Bulan Ramadan: Antara Pesta Ibadah dan Ujian Poket

ramadan

Baru sahaja para ibu bapa menghela nafas lega setelah menyelesaikan urusan kelengkapan sekolah anak-anak yang menuntut belanja besar, kalendar Islam kini telah pun membawa kita melepasi pintu gerbang Ramadan.

Dalam keterujaan menyambut bulan yang mulia ini, terselit satu kerisauan yang jarang dibincangkan secara terbuka tetapi dirasai di lubuk hati: “Cukupkah bajet kita kali ini?”

Bulan Ramadan di negara kita sering dimeriahkan bukan sahaja dengan aktiviti berbuka puasa tetapi pesta fesyen dan bazar Hari Raya Aidilfitri. Kebelakangan ini, sering lalu di media-media sosial pelbagai iklan dan promosi Hari Raya Aidilfitri yang sudah menjadi normal dalam kesibukan masyarakat Islam berpuasa.

Hal ini sering menimbulkan keresahan dalam kalangan ibu bapa tatkala memikirkan persediaan untuk sambutan tersebut. Senario itu jika tidak diurus dengan baik akan menyebabkan pengurusan kewangan yang tidak cermat sehingga menambahkan hutang isi rumah. 

Lirik lagu kumpulan Senario, “berhabis tak berkira asal nampak bergaya, walau hutang panjang berjela,” satu tika dahulu bukan sekadar jenaka, tetapi sindiran realiti yang pedas. Jika tidak kena gaya urusnya, bulan yang sepatutnya mendidik jiwa boleh bertukar menjadi bulan yang “menyeksa” poket. 

Justeru, bagaimana seharusnya kewangan disusun agar kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam bulan Ramadan tidak disia-siakan oleh setiap individu walaupun berhadapan dengan perbelajaan yang ketat?

Tuntutan ibadah kewangan: Mengapa perlu berbelanja

Ramadan sering digelar sebagai “pesta ibadah”. Namun, ibadah dalam Islam tidak hanya terhad di atas tikar sejadah. Ia turut merangkumi hubungan sesama manusia (habluminannas) yang dikaitkan dengan ibadah sedekah, infak, wakaf dan zakat.

Rasulullah SAW sendiri menunjukkan teladan bahawa kedermawanan Baginda memuncak pada bulan Ramadan, sehingga digambarkan “lebih pantas daripada angin yang bertiup” sepertimana disebutkan dalam hadis yang bermaksud:

“Nabi SAW adalah manusia yang paling pemurah. Kemuncak sifat pemurahnya ialah pada bulan Ramadan, ketika Jibril bertemu dengan Baginda SAW. Adapun Jibril a.s. menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan dan saling bertadarus al-Quran dengan Baginda. Sungguh, Rasulullah SAW sangat pemurah dalam hal kebaikan daripada angin yang bertiup kencang.” (Riwayat al-Bukhari)

Aktiviti bersedekah telah dijanjikan gantian yang besar oleh Allah SWT, diberikan keberkatan dan pertambahan harta. Dalam Surah al-Baqarah, ayat 261, Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”

Manakala dalam Surah Saba’ ayat ke-39, Allah SWT berfirman:

“Dan apa sahaja yang kamu dermakan, maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”

Selain daripada memberi sedekah ke dalam tabung-tabung masjid dan surau, aktiviti bersedekah melalui pemberian makanan kepada orang berpuasa turut mempunyai kedudukan yang sangat istimewa. Baginda Nabi SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikit pun pahalanya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu, menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim untuk menunaikan zakat fitrah pada bulan Ramadan. 

“Rasulullah SAW telah memfardukan zakat fitrah sebagai menyucikan orang yang berpuasa daripada sebarang lagha dan keji serta memberi makan kepada orang-orang miskin.” (Riwayat Abu Daud)

Pembayaran zakat fitrah bukan sekadar rukun tetapi mekanisme penyucian dosa bagi pembayarnya dan paling penting untuk membantu golongan fakir dan miskin supaya mereka turut meraikan kegembiraan pada bulan Syawal. 

Persoalannya, bagaimana mahu mengejar pahala daripada bentuk “kewangan” ini jika bajet kita sendiri sedang “sesak nafas” selepas musim kembali ke sekolah? Jawapannya adalah Wasatiyyah (Bersederhana). Konsep wasatiyyah telah dibincangkan di dalam buku AISAR keluaran IKRAM untuk pemahaman lanjut. 

