Menurut Banci Malaysia 2020, penduduk warga emas di negara ini mencapai 3.4 juta atau 10.4 peratus daripada keseluruhan penduduk. Dengan unjuran 15.3 peratus pada tahun 2030, Malaysia akan mempunyai ramai datuk dan nenek.
Kini ramai datuk nenek yang berpendidikan, berpengalaman dan mempunyai sumber untuk melayan cucu dengan lebih baik.
Usia menjadi datuk dan nenek juga bertambah muda. Ini adalah salah satu bentuk perubahan yang sedang dilalui oleh keluarga di Malaysia.
Soalannya, adakah yang bakal menjadi datuk nenek bersedia? Kini datuk nenek tidak boleh mengelak daripada berperanan mengasuh dan mendidik cucu, sama ada suka atau sebaliknya.
Peranan mengasuh oleh datuk nenek yang berpengetahuan dan berpengalaman akan banyak membantu ibu bapa. Sebab itu mereka layak dipanggil sebagai ‘Rakan Pengasuh Pintar.’
Di sesetengah negara Barat, telah ada pendekatan yang dikenali sebagai Team Parenting atau keibubapaan berpasukan. Namun, kumpulan ini umumnya tidak melibatkan datuk nenek.
Datuk nenek mempunyai daya istimewa untuk menyayangi cucu dengan lebih terbuka sehingga mampu membantu ibu bapa untuk menjadi pelengkap dalam asuhan anak-anak.
Sebagai rakan asuhan pintar, datuk nenek boleh memberi komitmen untuk menyumbang ke arah kesejahteraan cucu dan ibu bapa. Antara ciri-ciri rakan asuhan pintar adalah:
1. Menghayati tuntutan mengasuh dan memelihara cucu-cucu agar selamat di dunia dan akhirat.
2. Menyokong usaha asuhan dan didikan ibu bapa ke arah kesejahteraan cucu-cucu.
3. Memelihara hubungan mesra bersama ibu bapa dan cucu.
4. Mengelak daripada berkonfrontasi dengan ibu bapa dan cucu terutama dalam hal berkaitan asuhan dan didikan anak-anak.
Allah SWT mengingatkan kita menerusi Surah at-Tahrim ayat 6 agar orang-orang beriman berusaha menyelamatkan keluarga daripada api neraka.
Sudah tentu datuk nenek yang amat menyayangi cucu tidak mahu melihat mereka terjebak dengan kegiatan atau aktiviti yang boleh merosakkan akidah dan akhlak.
Datuk nenek boleh membantu ibu bapa dan cucu dalam membimbing mereka menjadi individu yang baik. Kehadiran datuk nenek adalah sebagai pelengkap usaha ibu bapa, bukan mengambil alih.
Sokongan daripada datuk nenek amat diperlukan seperti memberi tunjuk ajar pada hari-hari permulaan anak dan menantu menjadi ibu bapa.
Datuk nenek mesti menghormati gaya asuhan ibu bapa kerana banyak perkara yang mereka ingin belajar sendiri termasuk membuat kesilapan. Berilah nasihat apabila diminta dan tegurlah dengan cara yang lunak.
Apabila hadirnya seorang cucu, keluarga yang besar akan merasai perubahannya. Selalunya bermula dengan kegembiraan dan keterujaan. Gaya hubungan dalam keluarga akan berubah, tetapi yang paling ketara adalah hubungan ibu bapa dengan datuk nenek.
Jika hubungan itu sedia mesra, maka akan bertambah ceria dan bahagialah. Manakala jika hubungan datuk nenek dengan ibu bapa sememangnya dingin, inilah masanya untuk menghangatkannya.
Apa pun keadaannya, penting bagi datuk nenek memelihara hubungan mesra dengan anak dan menantu. Ini kerana ia menjadi landasan buat cucu menelusuri kehidupan dan kasih sayang dalam keluarganya.
Walau bagaimana gembiranya datuk nenek menunggu kehadiran seorang cucu terutama yang sulung, ibu bapa mereka lagilah teruja dengan kehadiran seorang anak yang baharu.
Banyaklah yang dirancang oleh kedua-dua pasangan suami isteri untuk mengasuh dan membesarkan anak tersebut dengan cara yang mereka fikir terbaik.
Ibu bapa sekali sekala pastinya akan membuat kesilapan dalam mengasuh anak. Ia adalah sebahagian daripada lumrah menjadi ibu dan bapa. Kesilapan yang dibuat akan diperbetulkan dengan cara yang mereka tahu.
Di pihak yang lain pula, datuk nenek mempunyai pelbagai cadangan untuk mengasuh cucu mereka. Alasan mereka adalah pengalaman yang luas dan telah diuji selama bertahun-tahun dan hasilnya dapat dilihat dengan nyata. Pertembungan kadangkala boleh berlaku. Apa pun sebab pertembungan itu, datuk nenek perlulah faham mereka adalah rakan pengasuh sekunder dan bukan pengasuh utama.
Sebagai rakan pengasuh, datuk nenek mesti mengelakkan konflik bersama ibu bapa kerana jika berlaku, ia akan hanya mewujudkan perasaan tidak selesa atau stres. Kadangkala untuk membetulkan kembali keadaan akan memakan masa yang panjang.
Rozalli Hashim
Ketua Kumpulan Fokus Institusi Keluarga Utuh
Kluster Masyarakat Progresif
Pertubuhan IKRAM Malaysia