Menurut Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Syeikh Dr Ali Muhyiddin al-Qaradaghi, Islam mewajibkan umat Islam ketika berlakunya wabak yang besar (seperti virus-virus yang boleh membunuh) agar menuruti beberapa langkah seperti kuarantin, mengubat penyakit dan membuat pengakuan penyakit.
1. Kuarantin (Kawalan/larangan pergerakan)
Beliau berpandangan, tidak harus (haram) keluar daripada negara/negeri yang ditimpa dengan wabak tersebut dan tidak boleh juga memasuki ke dalamnya. Rasulullah SAW bersabda:
الطاعون آية الرجز ابتلى الله عز وجل به ناسا من عباده فَإِذَا سَمِعْتُمْ بِهِ ، فَلَا تَدْخُلُوا عَلَيْهِ ، وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا ، فَلَا تَفِرُّوا مِنْهُ
“Taun adalah tanda azab yang dengannya Allah menguji sebahagian dari hambanya. Maka jika kamu mendengar wabaknya di sebuah tempat, maka janganlah kamu memasukinya dan jika kamu berada di tempat tersebut maka jangalah kamu keluar daripadanya.” (HR Muslim: 4226)
Para ulama telah menjelaskan bahawa antara hikmah kuarantin ini adalah:
i. Larangan keluar daripada tempat yang terkena wabak adalah supaya wabak penyakit tidak terus merebak hingga menjadi sebab ianya menyakiti orang ramai dan jika dilakukan, ia satu dosa kerana menyebabkan kemudaratan.
Rasulullah SAW bersabda:
لا ضرر ولا ضرار
“Dilarang memulakan kemudaratan dan membalas kemudaratan (dengan cara yang mudarat).” (HR Ibnu Majah)
Maka, tidak boleh seorang manusia menyebabkan kemudaratan kepada orang lain sama ada pada agamanya, dirinya, akalnya, hartanya atau pada apa pun, sama ada kemudaratan itu secara fizikal atau maknawi. Bahkan berkaitan perkara ini para ulama menegaskan pengharaman seseorang yang menyebabkan jangkitan penyakit.
ii. Larangan memasuki kawasan berwabak adalah didasarkan pengharaman mencampakkan diri kepada kebinasaan atau perkara-perkara yang boleh menyebabkan kebinasaan. Ini kerana memelihara tubuh badan, kesihatan dan akal adalah antara tujuan syariah (Maqasid Syariah) yang penting.
iii. Bagi mengelakkan menyedut udara yang mengandungi virus wabak tersebut.
iv. Tidak mendekati orang yang sakit supaya mengelak jangkitan kecuali mendekatinya demi tujuan mengubat pesakit (seperti doktor, jururawat, petugas kesihatan) dengan mengambil segala langkah pencegahan yang sewajarnya.
Baginda SAW bersabda:
وفر من المجذوم كما تفر من الأسد
“Larilah kamu dari seorang yang kusta seperti mana berlarinya kamu daripada singa.” (HR Bukhari: 5707)
Gesaan melarikan diri daripada penyakit berjangkit adalah daripada neraca mengambil sebab musabab yang dijadikan oleh Allah sebagai sesuatu yang boleh memberi kesan dengan izinnya. Perkara ini dikuatkan lagi dengan sebuah hadis:
لا يورد ممرض على مصح
“Janganlah pemilik unta yang sakit mencampurkan untanya dengan yang sihat.” (HR Muslim: 4235)
v. Penting bagi mengambil langkah berhati-hati, berjaga-jaga dan mengelakkan diri daripada terdedah kepada perkara-perkara yang membinasakan bersama dengan menyerahkan diri secara bulat kepada Allah dan bertawakal dengan sebenarnya, tanpa perlu risau dan rasa berkecamuk.
Ibn al-Athir menyatakan dalam kitabnya, Al-Nihayah fi al-Kamil fi at-Tarikh bahawa pernah ketika kaum Muslimin diuji dengan Taun ‘Amwas, ‘Amru bin al-‘Ash telah keluar bersama para pesakit ke kawasan bukit kemudian membahagikan mereka kepada beberapa kumpulan dan mengelakkan mereka daripada saling bercampur antara satu sama lain.
Mereka berada di situ selama satu tempoh hingga ramai yang meninggal dunia dan Amru bin al-‘Ash kemudian pulang bersama dengan mereka yang selamat daripada wabak tersebut.
2. Mengubati penyakit
Menurut Syeikh al-Qaradaghi lagi, antara yang ditekankan dalam ajaran Islam adalah kewajipan ke atas setiap individu bagi mengubat diri dan kewajipan ke atas masyarakat dan negara untuk berusaha dengan sebaik mungkin untuk mengubati penyakit-penyakit terutamanya penyakit berjangkit. Bagi individu yang tidak mengubati dirinya daripada penyakit, itu dikira sebagai berdosa.
3. Membuat pengakuan penyakit
Jelasnya, wajib seseorang itu membuat pengakuan jika mendapati bahawa ia dihinggapi wabak ataupun ia berada di kawasan berwabak dan keluar daripadanya kerana satu darurat, maka ia wajib melaporkan keadaannya kepada pihak yang bertanggungjawab.
Jika mereka menyembunyikan perkara tersebut, mereka telah melakukan dua jenayah iaitu:
i) Kesalahan menyembunyikan maklumat dan menipu
ii) Kesalahan kedua adalah mengakibatkan kemudaratan kepada orang ramai dan menyebarkan wabak.
Bagi setiap yang kemudiannya berjangkit kerananya, maka ia akan menanggung bahagian dosa dan jenayah yang disebabkan olehnya.
Baginda Rasulullah SAW bersabda:
المسلم من سلم المسلمون من لسانه و يده
“Seorang Muslim itu adalah apabila para Muslimin merasa selamat daripada lisan dan tangannya.” (HR Muslim: 86)
Seorang Muslim yang hakiki adalah yang mencintai saudaranya seperti ia mencintai sesuatu bagi dirinya dan membenci sesuatu bagi saudaranya seperti ia membencinya buat dirinya.
Kredit terjemahan: Al-Faqir Ahmad Firdaus bin Kadir