Bulan Zulhijah Momentum Tingkat Takwa dan Perubahan

Bulan Zulhijah merupakan antara bulan paling mulia dalam Islam. Ia bukan sahaja dikenali dengan bulan melaksanakan rukun Islam kelima iaitu ibadah haji, tetapi juga pensyariatan korban.

Akan tetapi yang lebih utama ialah sebagai bulan yang menyaksikan manifestasi tertinggi ketaatan, keimanan dan pengorbanan dalam sejarah umat manusia menerusi lembaran kisah Nabi Ibrahim a.s., Nabi Ismail a.s. dan Hajar.

Apa yang pasti, kisah ini bukan hanya untuk diceritakan semula saban tahun, tetapi wajar dihayati sebagai inspirasi dalam mendirikan kehidupan beragama yang penuh takwa lagi mendidik.

Ketaatan mutlak kepada Allah

Bayangkan satu hari, kita mendapat mimpi yang sangat pelik. Mimpi yang datang berkali-kali, sangat jelas, sangat kuat, dan kita yakin ia bukan mimpi biasa.

Begitulah halnya yang berlaku kepada Nabi Ibrahim, seorang ayah yang sudah lama menanti zuriat, akhirnya dikurniakan anak soleh bernama Ismail. Anak yang dikasihi, penyejuk mata dan harapan hati tiba-tiba diperintahkan oleh Allah untuk disembelih?

Sebagai manusia biasa, kita pasti akan meronta, menangis atau paling tidak mempertikaikan arahan itu. Tetapi Nabi Ibrahim tidak bertanya “kenapa,” beliau hanya tunduk dengan satu perkataan besar: “taat”.

Apa rahsianya?

Ini bukan soal mimpi. Ini soal keyakinan mutlak kepada Allah. Nabi Ibrahim tahu, Allah tidak akan memerintahkan sesuatu kecuali ada hikmah dan ganjaran besar di sebaliknya.

Kisah Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail a.s., merupakan simbol ketaatan yang tidak berbelah bahagi. Tanpa ragu, baginda melaksanakan perintah Allah meskipun ia bertentangan dengan naluri keayahannya.

“Tatkala anak itu sampai (ke peringkat umur) sanggup berusaha bersamanya, (Ibrahim) berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu?” Ia menjawab: “Wahai ayahku! Laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan dapati aku daripada orang-orang yang sabar.” (Surah as-Saffat: 102)

Dalam kehidupan seharian, umat Islam harus menjadikan ketaatan kepada Allah sebagai asas tindakan dalam keluarga, kerjaya dan pelbagai aspek kehidupan yang lainnya. Perintah Allah kadangkala menuntut kita mengorbankan kepentingan peribadi demi kebaikan yang lebih besar dan ganjaran akhirat.

Kesabaran dalam menanti janji Allah

Tawakal dan kepercayaan penuh kepada Allah, begitulah ketabahan seorang Ibu bernama Hajar. Bayangkan seorang wanita baru melahirkan anak kecil lalu ditinggalkan oleh suaminya di sebuah padang pasir yang tandus, sunyi dan tidak berpenghuni.

Itulah ibunda Hajar, wanita luar biasa yang diabadikan kisahnya dalam sejarah Islam kerana ketabahan serta tawakalnya. Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk meninggalkan Hajar dan anak mereka, Nabi Ismail di Lembah Bakkah (Makkah). Ia suatu perintah yang berat, tetapi dilaksanakan kerana keimanan.

Ibunda Hajar tidak memberontak. Beliau hanya bertanya satu soalan ringkas tetapi penuh makna:

“Adakah ini perintah daripada Allah?”

Lalu Nabi Ibrahim menjawab, “Ya.”

Maka Hajar pun berkata: “Kalau begitu, Dia tidak akan mensia-siakan kami.”

Masya-Allah! Inilah tawakal sebenar. Bukan tunduk kerana tidak mampu, tetapi reda kerana yakin bahawa Allah tidak akan pernah zalim pada hamba-Nya yang bertakwa.

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman agar mereka mendirikan solat.” (Surah Ibrahim: 37)

Ibunda Hajar bukan hanya sabar, tetapi tetap berusaha. Apabila kehausan melanda Ismail, beliau berlari dari Safa ke Marwah sebanyak tujuh kali, mencari air. Beliau berlari bukan sekali, tetapi tujuh kali dalam panas, debu dan kegusaran. Dan Allah tidak mensia-siakan lariannya.

Dari hentakan tumit Nabi Ismail, keluar air zamzam, mata air barakah yang terus mengalir hingga ke hari ini. Kisah Hajar mengajar kita bahawa ketetapan Allah datang tepat pada masanya. Bersabar sambil terus berdoa dan berusaha merupakan tanda keimanan yang mendalam.

Pengorbanan demi takwa 

Ibadah korban yang disyariatkan setiap Zulhijah tidak lain adalah simbol pengorbanan. Namun pengorbanan yang diredai bukan semata-mata menyembelih haiwan, tetapi mengorbankan ego, harta, masa dan nafsu demi mendekatkan diri kepada Allah.

Begitulah, setiap kali datangnya Zulhijah, suasana kampung dan masjid meriah dengan aktiviti korban. Ada suara takbir, bau darah dan senyuman anak-anak melihat lembu disembelih. Namun, persoalannya, apakah yang benar-benar kita korbankan?

