Datuk Seri Salahuddin Ayub: Imbauan Perjalanan Akhir

Datuk Seri Salahuddin Ayub: Imbauan Perjalanan Akhir | IKRAM

Pada Jumaat, 21 Julai jam 10.15 malam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61, dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah selepas mengalami mual dan muntah-muntah.

Menurut kenyataan Setiausaha Akhbarnya, Nur Syakirin Husnal, Salahuddin telah disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar dan telah menjalani pembedahan keesokan paginya.

Usai pembedahan, beliau dalam keadaan stabil, ditidurkan dan menerima rawatan susulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) serta dalam pengawasan pasukan perubatan hospital.

Pada Ahad, 23 Julai jam 9.23 malam, Salahuddin disahkan meninggal dunia dan jenazahnya dihantar pulang ke rumah ibunya di Kampung Serkat, Tanjung Piai, Johor.

Jenazah Ahli Parlimen Pulai itu tiba di Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, kira-kira 2.30 pagi Isnin, 24 Julai dan van jenazah yang membawanya kemudian diiringi oleh beberapa kenderaan polis ke Tanjung Piai.

Jenazah yang diiringi isterinya, Datin Seri Fatimah Taha dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, tiba di rumah ibunya Aminah Abdullah, 83, pukul 3.35 pagi.

Suasana hiba dapat dirasai dengan kehadiran ahli keluarga dan sahabat handai yang mula berkumpul di rumah ibu Almarhum sejak 12 tengah malam.

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum. Turut menzahirkan ucapan takziah ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut catatan di Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara serta menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat dan negara.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang tiba kira-kira pukul 11 pagi hari ini mengimamkan solat jenazah di Masjid Jamek Dato’ Haji Noh Gadot di Serkat. Solat jenazah dilakukan sebanyak lima kali termasuk diimamkan oleh anak sulung Almarhum, Iskandar Zulkarnain Salahuddin, 37. 

Anwar diiringi Mohamad Sabu dan Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani.

Turut kelihatan beberapa menteri Kabinet, antaranya Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menghadiri solat jenazah.

Beberapa pemimpin politik antaranya Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng, Naib Presiden Amanah, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad dan Pesuruhjaya PAS Johor, Abdullah Husin turut hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Anwar menyifatkan Datuk Seri Salahuddin sebagai seorang yang konsisten dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama berkaitan kos sara hidup.

Tambahnya, Almarhum amat dedikasi dalam menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan sentiasa bersemangat untuk meringankan beban rakyat menerusi konsep Rahmah yang diperkenalkan kerajaan.

“..dan tentulah kehilangannya yang saya kira bukan sahaja sahabat, tapi juga sebahagian daripada negara (turut merasai), kerana Allahyarham Salahuddin sinonim dengan Rahmah.”

“Itu menunjukkan sifat dia (Allahyarham) yang konsisten dalam mesyuarat-mesyuarat, perjumpaan dengan saya, perjumpaan dengan jemaah menteri, cari jalan dan kaedah untuk ringan beban rakyat.”

“Negara kehilangan seorang tokoh dan saya harap semangat dan dedikasi beliau menjadi teladan terutama sifat penyayang dan rahmah yang beliau tonjolkan dan dedikasikan sehingga akhir hayat,” katanya kepada pemberita selepas mengimamkan solat jenazah tersebut.

Perdana Menteri juga mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan ditempatkan dalam kalangan solihin.

Setelah itu, jenazah ADUN Simpang Jeram itu selamat dikebumikan pada pukul 12.05 tengah hari di Tanah Perkuburan Jalan Sulong, Serkat.

Ribuan rakan politik, saudara mara, sahabat handai dan orang ramai hadir di masjid berkenaan serta di tanah perkuburan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

Antara yang turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh.

Ahmad Zahid berkata, beliau mahu inisiatif Payung Rahmah diteruskan oleh pengganti Almarhum nanti kerana rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) dan miskin tegar pastinya mengharapkan inisiatif berkenaan dapat diteruskan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup ketika ini.

“Allahyarham seorang yang sangat baik, rajin bekerja tidak mengira masa dan tidak kira di mana jua. Dalam Kabinet, beliau merupakan seorang yang sangat bekerja keras dan teliti terutamanya apabila menjalankan tentang inisiatif Payung Rahmah.

“Ia harus diberikan kesinambungan oleh sesiapa yang akan dilantik menjadi menteri selepas ini kerana rakyat pasti teringat akan sumbangan beliau pada negara melalui skim Payung Rahmah ini,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir.

Sejak memegang jawatan Menteri KPDN, Salahuddin telah melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah jenama Payung Rahmah bagi membantu rakyat menghadapi pelbagai cabaran berhubung kenaikan kos sara hidup terutama ketika negara dan ekonomi sedang pulih daripada kesan pandemik COVID-19.

Pertubuhan IKRAM Malaysia turut tidak ketinggalan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Almarhum dan warga Parti Amanah Negara, serta berharap agar dikurniakan ketabahan dan kesabaran dengan pemergian ini.

Menurut IKRAM, Almarhum seorang yang berakhlak mulia, santun tutur bicara, disegani kawan dan lawan, serta komited dalam perjuangan membela dan meringankan beban rakyat.

“Antara bukti komitmen beliau ialah melalui pengenalan program khas Menu Rahmah yang menawarkan jualan menu makanan serendah RM5, di bawah inisiatif Payung Rahmah.”

“Dengan segala perjuangan dan jasa besarnya untuk membela rakyat, semoga Almarhum diampuni dan dirahmati, serta digolongkan dalam kalangan mukminin dan solihin, insya-Allah.”

Timbalan Presiden Amanah itu meninggalkan isteri, Datin Seri Fatimah Taha serta empat anak lelaki dan dua anak perempuan.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia