SERI KEMBANGAN – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bahawa Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mula dijual pada Isnin.
“SPR memaklumkan jualan itu akan dibuat melalui lbu Pejabat SPR di Putrajaya atau di Pejabat Pilihan Raya Negeri Johor,” sebagaimana kenyataan SPR pada Selasa.
Badan itu turut menegaskan bahawa pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi warganegara Malaysia yang telah mencapai umur 18 tahun dan ke atas adalah berdasarkan maklumat warganegara yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Negara.
“SPR menasihatkan kepada semua bakal pengundi PRN Johor untuk membuat semakan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka di pautan atau aplikasi mudah alih MySPR Semak atau menelefon ke talian 03-88927018.”
Terdahulu, SPR turut mewartakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan Disember Tahun 2021 (DPT BLN12/2021) pada 14 Januari 2022 dan Daftar Pemilih Induk 2021 (DPI 2021) pada 17 Januari lalu.
“Bermula dari tarikh pewartaan tersebut, DPT BLN12/2021 dan DPI 2021 terbuka untuk disemak melalui beberapa kaedah semakan yang disediakan sepertimana dimaklumkan oleh SPR melalui kenyataan media bertarikh 14 Januari 2022,” ujarnya.
Tambahnya lagi, antara kaedah semakan yang disediakan secara dalam talian adalah portal rasmi SPR, aplikasi dalam talian atau mudah alih MySPR Semak, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri dan semakan boleh dibuat mulai 21 Februari 2022.