Setiap pengorbanan ini, apabila diniatkan kerana Allah, itulah korban sebenar – korban yang dinilai sebagai takwa.

“Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya.” (Surah Al-Hajj: 37)

“Tidak ada suatu amalan yang dilakukan oleh manusia pada hari raya korban yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menyembelih haiwan korban.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Pendidikan rohani dan tarbiah keluarga 

Nabi Ibrahim bukan sekadar seorang nabi, tetapi juga seorang ayah dan suami yang berjaya membina keluarga bertakwa. Ketaatan Nabi Ismail bukan muncul dengan tiba-tiba, tetapi hasil didikan rohani oleh bapanya.

Apa yang kita boleh ubah mulai kini?

  1. Wujudkan masa membaca al-Quran bersama anak setiap malam.
  2. Ajarkan doa Nabi Ibrahim kepada anak: “Ya Allah, jadikan aku dan zuriatku orang yang mendirikan solat.”
  3. Ibu ayah perlu jadi role model, bukan hanya suruh solat, tapi tunjuk bagaimana cintakan solat.

“Dan Kami jadikan mereka sebagai pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka untuk melakukan kebaikan, mendirikan solat dan menunaikan zakat, dan hanya kepada Kami mereka menyembah.” (Surah al-Anbiya’: 73)

Justeru, membina keluarga yang kuat secara rohani memerlukan usaha yang konsisten. Solat berjemaah, membaca al-Quran bersama dan berdiskusi soal agama di rumah adalah bentuk tarbiah yang wajar diterapkan agar lahir generasi sekuat Ismail.

Tawakal dan kepercayaan kepada takdir Allah

Nabi Ibrahim meninggalkan Hajar dan Ismail di lembah kering tanpa sumber air. Ia satu tindakan yang sangat berat jika tanpa keyakinan kepada Allah.

“Ya Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian keturunanku di lembah yang tidak mempunyai tanam-tanaman di sisi rumah-Mu (Baitullah) yang dihormati, ya Tuhan kami (yang demikian itu) agar mereka mendirikan solat…” (Surah Ibrahim: 37)

Dalam dunia moden yang penuh ketidaktentuan, umat Islam perlu menanam sifat tawakal selepas merancang dan berusaha. Serahkan urusan kepada Allah. Tawakal bukan pasif, tetapi hasil daripada iman yang aktif.

Keteguhan mematuhi perintah dalam ujian besar 

Ujian Nabi Ibrahim bukan ujian biasa. Beliau diperintahkan menyembelih anaknya sendiri. Namun, perintah itu dilaksanakan tanpa bantahan. Bahkan, Nabi Ismail pula menyokong tindakan itu kerana yakin ia perintah Allah. Tapi jawapannya luar biasa: “Ayah, teruskan. Insya-Allah saya sabar.”

Ini menunjukkan bahawa taat kepada Allah itu juga boleh diwarisi dan diajarkan. Ia bukan muncul tiba-tiba. Anak yang taat lahir daripada ibu bapa yang membina suasana iman dan tarbiah sejak kecil.

“Maka tatkala kedua-duanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, Kami panggillah dia, ‘Wahai Ibrahim, sungguh engkau telah membenarkan mimpi itu.” (Surah As-Saffat: 103-105)

Kadangkala hidup mempertemukan kita dengan ujian besar seperti kehilangan orang tersayang, kegagalan dalam kerjaya atau fitnah. Dalam semua ini, kesabaran dan keimanan kepada Allah perlu menjadi pasak yang utama.

Doa sebagai kekuatan mukmin

Nabi Ibrahim sering berdoa dalam pelbagai fasa kehidupannya, seperti ketika membina Kaabah, waktu meninggalkan anak dan isterinya, serta pada saat berdoa untuk zuriat yang soleh.

“Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku.” (Surah Ibrahim: 40)

Apa yang pasti, umat Islam perlu kembali mengangkat doa sebagai senjata utama bukan sekadar permintaan, tetapi sebagai bukti hubungan hati yang sentiasa bergantung kepada Rabbul Izzati.

Zulhijah dan misi pembentukan jiwa takwa 

Bulan Zulhijah bukan sekadar bulan ritual, tetapi bulan pembentukan karakter. Daripada kisah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Hajar, umat Islam dapat menggali pelbagai nilai yang boleh diamalkan setiap hari:

  • Taat kepada perintah Allah walaupun sukar.
  • Bersabar dalam ujian dan penantian.
  • Berkorban untuk agama dan insan lain.
  • Mendidik keluarga dengan nilai iman dan amal.
  • Bertawakal dalam setiap perancangan.
  • Berdoa dengan penuh harap dan yakin.

Firman Allah:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Surah Az-Zumar: 10)

Marilah kita menjadikan Zulhijah ini sebagai momentum perubahan bukan sekadar menyembelih haiwan, tetapi menyembelih ego, hasad, lalai dan cinta dunia. 

Biarlah ia menjadi titik loncatan untuk menjadi insan bertakwa yang sabar, tunduk serta reda sepenuhnya kepada Allah sebagaimana Nabi Ibrahim, Ismail dan Hajar.

Atriza Umar
Pegawai Kanan
Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia