Cari Jodoh: Perkahwinan Jalan Meraih Syurga

Cari Jodoh: Perkahwinan Jalan Meraih Syurga | IKRAM

JODOH itu rahsia Allah. Namun, tahukah anda, ia telah ditulis 50,000 tahun sebelum Allah menciptakan langit dan bumi?

Ini bersesuaian dengan hadis riwayat Muslim (No. 2653), Nabi SAW bersabda, Allah telah menulis takdir seluruh makhluk ciptaan-Nya semenjak 50,000 tahun sebelum penciptaan langit dan bumi.”

Persoalan jodoh sememangnya menjadi topik yang gemar dibincangkan. Sebut saja soal cinta dan soal jodoh, pastinya topik ini disukai ramai. Namun, hubungan jodoh inilah yang bakal dipertanggungjawabkan sehingga ke hari akhirat.

Juzuk utamanya adalah jodoh ini tidak boleh dibawa main-main. Memilih pasangan hidup itu umpama anda sedang memilih masa depan akhirat anda.

Destinasinya cuma ada dua: syurga atau neraka. Tidak ada pilihan ketiga di akhirat kelak. Makanya, memilih pasangan hidup mestilah diperhalusi dalam-dalam dan dipertimbangkan baik buruknya. 

Langkah paling awal untuk membina rumah tangga adalah memilih jodoh yang baik. Setiap manusia yang berniat untuk menikah, dinasihatkan untuk memilih pasangannya dengan cermat dan tertib.

Berbicara soal hati terkadang akal yang sihat juga tidak mampu dikendalikan dengan baik. Manusia yang sudah dilamun cinta boleh sewenang-wenangnya memilih menggunakan perasaan berbanding akal.

Disebabkan itu, dalam agama Islam sudah ditetapkan garis panduan yang boleh diikuti dalam urusan mencari jodoh.

Rasulullah SAW juga telah bersabda yang bermaksud, “Wanita dinikahi kerana empat perkara, iaitu hartanya, kedudukan keluarganya, kecantikannya dan agamanya, maka hendaklah kamu pilih wanita kerana agamanya, jika tidak, nescaya kamu menjadi orang yang rugi.” (HR Bukhari [5090] dan Muslim [1466])

Dewasa ini, ramai orang Islam yang berada dalam kecelaruan untuk memilih pasangan. Kemajuan zaman dan kepesatan teknologi membolehkan mereka mendapatkan pasangan menerusi aplikasi yang banyak ditawarkan.

Keterbukaan begini menjadikan kita perlu lebih bersikap berhati-hati. Kriteria-kriteria yang sudah ditetapkan Islam ini adalah asas yang boleh diguna pakai dalam mencari pasangan.

Benar, jodoh sudah ditetapkan Allah, namun sebagai hamba-Nya, kita tidak boleh hanya duduk diam dan menunggu jodoh datang dengan sendirinya. Perlu ada usaha dan ikhtiar untuk memilih pasangan yang sesuai dengan agama Islam. 

Setiap insan berhak untuk membuat keputusan dalam memilih calon pasangan mereka. Namun, janganlah mengabaikan kriteria-kriteria yang wajib di sisi islam. 

Lumrah sebagai seorang manusia yang mana mereka mengimpikan pasangan yang cantik, tampan, berkedudukan tinggi dan berharta.

Namun, janganlah begitu menyandarkan kebahagiaan rumah tangga dengan melihat luaran dan kesenangan dunia semata-mata.

Perkahwinan adalah jalan ke syurga, jadi kriteria pertama yang harus diperhatikan adalah memilih pasangan yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Ini adalah antara kriteria yang paling penting dan harus diambil perhatian semasa ketika kita memilih pasangan. Berjuanglah semaksimum mungkin dalam proses mencari pasangan hidup.

Tidaklah upaya kita sebagai manusia biasa yang jauh daripada kesempurnaan untuk mendapatkan pasangan yang sempurna serba-serbi. Cukuplah dan bersyukurlah jika kita dapat memilki pasangan yang taat pada agama.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu adalah yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat: 13)

Selain itu, dalam proses mencari pasangan hidup, kita juga harus melihat dari segi faktor keturunannya. Ketahuilah bahawa perbezaan darjat akan menimbulkan banyak masalah pada masa hadapan.

Bersesuaian dengan tuntutan agama, kita dapat mencari keturunan yang dapat menyenangkan kita. Allah Taala berfirman,“Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasangan supaya kamu mengingati (kebesaran Allah).” (Surah adz-Dzariyat: 49)

Kita mahu berumah tangga kerana mahu hidup bahagia di dunia dan di akhirat. Jika di dunia sudah banyak masalah yang timbul, bagaimana pula kehidupan di akhirat kelak?

Pasangan yang sekufu dan memiliki darjat yang bersesuaian dengan kita adalah penting untuk mengelakkan banyak salah faham ketika sudah berumah tangga kelak. Banyak urusan akan mudah jika pasangan dan keluarganya sama taraf dengan kehidupan kita. 

Di samping itu, kriteria yang boleh dilihat dalam memilih pasangan adalah dari segi kecantikan atau ketampanan. Faktor pertama kita tertarik dengan pasangan kita adalah faktor paras rupa.

Setiap manusia sukakan kecantikan dan hal tersebut tidak boleh dinafikan sama sekali. Lumrah sebagai manusia, wanita mahukan lelaki yang tampan manakala lelaki mahukan wanita yang cantik.

Namun, keinginan kepada kecantikan dan ketampanan semata-mata boleh membawa kerosakan terhadap diri sendiri jika tidak didasari dengan agama.

Selain itu juga, Islam menggariskan harta sebagai antara kriteria yang boleh diperhatikan dalam memilih pasangan hidup. Bencana besar bakal berlaku jika kekayaan yang dipinjamkan Allah SWT ini tidak berlandaskan agama.

Walaupun Islam menggariskan harta sebagai kriteria dalam memilih pasangan, namun janganlah kita buta sehingga menjadikan harta sebagai tujuan utama dalam soal perkahwinan. 

Kesimpulannya, usaha berterusan perlu diikhtiarkan dan disertakan dengan doa kepada Allah SWT dalam mendapatkan pasangan yang terbaik.

Bersesuaian dengan perbincangan di atas, sebaik-baik pasangan adalah mereka yang taat pada agama.

Pada akhirnya kita akan sedar bahawa memilih pasangan tidak hanya berfokus soal cinta semata-mata, tetapi pasangan kita inilah yang akan menemani ibadah serta mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

Hanya iman dan takwa kepada Allah yang membawa nur kasih kepada rumah tangga yang dibina. Jika hilang keberkatan tersebut, maka hilanglah rahmat dalam ‘syurga’ yang dibina. 

Nurmala Samin
Guru dan Novelis

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia