PUTRAJAYA – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) baharu, Datuk Hj Hasanuddin Mohd Yunus pada Khamis.
Dalam pertemuan itu, Datuk Hasanuddin mengiktiraf usaha-usaha dakwah NGO Islam seperti IKRAM dan ABIM/WADAH yang telah melahirkan aktivis-aktivis dakwah serta memberi kesan dan membawa perubahan kepada kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
Pihak IKRAM telah berbincang beberapa aspek tumpuan utama iaitu membumikan kefahaman Islam wasatiy, mengukuhkan perpaduan ummah, meneraju dakwah Inklusif, modul kepimpinan dan cadangan Ruang SALAM oleh Wanita IKRAM.
Dalam pada itu, Presiden IKRAM, Hj Badlishah Shah Baharin menekankan bahawa usaha harus diberikan kepada pembangunan komuniti, membina modul solusi dan dapat memberikan impak terus kepada masyarakat.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada kepimpinan YADIM atas kesudian menerima kunjungan hormat IKRAM dan berharap ruang kerjasama dapat diperkasakan lagi pada masa akan datang dalam membangunkan dakwah di Malaysia.
Hadir dalam pertemuan itu Timbalan Presiden IKRAM Jusni Yusoff, Ketua Wanita Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh, Setiausaha Agung Hj Shahrul Aman Mohd Saari serta Ahli Jawatankuasa Pusat Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib dan Hj Azman Abd Rashid.
Turut bersama mewakili YADIM ialah Timbalan Yang Dipertua Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin @ Che Wan, Ketua Pegawai Eksekutif Ustaz Hj Zamri Zainal Abidin serta Pn Rohaizah Jawahir dan Abdul Hafiz Mat Tuah daripada Bahagian NGO, Rakan Strategik dan Pembangunan Wanita.