“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 1,241 kes (32.72 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Jelasnya, dengan 131 kes baharu yang telah dilaporkan, ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 3,793 kes.
“Sehingga kini, seramai 102 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 54 kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan pertambahan satu (1) lagi kes kematian dengan jumlah keseluruhan kes kematian COVID-19 negara sebanyak 62 kes iaitu 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
Tambah Noor Hisham, terdapat dua (2) kluster COVID-19 yang memberi impak secara mendadak dalam peningkatan kes-kes COVID-19 iaitu persidangan keagamaan di gereja selama tiga hari di Kuching, Sarawak yang mana seramai 83 orang telah disahkan positif.
Manakala satu lagi kluster ialah majlis perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor yang mana 88 kes telah disahkan positif COVID-19.
“Kedua-dua kluster ini melibatkan jangkitan COVID-19 sehingga generasi kelima,” ujarnya.
Beliau menyeru masyarakat juga diseru untuk mengelak daripada mempersalahkan atau mendiskriminasi mana-mana pesakit atau kumpulan yang dikaitkan dengan kluster jangkitan COVID-19.
“Janganlah kita stigmakan mereka. Apa yang penting adalah, kita membantu mengesan dan merawat jangkitan COVID-19 di kalangan mereka yang terlibat, keluarga dan kontak mereka,” nasihat beliau.