Dalam dunia moden yang serba pantas, Malaysia merupakan antara negara membangun yang pesat dalam gaya hidup harian.
Lebih lima dekad, generasi kita mengamalkan budaya kerja berlebihan. Bermula dari zaman datuk nenek kita, hari dimulakan dengan bangun pagi mencari rezeki sehingga waktu malam dinihari.
Kini kita pada tahun 2025, zaman teknologi semakin berkembang tetapi keadaan kita tetap sama, malah lebih sibuk berbanding dahulu. Kita bangun pagi, mulakan rutin pagi dengan menyiapkan anak-anak dan diri sendiri.
Solat? Semua dilakukan ala kadar sekadar memenuhi tuntutan tanpa penghayatan. Lebih membimbangkan, ada yang terus meninggalkan solat demi mengejar masa atau mengelak kesesakan lalu lintas. Dunia kini seolah-olah semakin sibuk dan semakin membunuh nilai-nilai yang ada.
Tanpa kita sedar, budaya kerja berlebihan atau dalam bahasa korporat “workaholic” telah merampas kehidupan kita bukan hanya dari segi kesihatan, fizikal dan mental, malah menjauhkan kita daripada ibadah dan hubungan rohani dengan Allah SWT.
Islam dan keseimbangan hidup
Islam mengajar kita konsep keseimbangan (wasatiyah), maksudnya seimbang dunia dan akhirat iaitu kerja dan ibadah.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:
“Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu di dunia…” (Surah al-Qasas: 77)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah SWT menyuruh hamba-Nya untuk berusaha mencari akhirat melalui nikmat dunia, namun dengan meletakkan dunia di tangan dan akhirat di hati, bukan di sebaliknya. Sebelum kita mengupasnya dengan lebih terperinci, mari lihat dahulu makna budaya kerja berlebihan.
Apa makna budaya kerja berlebihan? Apabila kita menghambakan diri dengan pekerjaan menggunakan alasan mencari rezeki, namun lupa pada pemberi rezeki iaitu Allah Azzawajalla – solat wajib pada hujung waktu atau tergesa-gesa, adakalanya terus ditinggalkan dengan alasan tak sempat, al-Quran terus-menerus berhabuk di atas rak kerana tiada kesempatan untuk membaca apatah lagi memahaminya, kesihatan yang Allah amanahkan menjadi merosot, emosi jadi tidak stabil, hati menjadi kosong walaupun memperoleh gaji yang besar dan jawatan yang tinggi – itulah antara makna “lemas” dalam budaya kerja berlebihan.
Rasulullah SAW dan keseimbangan waktu
Sebagai seorang Muslim, contoh manusia yang terbaik dalam pengurusan masa ialah idola seluruh umat Islam iaitu Rasullullah SAW. Baginda seorang Rasul, ayah, suami, pemimpin, panglima perang dan pendakwah, namun adakah setiap jawatan dan peranan tersebut menjauhkan baginda daripada agama?
Tidak, kerana baginda tetap menjaga ibadah makan, meluangkan masa bersama para sahabat, melayani isteri-isteri baginda, berehat dan juga tidur yang berkualiti. Rujuk sepertimana hadis yang diriwayatkan daripada Salman, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya tubuh badan kamu mempunyai hak ke atas kamu, Tuhan kamu juga mempunyai hak ke atas kamu, tetamu kamu juga mempunyai hak ke atas kamu dan isteri kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Oleh itu, berikanlah bagi setiap yang mempunyai hak ke atas diri kamu itu akan haknya.” (Riwayat at-Tarmizi, 36: 111)
Walau bagaimanapun, kita harus menghindari sikap keterlaluan dalam agama kerana Islam menganjurkan sikap bersederhana dalam urusan dunia dan akhirat.
Hadis ini bukan sekadar nasihat, malah menjadi panduan untuk menyeimbangkan kehidupan dunia dan akhirat. Islam tidak menuntut kita beribadah 24 jam tanpa bekerja atau bekerja 24 jam tanpa ruang ibadah dan berehat.
Apabila rehat juga menjadi ibadah
Setelah seharian tubuh kita bekerja, rehat menjadi satu ibadah jika diniatkan untuk menjaga kesihatan agar boleh melaksanakan ibadah dan melakukan perkara yang bermanfaat.
Rasullullah SAW sendiri mengamalkan tidur siang atau dikenali dalam dunia sekarang “power nap” atau “qailulah.” Tubuh kita adalah amanah. Tanggungjawab kitalah memberikan hak kepada tubuh dan rohani kita.
Bermula pada hari ini, tekadkan dalam hati untuk bergerak menuju keseimbangan. Ada beberapa tip untuk memulakannya:
- Solat pada awal waktu. Jadikan waktu solat sebagai waktu rehat sebentar daripada dunia luar.
- Jangan sesekali rasa bersalah jika mengambil waktu rehat, lebih-lebih lagi jika tubuh kita mula memberikan tanda perlukan rehat.
- Mulakan jurnal atau jadual masa untuk kerja, beribadah dan membaca al-Quran, bersama keluarga dan diri sendiri.
- Elakkan meletakkan kerja sebagai ukuran kejayaan sehingga melupakan hal-hal lain. Kesibukan bukan ukuran kejayaan tetapi keberkatan hidup dan masa adalah ukuran sebenar.
- Lapangkan waktu membaca al-Quran dan memahami maksudnya kerana ia adalah terapi jiwa dan menenangkan emosi.
Secara kesimpulannya, kerja adalah satu bentuk ibadah jika diniatkan kerana Allah. Jangan sesekali jadikan kerja itu sebagai penghalang kepada ibadah.
Jangan jadikan ia sebagai perosak kesihatan, pemutus hubungan kekeluargaan dan, yang paling utama, elakkan diri daripada menjadi hamba duit dan hamba kerja kerana saat ia menjadi keutamaan, kita hilang nilai sebagai hamba Allah dan ia bukan lagi ibadah.
Semak dan renung semua gaya hidup kita. Jangan sampai kita lalai atau jatuh sakit atau “burnout” untuk mula mencari Tuhan.
Jadilah hamba yang bekerja seolah-seolah hidup seribu tahun, beribadah seolah-olah akan mati esok dan tahu saatnya untuk sujud, diam dan kembali kepada diri sendiri. Rezeki yang berkat itu lebih baik daripada rezeki yang banyak tetapi tiada keberkatan.
Fatihah Salleh
Penulis Bebas