“Kajian sebuah syarikat di Malaysia mendapati kanak-kanak dan remaja di negara ini mempunyai pengetahuan yang begitu cetek berkaitan kesihatan seksual dan reproduksi mereka,” jelas Ketua Wanita IKRAM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Hajah Susilawati Hamzah.
Dalam satu kenyataan media bersama Wanita IKRAM WPKL, Mothers Against Pornography (MAP) dan IKRAM Bandar Tun Razak, beliau menggesa agar semua pihak memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan kesedaran terhadap isu ini.
“Jika setiap daripada kita, atas rasa tanggungjawab yang tinggi dapat memainkan peranan ini dengan jayanya, kadar jenayah menakutkan terhadap kanak-kanak dan remaja sebagaimana yang dilaporkan di Dewan Rakyat akan dapat diminimumkan dengan berkesan,” katanya.
Media tempatan baru-baru ini melaporkan kejadian seorang kanak-kanak berumur enam tahun dirogol oleh seorang lagi kanak-kanak berumur tujuh tahun, manakala beberapa hari kemudian, lima lelaki dihadapkan ke mahkamah atas 22 pertuduhan merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun.
Dua lelaki tersebut adalah masing-masing datuk dan bapa kepada mangsa, sementara tiga yang lain juga mempunyai pertalian persaudaraan bersama.
Sebelum itu, Dewan Rakyat baru sahaja melaporkan sebanyak 13,272 kes rogol melibatkan kanak-kanak direkodkan antara 2010 hingga Mei 2017. Ia merekodkan 6,014 kes cabul, 1,796 kes sumbang mahram dan 1,152 kes seks luar tabii.
Forum dan peserta program pembangunan kemahiran keibubapaan di PPUKM
Kesal dengan berita-berita mengejutkan seperti ini, Wanita IKRAM WPKL dengan kerjasama IKRAM Bandar Tun Razak, Sekolah Rendah Islam Al Amin Cheras Selatan (SRIAACS), Al Amin Preschool dan PIBG SRIAACS semalam menganjurkan program pembangunan kemahiran keibubapaan bertajuk “Kesihatan Seksual dan Reproduksi Anak-anak: Apa Peranan Kita?” bagi mendidik masyarakat terutama ibu bapa.
Program yang diadakan di Auditorium PPUKM itu menampilkan Prof Dr Harlina Haliza Siraj (Konsultan Obstetrik & Ginekologi PPUKM), Encik Zaid Mohamad (Certified Parenting Coach, Smart Parenting), Dr Shamsuriani Md Jamal (Pakar Perubatan Kecemasan PPUKM dan Aktivis MAP) dan Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai (Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Sosial, UTAR).
Majlis dirasmikan Yang Dipertua IKRAM Bandar Tun Razak, Haji Madhadzir Hassan dengan kehadiran kira-kira 200 orang peserta.
Menurut Susilawati lagi, program kesedaran seperti ini akan diteruskan di bawah beberapa IKRAM Kawasan dalam WPKL iaitu IKRAM Batu pada 26 Ogos ini, manakala IKRAM Lembah Pantai dan IKRAM Setiawangsa pula akan menganjurkannya pada 23 September.
Kredit foto utama: Sinar Harian