“Tentunya sumbangan mereka ini terlalu besar jika dibandingkan dengan potongan 2% daripada gaji suami, namun Wanita IKRAM percaya ianya diterima dengan penuh kesyukuran dan reda dari kelompok suri rumah,” jelas Ketua Wanita IKRAM, Datin Paduka Hjh Che Asmah Ibrahim.
Menurut beliau dalam satu kenyataan media, Wanita IKRAM menyambut baik dan mengucapkan tahniah atas pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengenai inisiatif tersebut.
Katanya, golongan wanita yang telah memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa bagi menumpukan perhatian kepada penjagaan dan pembangunan keluarga dan anak-anak adalah kelompok masyarakat istimewa.
“Kelompok ini perlu diberi perhatian dan penghargaan atas sumbangan mereka dalam mendidik dan membina generasi akan datang,” katanya.
Pada masa yang sama, tambah Che Asmah, suri rumah ini mempunyai potensi yang besar untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan tidak boleh dikesampingkan.
Sejak tahun 2017 lagi, jelasnya, Wanita IKRAM telah memulakan langkah untuk membangunkan potensi golongan suri rumah bermula dengan meningkatkan jati diri, memberikan motivasi, membina kemahiran dan membimbing kelompok suri rumah melalui Modul Pembimbing Rakan Suri (PRS).
“Modul ini digerakkan sendiri oleh kumpulan suri rumah sepenuh masa, yang telah dilatih dengan bimbingan ‘coach professional’.”
“Pembimbing Suri Rahmah seterusnya telah merangka dan menggerakkan aktiviti-aktiviti bagi membimbing suri rumah yang lain melalui Kelab Rakan Suri Rahmah.”
Tambahnya, Wanita IKRAM akan terus menyantuni pelbagai segmen masyarakat, khususnya wanita untuk melakukan penambahbaikan yang berterusan dalam menyumbang kepada usaha membina Malaysia menjadi sebuah negara rahmah.