SERI KEMBANGAN – Satu sesi bual bicara yang dinamakan Sembang Santai Daie Muda YADIM telah berlangsung dengan jayanya di dewan pejabat Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) pada Jumaat, 11 Julai lalu.
Program ini dianjurkan bersama oleh Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dan Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) dengan penyertaan lima orang pelatih Daie Muda YADIM.
Tiga pelatih Daie Muda YADIM yang terdiri daripada Nurul Syuhada’ Mohd Kamil sebagai moderator, Nur Hikmah Bakhtier Effandy dan Muhammad Adib Asyraf Ahmad Kamarut sebagai ahli panel. Dua lagi pelatih yang berperanan di belakang tabir iaitu Nursyazwina Zaidi dan Muhammad Faizal Duraim.
Program bual bicara ini membincangkan salah satu topik utama dalam buku Asas Islam Rahmah (AISAR) terbitan IKRAM, iaitu berkaitan adab dalam Islam.
Perbincangan itu menekankan kepentingan memahami dan menghayati adab sebagai sebahagian daripada identiti dan cara hidup seorang Muslim.
Antara inti pati yang dikongsikan termasuklah keperluan membina adab berdasarkan fitrah dan naluri manusia, adab terhadap Allah SWT sebagai hamba-Nya, serta adab terhadap alam sekitar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab khalifah di muka bumi.
Program ini bertujuan membentuk jati diri pendakwah muda yang bukan sahaja berilmu tetapi juga beradab, bersesuaian dengan matlamat melahirkan pendakwah berwibawa dalam menyampaikan mesej Islam secara hikmah dan penuh kasih sayang.
Harapan penganjur adalah agar platform seperti ini dapat diteruskan untuk melahirkan generasi pendakwah muda yang bukan hanya memahami ajaran Islam secara teori, tetapi juga mampu mengamalkannya dalam kehidupan seharian dengan akhlak dan adab yang tinggi.
Bicara yang dihadiri kira-kira 30 orang turut diserikan dengan aktiviti kuiz dan tekaan bilangan gula-gula dalam balang yang mencuit hati, serta disajikan dengan makan tengah hari.
Buku Asas Islam Rahmah (AISAR) yang dibincangkan dalam program ini boleh dibeli melalui dua pautan berikut:
Dalam perkembangan berkaitan, Kuliah Maghrib AISAR yang keempat akan disampaikan oleh Naib Presiden IKRAM, Ustaz Hj Burhanudin Lukman pada Khamis, 24 Julai ini bertempat di Masjid Ibn. Khaldun, Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur.