Cabaran 7 tahun rahsiakan pengislaman

Merupakan guru kaunseling yang juga penuntut sarjana bidang pengajian Islam di Universiti Malaya, beliau kini bergiat aktif sebagai sukarelawan Hidayah Centre Foundation (HCF) cawangan Lembah Pantai bagi membantu aktiviti dakwah juga menyantuni mualaf.

 

Ikuti bagaimana Nur Ain Sumaiyah mendapat hidayah dan cabaran yang dihadapi ketika merahsiakan pengislamannya selama tujuh tahun.

 

“Kisah bagaimana saya meminati agama Islam ini bermula sejak saya berusia sembilan tahun lagi. Saya sangat suka menonton kisah para Nabi yang sering ditayangkan di televisyen ketika bulan Ramadan.

 

Saya sering kagum dan termotivasi dengan kisah perjuangan juga ketabahan para anbia dalam memperjuangkan agama Islam. Kiranya saya sangat meminati peribadi para anbia terutamanya Nabi Muhammad SAW.

 

Ketika itu,kisah perjuangan baginda yang paling saya ingat ialah mengenai ketika di gua Hira’, lalu saidatina Siti Khadijah datang menghantar makanan. Saya merasakan sesuatu apabila saya mendengar dan melihat gambaran keadaan padang pasir yang didiami Nabi.

 

Saya tertanya-tanya, bagaimana baginda sangat kuat dan sabar dengan kesusahan yang dialami itu? Saya memang seorang yang berimaginasi tinggi, kerana itu kisah ini sangat melekat di fikiran saya.

 

Semasa di Tingkatan 4, saya berpeluang untuk mengetahui lebih mendalam lagi mengenai agama Islam. Saya telah membuat keputusan untuk mengambil Tasawur Islam sebagai subjek tambahan untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

Dalam silibus Tasawur Tingkatan 4, ada satu bab yang menceritakan mengenai al-Quran adalah petunjuk sekalian alam. Waktu itu, saya kurang bersetuju dan mula mempersoalkan tajuk ini. Tidak mungkin, hanya sebuah buku, boleh menjadi petunjuk untuk semua.

 

Bermula daripada persoalan yang timbul ini, saya sering tertanya-tanya dan mula mencari-cari jawapan. Selepas tamat menduduki SPM, jiwa saya semakin meronta-ronta nak belajar membaca al-Quran. Saya berdoa kepada Allah untuk memberi jalan yang benar dan orang yang tepat untuk mengajar saya al-Quran.

 

Pertemuan saya dengan ibu kawan saya yang banyak membantu saya belajar al-Quran menjadi titik tolak menguatkan keinginan saya memeluk agama Islam. Saya terus mendalami agama Islam bersama beliau.

 

Ketika awal waktu memeluk Islam, timbul ketakutan dengan keputusan yang saya ambil ini kerana ketika itu saya baru berumur 18 tahun dan sedang berada di Tingkatan 6. Saya takut kehilangan keluarga terutamanya mak ayah saya.

 

Kerana itu, saya mengambil keputusan merahsiakan dahulu daripada pegetahuan keluarga saya. Semakin saya mendalami ajaran Islam, saya semakin yakin.

 

Banyak perubahan positif yang berlaku dalam diri saya. Akhlak saya menjadi lebih baik dan daripada seorang yang sangat keras hati kepada seorang yang mudah lembut hati.

 

Gembira atau tidak saya memeluk Islam bukan tidak dapat dirasai ketika saya syahadah tetapi perjalanan mempelajari Islam yang membuatkan saya teruja dan rasa bertuah dipilih Allah.

 

Merahsiakan pengislaman dengan keluarga bukanlah sesuatu yang mudah. Pelbagai cabaran yang perlu saya hadapi setiap hari. Cuba bayangkan saya yang masih muda remaja lagi, tetapi terpaksa sentiasa kreatif memikirkan strategi untuk solat bila masuk waktunya.

