menyokong kebaikan demi kesejahteraan ummah yang lebih rahmah.
Akibat diam dan tidak menyokong kebenaran
Kebenaran menjadi asing sebagaimana yang dijelaskan oleh sabda Nabi SAW:
“Islam bermula dalam keadaan asing dan akan kembali menjadi asing sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing.” (HR Muslim, 145)
Menormalisasikan kejahatan bermaksud lingkungan masyarakat yang tidak membetulkan kesilapan akan menyaksikan kejahatan menjadi budaya, bukan lagi perkara luar biasa. Firman Allah (maksudnya):
“Dan apabila dikatakan kepada mereka: ‘Janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi’, mereka menjawab: ‘Sesungguhnya kami hanyalah orang-orang yang mengadakan pembaikan.’” (Surah al-Baqarah: 11)
Bagaimana seharusnya seorang Muslim bertindak?
-
Menuntut ilmu dengan kefahaman
“Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa tidak pergi sebahagian daripada setiap golongan antara mereka untuk memperdalam pengetahuan agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka kembali, agar mereka dapat menjaga diri?” (Surah at-Taubah: 122)
-
Menjadi penyokong kepada kebenaran
“Wahai orang-orang yang beriman! Jadilah kamu penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah meskipun terhadap diri kamu sendiri…” (Surah an-Nisa’: 135)
-
Menasihati dan berdakwah dengan hikmah
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik…” (Surah an-Nahl: 125)
Hindari program yang menyalahi agama
Banyak program hari ini yang “bertopengkan agama” tetapi sebenarnya memesongkan. Antaranya ialah:
- Kursus motivasi berunsur syirik (contoh: scan aura, numerologi, tilik)
- Majlis zikir bercampur dengan maksiat
- Seminar Islamik yang diselubungi ajaran sesat dan dakyah batil
- Konten media sosial “Islamik” tetapi penuh unsur fitnah dan lucah
Setiap anggota masyarakat perlu celik ilmu untuk membezakan antara ajaran benar dan palsu.
Bangkit menjadi cahaya di tengah kegelapan
Diamnya orang baik bukan semestinya tanda kalah, tetapi jika berterusan, ia akan membunuh cahaya dalam masyarakat. Apabila yang baik berundur, maka yang batil dengan beraninya mengambil tempat.
Kita mesti bangkit, menjadi penegak ilmu yang benar, mendukung pengetahuan bersama kefahaman. Kita mesti menjadi penyokong kebenaran yang membimbing masyarakat ke arah kebaikan, bukan sekadar penonton.
“Dan hendaklah ada antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (Surah Ali Imran: 104)
Justeru, setiap lapisan masyarakat seharusnya kerap hadir ke majlis ilmu, fokus kepada mendapatkan ilmu dan kefahaman yang benar, wujudkan komuniti penegak amar makruf nahi mungkar di pelbagai peringkat, perkasakan golongan agamawan yang berani menegur, didik masyarakat supaya mengambil tahu dan peduli tentang ajaran sesat moden serta menjadikan media sebagai medan menyebar kebaikan, bukan kebencian.
Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia