SERI KEMBANGAN – Fenomena brain rot atau kelesuan otak yang semakin diperkatakan dalam masyarakat bukanlah isu baharu, sebaliknya merupakan masalah yang telah lama wujud dalam sejarah ketamadunan manusia, menurut pengacara terkenal, Tn. Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.
Beliau berkata, keadaan itu mempunyai persamaan dengan konsep bebalisme yang diperkenalkan oleh tokoh sosiologi negara, Prof. Dr Syed Hussein al-Attas menerusi karya Intelektual Masyarakat Membangun, yang merujuk kepada pembodohan masyarakat sehingga hilang keupayaan berfikir secara rasional serta berpandukan kompas moral yang baik.
Beliau mengulas situasi tersebut ketika sesi Diskusi Terbuka #1 bertajuk “Point of View: Kita Sudah di ‘Brain Rot’ oleh Algoritma” bersama Ajmal Hadi sebagai moderator, anjuran IKRAM Muda dan Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) pada Sabtu, 25 Julai lalu di BlackyCoffee & Roasters, Taman Sri Serdang di sini.

Jelasnya, tokoh-tokoh pemikir terdahulu seperti Aristotle dan Socrates turut berdepan cabaran yang sama dengan menghidupkan budaya dialog bagi melawan kebodohan masyarakat, manakala ahli falsafah Jerman, Immanuel Kant pula menegaskan konsep Sapere Aude atau “Beranilah untuk Berfikir” sebagai asas kepada pencerahan manusia.
Menurut beliau yang juga seorang perunding dan pembangun kandungan, antara ciri utama fenomena brain rot ialah kegagalan kognitif otak untuk menilai sesuatu isu, membuat keputusan secara bijaksana serta ketidakmampuan memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara.
Di media sosial tambahnya, pengguna lebih cenderung memilih kandungan berdurasi pendek berbanding yang panjang, sementara kandungan berbentuk sensasi, hiburan dan kontroversi picisan pula lebih mudah menarik perhatian.
Ujarnya di hadapan kira-kira 30 aktivis muda, keadaan itu akhirnya mempengaruhi cara masyarakat berbahasa, termasuk penggunaan istilah popular yang tidak membawa nilai intelektual (seperti 67 atau skibidi), sekali gus mencerminkan kemerosotan budaya berfikir secara kritis, hasil daripada kebebalan yang dibina secara sistemik dalam masyarakat.
Tambah beliau, kebebalan ini disistemikkan oleh algoritma dalam penggunaan media sosial seharian manusia, yang dibina atas tiga landasan utama iaitu globalisme, kapitalisme dan komersialisme.
Ringkasnya, ia dibina supaya pengguna menjadi lebih lama menggunakannya, dan dapat menjana keuntungan yang lebih banyak daripadanya, dengan istilah yang diperkenalkan oleh Sayed Munawar sebagai Ekor Tapir (Ekonomi Tagih Perhatian).
Beliau menganggap, semakin banyak kita melihat atau menggunakan sesuatu platform atau aplikasi, semakin banyak kita membelanjakan wang, perhatian dan fokus terhadapnya.

Menurutnya, tiga aspek utama yang perlu diberikan perhatian bagi menangani fenomena brain rot ialah ekonomi, teknologi dan psikologi, namun masyarakat awam mempunyai ruang yang lebih besar untuk menyumbang dalam aspek psikologi melalui pendidikan, advokasi dan pembinaan kesedaran.
Sehubungan dengan itu, beliau menegaskan keperluan masyarakat untuk menjuarai aspek psikologi bagi membina budaya berfikir secara kritis serta mengimbangi pengaruh algoritma media sosial.
Tegas Sayed Munawar dalam sesi diskusi itu, usaha sebegini bukan tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya kerja berpasukan yang memerlukan pembinaan sistem yang akan berlawan dengan sistem yang sedia ada.