 

Saya pernah juga merasa agak tertekan menghadapi situasi ini. Diluah takut, ditelan, tertekan menanggung. Walau bagaimanapun, saya sering mendapat sokongan daripada guru-guru juga sahabat baik.

 

Keadaan lebih-lebih lagi mencabar terutama ketika cuti semester kerana saya perlu pulang ke kampung halaman. Memang sentiasa solat dalam keadaan ketakutan, takut-takut diketahui keluarga.

 

Saya pernah solat jamak dan qasar, solat seperti orang sakit, solat seperti dalam penerbangan. Saya juga pernah bersolat selepas membersihkan bilik mandi di rumah saya.

 

Kerana ketika itu, saya sentiasa fikirkan apa pun caranya saya kena solat. Itu sahaja sumber kekuatan yang saya ada. Selalunya selepas solat, saya merasa begitu lega.

 

Apabila tibanya bulan Ramadan, saya perlu berfikir pula cara berhelah untuk tidak makan bersama keluarga waktu siang. Agak sukar sekali menolak masakan emak. Saya berikan pelbagai alasan.

 

Saya pernah keluar dari rumah dan hanya balik bila hampir waktu maghrib. Itu pun, saya minum sahaja dahulu, bagi mengelakkan keluarga mengesyaki saya berpuasa.

 

Solat tarawih pula, saya akan bangun sebelum subuh semasa emak saya tidur. Saya akan dirikan solat isyak dan tarawih pada waktu tersebut.

 

Sedar tidak sedar, rupa-rupanya sudah tujuh tahun saya merahsiakan pengislaman saya daripada keluarga. Akhirnya abang, juga kedua ibu bapa saya dapat menghidu perubahan pada diri saya.

 

Akhirnya mereka mengetahui bahawa saya sudah memeluk agama Islam. Lebih dua jam saya di ‘cuci otak’ (brainwash) mengenai keputusan saya ini.

 

Mereka begitu terkejut kerana saya merahsiakan sehingga tujuh tahun lamanya. Saya mendiamkan diri, saya nekad dengan keputusan saya. Walaupun saya memeluk Islam, mereka tetap ahli keluarga yang perlu saya hormati dan sayangi.

 

Alhamdulillah, kini seluruh ahli keluarga menerima pengislaman saya. Malahan, mereka memberi motivasi juga galakan untuk saya terus menyambung pelajaran peringkat sarjana pengajian Islam.

 

Semasa menyambung pengajian di peringkat ijazah, saya semakin mendapat sokongan yang padu daripada teman sepengajian. Saya tidak pernah rasa disisihkan sebagai seorang mualaf.

 

Alhamdulillah, waktu ini saya mula mengenali Hidayah Centre Foundation (HCF). Saya bertemu ramai lagi sahabat mualaf di sini. Ibarat satu komuniti keluarga besar yang berkongsi pelbagai cerita suka-duka kehidupan sebagai mualaf.

 

Saya mula menggiatkan diri bersama turun ke lapangan dakwah selepas mempelajari pelbagai teknik menyampaikan Islam dengan lebih berkesan lagi.

 

Saya turut membantu memberikan nasihat kaunseling kepada mualaf sekiranya diperlukan. Pengalaman lalu cukup mendewasakan saya pada hari ini untuk membantu lebih ramai lagi teman mualaf.

 

Cita-cita saya ingin menjadi orang yang bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat dan dapat menyampaikan kebesaran al-Quran ke seluruh pelusuk dunia. Saya juga ingin menjadi pakar dalam bidang psikologi kaunseling Islam bagi golongan minoriti kerana mereka sering diabaikan.

 

Hal ini telah saya lihat sejak zaman sekolah iaitu seperti ibu tunggal, remaja nakal, mualaf, gelandangan, anak yatim, warga emas juga fakir miskin. Insya-Allah, doakan saya.”

 

Sumber: Hidayah Centre Foundation

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia