Pengurus Korban, Abdul Hafidz Hashim berkata, pada tahun ini, Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) mengamanahkan Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) menguruskan Program Qurban Kasih Ummah 1436H (QKU)*.
“Program yang menginjak usia 17 tahun pelaksanaannya akan dilaksanakan di 18 negara iaitu: Afghanistan, Bangladesh, Filipina, Indonesia, Iraq, Kemboja, Lubnan, Malaysia, Myanmar, Nepal, Palestin, Pakistan, Sri Lanka, Sudan, Syria, Thailand, Vietnam dan Yaman.
“Harga satu bahagian lembu ialah RM420 dan seekor kambing RM580. Harga tersebut adalah harga pertengahan antara negara-negara perlaksanaan. Konsep QKU adalah, lebihan dari tempat yang murah akan menampung harga di tempat yang mahal,” katanya.
QKU turut melaksanakan korban kambing khusus untuk Syria dengan harga RM880 seekor. Disebabkan kesukaran mendapatkan lembu, maka hanya korban kambing sahaja dilaksanakan di sana.
Tahun ini juga, QKU memperkenalkan kembali korban yang dagingnya ditinkan sebelum dihantar ke Palestin, Syria dan Lubnan. Sebagai alternatif kepada harga yang terlampau mahal di lokasi tersebut, QKU menawarkan khidmat ini pada harga RM400 untuk satu bahagian lembu.
Kelebihan korban yang ditinkan ini ialah ia boleh dijadikan stok makanan dalam waktu kesukaran. Ia juga boleh disimpan untuk tempoh yang lama walaupun tiada peti sejuk. Jadi, ia sangat sesuai untuk dihantar ke kawasan yang bergolak dan khemah-khemah pelarian.
Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Nor berkata, umat Islam di Malaysia sungguh beruntung, walaupun kehidupan sederhana tetapi tiba Aidiladha, ramai pihak bahagikan daging korban sehingga melambak.
“Berbeza dengan saudara Islam kita di sana (bumi bergolak) seperti Gaza dan Iraq. Setahun sekali belum tentu dapat merasa. Jadi, kami menggunakan inisiatif dengan merebus daging separuh masak dan ditinkan.
“Dianggarkan satu tin bersamaan 500 gram. Daging korban yang ditinkan mampu bertahan sehingga setahun lamanya. Jika anda berada bersama mereka pasti air mata akan menitis saat melihat bagaimana mereka meraikan kedatangan kami,” katanya.
Masyarakat Islam disarankan untuk membudayakan ibadah korban dan memperluaskan kebaikannya. Ini secara langsung kita dapat menghulurkan bantuan kepada umat Islam yang sering ternanti-nanti berita gembira setiap kali datangnya Aidiladha.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang www.ramadhan-qurban.org atau hubungi 019-2276760. Selain penyertaan korban, akikah juga boleh dibuat secara online, aplikasi WhatsApp dan Telegram. Bayaran boleh dibuat ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad di Maybank (No. Akaun: 5642 5856 0698) atau Bank Islam (No. Akaun 1209 2010 0349 04).
Sumber: Sinar Harian (18 September 2015)
Link: http://www.sinarharian.com.my/rehal/nikmat-korban-1.432219
*Penyertaan qurban masih dibuka hingga Isnin, 21 September 2015
‪#‎QurbanKasihUmmah‬