SERI KEMBANGAN – Sebanyak 2,720 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Ahad dengan lima daripadanya adalah kes import.
Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di Malaysia sebanyak 4,651,651 kes sebagaimana menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di portal CovidNow.
Manakala sebanyak tiga kes kematian baharu akibat Covid-19 dicatatkan dengan dua daripadanya melibatkan kes di luar fasiliti hospital atau brought-in-dead (BID).
Berikutan itu, ia menjadikan jumlah kematian dalam negara kini sebanyak 35,914 kes.
Dalam pada itu, kes aktif Covid-19 pula mencatatkan sebanyak 48,252 kes, dengan 96.6 peratus daripadanya atau 46,632 kes merupakan individu dikuarantin di rumah.
Seramai 24 pesakit pula berada di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), manakala 1,542 pesakit Covid-19 ditempatkan di hospital dengan 54 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Daripada jumlah itu, seramai 32 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan, manakala 22 lagi memerlukan mesin ventilator.
Kes sembuh yang direkodkan pada Ahad ialah 4,012 kes menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh wabak tersebut sebanyak 4,567,485 kes.