Sambutan yang amat menggalakkan diterima daripada dua buah sekolah yang dikunjungi, iaitu SMK Arshad, Kota Belud pada sesi pagi diikuti dengan kunjungan ke SMA Tun Ahmad Shah, Inanam pada sesi petang dengan jumlah peserta seramai 70 orang dari setiap sekolah.
Program ini dijayakan oleh kontinjen IKRAMTeens seramai 10 orang bersama sukarelawan tunggal dari Hyogo, Encik Morita Tetsuo. Program ini bertujuan memperkenalkan IKRAMTeens kepada remaja di samping mepromosikan kepentingan dan kaedah pertolongan cemas secara umum.
Antara aktiviti yang dijalankan adalah ceramah serta demonstrasi CPR dan AED (Automated Electrical Defibrillator), latihan pertolongan cemas pertama serta permainan kepimpinan. Ceramah dan demonstrasi yang disampaikan dalam bahasa Jepun telah diterjemahkan oleh Dr Fatimah.
Respons yang diterima daripada semua pihak sangat memuaskan. Cikgu Ashmir dari SMK Tun Arshad mencadangkan agar kursus ini diadakan lagi khas untuk melatih guru-guru. Encik Morita turut berbesar hati dengan kerjasama yang diberikan oleh IKRAMTeens dan ingin meneruskan kerjasama ini lagi pada masa akan datang.