Strategi “Survival” Kewangan: Ramadan dan Syawal

Ramadan bukan bulan untuk “balas dendam” di bazar Ramadan. Justeru, bulan Ramadan seharusnya menjadi medan perubahan kewangan ke arah yang lebih baik pada masa-masa akan datang. Dalam artikel ini, ingin dikongsikan tiga tip pengurusan kewangan supaya kita tidak terperangkap dengan hutang yang tidak perlu. 

  1. Formula “Buka Puasa Bukan Pesta”

Oleh kerana waktu siang kita tidak berbelanja untuk makan sarapan dan tengah hari, kehadiran bazar Ramadan telah menjadi satu tarikan untuk shopping makanan. Terkadang, kita tidak sedar dengan pembelian yang telah membawa kepada pembaziran.

Oleh itu, kita mampu untuk menetapkan hanya dua kali seminggu sahaja ke bazar Ramadan contohnya, dan selebihnya masak di rumah. Terdapat banyak fakta pembaziran yang telah dikeluarkan seperti statistik daripada Pengurusan Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), iaitu kira-kira 17,800 tan makanan sehari telah dibuang. 

Bahkan dalam bulan Ramadanlah terdapat pertambahan yang luar biasa terutama apabila banyaknya promosi makanan daripada pihak hotel, kedai-kedai dan bazar. Bukan sekadar pembaziran makanan ke tong sampah, perbelanjaan untuk makanan turut meningkat sehingga 15% pada bulan Ramadan sahaja.

Pemilihan untuk berbuka di masjid dan surau turut boleh mengehadkan perbelanjaan isi keluarga dan dapat membiasakan ahli keluarga dengan suasana harmoni di masjid dan surau.

  1. Belanja raya: Keperluan vs. Kehendak

Trend persalinan raya (raya pertama sehingga ketujuh) menunjukkan perbelanjaan yang boleh menjerumus kepada pembaziran. Seharusnya fokus belanja kepada kualiti bukan kuantiti.

Berikan keutamaan kepada simpanan dan kecemasan selepas berakhirnya bulan Syawal. Elakkan slogan “Biar papa asal bergaya” dan “Raya hanya sekali dalam setahun” untuk menghalalkan perbelanjaan yang tidak perlu. 

  1. Tingkatkan ilmu pengurusan kewangan

Walaupun ramai yang tahu kesukaran jika tidak menguruskan kewangan dengan baik, namun masih kurang daripada kalangan masyarakat yang mencari ilmu secara spesifik bagaimana pengurusan kewangan yang betul.

Selain program akademik di universiti, pihak masjid dan surau sebagai “centre” maklumat boleh memainkan peranan tersebut. Lebih baik meramaikan masyarakat yang memberi daripada melahirkan masyarakat yang meminta. Adapun masyarakat yang memberi hadir daripada masyarakat yang cakna dan berpengetahuan. 

Capai objektif takwa

Ramadan adalah madrasah pengurusan diri. Jika kita berjaya menguruskan nafsu makan dan nafsu berbelanja, kita telah mencapai salah satu objektif takwa.

Jangan biarkan Syawal yang bakal tiba disambut dengan linangan air mata kerana dikejar pemiutang, tetapi sambutlah ia dengan senyuman kemenangan kerana berjaya menundukkan ego dan keinginan yang melampau.

Usahakan untuk menyimpan, bersedekah, berinfak dan berwakaf agar salah satu kaedah pengurusan kewangan iaitu pengagihan kewangan dapat mendidik jiwa dan karakter yang lebih baik selepas bulan Ramadan.

Bulan Ramadan turut menjadi salah satu bulan untuk memperbanyak berdoa. Antara doa yang selalu dibaca adalah untuk mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. 


وَمِنْهُمْ مَّنْ يَّقُوْلُ رَبَّنَآ اٰتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَّفِى الْاٰخِرَةِ حَسَنَةً وَّقِنَا عَذَابَ النَّارِ (٢٠١) اُولٰۤىِٕكَ لَهُمْ نَصِيْبٌ مِّمَّا كَسَبُوْا ۗ وَاللّٰهُ سَرِيْعُ الْحِسَابِ (٢٠٢)

 

“Antara mereka ada yang berdoa: Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada azab neraka. Mereka itulah yang akan mendapat bahagian yang baik berdasarkan apa yang telah mereka usahakan dan Allah amat cepat hitungan-Nya.” (Surah al-Baqarah: 201-202)

Mari kita jadikan Ramadan tahun ini lebih bermakna, banyakkan memberi dengan apa yang ada, berbelanja dengan akal dan beribadah dengan penuh ketenangan. Semoga kita semua mendapat apa yang telah kita rancangkan.

Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman (SRFP)

Pensyarah Kanan, Koordinator MBA & MIBF

Arshad Ayub Graduate Business School

UiTM, Shah Alam

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia