Dakwah Era Digital: Teknologi Mesti Dipandu oleh Nilai

KUALA LUMPUR – Teknologi kini mesti dipandu oleh nilai, kerana kecerdasan buatan (AI) tanpa akhlak akan melahirkan kekeliruan, bukan kebenaran, tegas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli.

“Sebab itu, kita memerlukan satu kerangka nilai yang jelas agar penggunaan data dalam dakwah kekal beretika, beramanah dan berteraskan prinsip Islam,” ujar beliau ketika merasmikan “Konvensyen Dakwah Negara: Dakwah Mengharungi Era Digital dan Pasca-Normal” hari ini.

Tambahnya, konvensyen ini bukan sekadar medan wacana, tetapi ruang muhasabah bersama tentang ke mana arah dakwah kita, serta pembentangan hasil perbincangan dan resolusinya diharapkan dapat menjadi panduan tindakan kepada semua pihak iaitu kerajaan, NGO, pendakwah, pengamal media dan masyarakat awam.

“Kita mahu dakwah di Malaysia terus bergerak sebagai dakwah yang menyatukan, bukan memecahkan; dakwah yang mendidik, bukan menghukum; dakwah yang tegas pada prinsip, tetapi lembut pada pendekatan.”

“Inilah dakwah yang selari dengan prinsip wasatiyyah dan kepelbagaian masyarakat di negara ini,” katanya mengakhiri ucapan.

Seterusnya beliau turut melancarkan buku “Asas Islam Rahmah (AISAR)” terbitan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). Konvensyen turut diserikan dengan kehadiran Presiden IKRAM, Haji Badlishah Sham Baharin, Yang Dipertua YADIM, Datuk Dr Hasan Bahrom dan Timbalan Pengerusi IKIM, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohd Yusof Hj Othman.

Konvensyen Dakwah Negara anjuran IKRAM ini merupakan satu projek di bawah Program Dakwah Negara 2025 yang diselaraskan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan tajaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), bertujuan untuk menyediakan platform pembentangan dan perbincangan intelektual untuk memahami cabaran dakwah era digital, serta menghasilkan satu kerangka Model Dakwah Digital Nasional yang komprehensif.

Hampir 200 peserta yang berhimpun dalam konvensyen ini terdiri daripada aktivis NGO Islam dan dakwah utama di Malaysia, pensyarah dan penyelidik IPT, pakar digital, AI dan teknologi, pempengaruh dai digital, pelajar universiti dan aktivis belia, serta wakil agensi agama peringkat negeri dan persekutuan.

Dalam sesi pembentangan pada paginya, tiga pembentang menyampaikan huraian dan membawa sudut berbeza dari aspek naratif Islam dalam ruang digital (Ts. Dr. Azman Ali), dakwah dan psikologi masyarakat digital (Tn. Baktiar Hasnan – Persatuan Psikologi Malaysia), serta sistem data, AI dan big data untuk dakwah (Profesor Ts. Dr. Norita Md. Norwawi – USIM).

Pada petangnya, ia diikuti dengan sesi ‘breakout’ untuk membincangkan pembentangan pakar secara berkumpulan menghasilkan satu ‘mini-framework’ untuk digabung kepada Model Dakwah Digital Nasional.

Program ini diharap dapat memainkan peranan besar dalam merangka hala tuju dakwah negara yang lebih tersusun, berasaskan data dan sesuai dengan realiti masyarakat digital, sekali gus memberikan impak nasional yang signifikan serta meninggalkan nilai tambah kepada seluruh ekosistem dakwah negara, insya-Allah.

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia