Tak kenal maka taaruf. Apalah ertinya pertemuan jika tiada taaruf. Selesai bermain, sesi taaruf menyusul diikuti dengan perkongsian ringkas mengenai gerak kerja Belia Ikram dan KBHI. Perkongsian mengenai Belia Ikram dan GEMA disampaikan oleh Pengerusi JK Belia Ikram Ipoh, Ahmad Zubair Wan Ab Rahim manakala perkongsian KBHI oleh pengerusinya, Saudara Fadhli. Turut hadir adalah AJK Ikram Ipoh, Saudara Miqdad.
Menurut Fadhli, KBHI yang baru memasuki tahun penubuhannya yang ke-2 adalah Kelab Belia HALUAN pertama yang ditubuhkan di Malaysia. Ini diikuti dengan Kelab Belia HALUAN di Shah Alam dan Kuantan. Kelab di negeri dan daerah lain dalam perancangan untuk didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).
Sebagai khatimahnya, Brotherhood Futsal ini disudahi dengan tazkirah ringkas berkaitan dengan hadis baginda berkenaan Sunnatullah. Antara isinya adalah mengenai kemenangan calon IM dan FJP, Dr Mohamed Morsi dengan fasa kebangkitan yang dijanjikan ar-Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam. Setelah berakhirnya fasa kepimpinan diktator, inilah masanya Islam bangkit memimpin alam.
Turut disentuh adalah perubahan lanskap sosio-politik Mesir sebagai ‘the mother of civilization‘ akan mengubah corak kepimpinan dunia. Selain itu, pemuda yang hadir adalah mereka yang dipilih Allah untuk berada dalam saf dakwah. Oleh itu, menjadi keperluan bagi mereka untuk terus istiqamah di jalan dakwah dan meyakini bahawa ini adalah jalan menuju kemenangan sebagaimana yang telah dirintis oleh baginda.
Para pemain dan penyokong kedua-dua pasukan kemudiannya bersalaman dan bersurai sekitar 11.15 malam. Pertemuan sebegini akan diadakan lagi secara berkala dan Belia Ikram Ipoh telah mengenalpasti beberapa ruang kerjasama dengan KBIH pada masa mendatang. Semoga belia terus berjaya, insya-Allah.