BR1M: Kaedah terbaik bantu golongan miskin?

BR1M kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 sehingga RM4,000 juga akan dinaikkan daripada RM800 kepada RM900 dan individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000, BR1M akan dinaikkan daripada RM400 kepada RM450. Itu adalah sebahagian daripada bantuan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Namun, beberapa pihak telah mempersoalkan kebijaksanaan pihak kerajaan memberikan bantuan BR1M kepada golongan berpendapatan rendah di Malaysia. Bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Mahathir dilaporkan mengatakan bahawa BR1M adalah sebenarnya satu bentuk rasuah yang akan menjadikan rakyat terlalu berharap kepada kerajaan dan menjadi materialistik.

Tambah Dr Mahathir lagi, tindakan ini juga akan memberi kesan buruk kepada masa depan kerajaan yang memerintah. Ada yang lain merasakan bahawa BR1M adalah semata-mata taktik memancing undi dari kalangan golongan berpendapatan rendah oleh kerajaan.

Persoalannya ialah, apakah sebenarnya BR1M satu program yang terbaik untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah?

Tidak dapat dinafikan bahawa usaha membantu golongan miskin adalah sesuatu yang dianjurkan oleh agama Islam. Terdapat banyak sekali ayat daripada al Quran berkenaan perkara ini termasuk ayat-ayat berikut:

1. “Bukanlah kebaikan bahwa kamu menghadapkan wajahmu ke arah Timur dan Barat, tetapi yang sebenarnya kebaikan ialah yang beriman kepada Allah dan Hari Kemudian dan malaikat-malaikat dan Kitab dan nabi-nabi, dan memberikan harta atas kecintaan kepada-Nya, kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan orang musafir, dan mereka yang meminta sedekah dan untuk memerdekakan hamba sahaya; dan orang-orang yang mendirikan shalat dan membayar zakat; dan orang-orang yang menepati janji mereka bila mereka berjanji, dan mereka yang sabar dalam kesusahan  dan kesengsaraan, dan tabah dalam masa perang; merekalah orang-orang yang benar dan merekalah orang-orang yang bertakwa.” (al-Baqarah 2:178)

2. “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya.” (al-Maaidah 5:2)

3. “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan dan memberi kepada kaum kerabat; dan melarang daripada perbuatan keji, dan hal yang tidak disenangi, dan memberontak. Dia memberi kamu nasihat supaya kamu mengambil pelajaran.” (an-Nahl 16:91)

Pada zaman Rasulullah SAW juga terdapat golongan yang miskin. Mereka dipanggil golongan Suffah yang merupakan kumpulan sahabat Rasulullah SAW yang menumpang tinggal di beranda masjid Rasulullah SAW di kota Madinah. Mereka tidak memiliki apa-apa, lemah dan tiada kemahiran dalam urusan kehidupan harian.

Bagaimanakah Rasulullah SAW memastikan bahawa nasib mereka terbela dan tidak hidup dalam keadaan lapar dan sengsara?  Menurut  pakar ekonomi Islam, Profesor Monzer Kahf, Rasulullah SAW telah tidak pernah mengutip apa-apa cukai khas secara paksa daripada orang ramai untuk membiayai perbelanjaan keperluan golongan Suffah ini. Sebaliknya apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ialah baginda menggalakkan orang ramai menyumbang secara sukarela untuk membantu mereka. Oleh itu, adalah  menjadi amalan orang ramai ketika itu untuk meninggalkan buah-buah kurma di atas palang-palang di masjid Madinah untuk golongan Suffah ini.

Dalam erti kata yang lain, apa yang kita boleh lihat ialah cara Rasulullah SAW membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah adalah bukan dengan menjadikan ia sebagai projek pemerintah dengan menggunakan dana kerajaan. Sebaliknya, beliau menjadikan kerja bantuan kepada orang miskin sebagai projek rakyat secara sukarela agar mereka mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT untuk dijadikan bekal akhirat. Di samping itu, cara ini akan memupuk rasa kasih sayang dan belas kasihan di kalangan mereka.

Jelaslah bahawa kaedah Rasulullah SAW jauh berbeza dengan cara BR1M di mana ia adalah seratus peratus projek kerajaan dengan menggunakan dana kerajaan. Malangnya, sebenarnya dana kerajaan tidak mencukupi untuk membiayai semua perbelanjaannya. Sebab itulah salah satu dari sumber utama dana kerajaan (selain dari kutipan berbagai bentuk cukai dan dividen dari Petronas) ialah pinjaman daripada sektor kewangan. Kerajaan terpaksa meminjam daripada sektor kewangan kerana perbelanjaannya sentiasa melebihi pendapatan. Situasi yang dipanggil ‘belanjawan defisit’ ini telah berlaku lebih dari 17 tahun berturut-turut.

Sebagai contoh, bagi tahun 2017, perbelanjaan kerajaan adalah dianggarkan berjumlah RM260 bilion. Ini melebihi pendapatan yang diramalkan iaitu hanya RM219.7 bilion.  Ini bermakna, untuk tahun 2017, kerajaan terpaksa meminjam lebih kurang RM40 bilion untuk menampung perbelanjaannya. Ini juga bermakna jumlah hutang terkumpul yang ditanggung oleh kerajaan akan meningkat lagi ke jumlah sekitar RM700 bilion. Jika pendapatan kerajaan sebenar pada tahun ini adalah lebih rendah daripada yang diramalkan, sudah tentu jumlah hutang terkumpul kerajaan akan meningkat lagi.

Tambahan pula, sebahagian besar daripada pinjaman ini adalah dengan mengeluarkan bon kerajaan (dipanggil Malaysian Government Securities atau MGS) yang tidak menepati kaedah Syariah. Ini kerana, kerajaan terpaksa membayar bunga atau ‘interest’ berjumlah hampir RM30 bilion setahun setakat ini atas hutang-hutangnya walaupun ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Sudah tentu jumlah ini akan meningkat lagi pada tahun-tahun akan datang kerana jumlah hutang terkumpul kerajaan senantiasa meningkat dan diramalkan oleh pihak IMF akan mencecah RM1 trilion (atau satu ribu bilion) pada tahun 2020.

Persoalan seterusnya ialah, adakah skim BR1M akan dapat menyelesaikan masalah kenaikan kos kehidupan yang sedang dihadapi oleh rakyat terutama sekali dari golongan berpendapatan rendah?

Sebenarnya kita kena sedar bahawa faktor utama kepada kenaikan kos kehidupan ialah sistem kewangan yang diamalkan di negara kita yang berpaksikan kepada industri hutang. Sistem ini adalah sistem yang dibawa masuk oleh penjajah dan diajarkan kepada pentadbir negara kita semenjak sebelum merdeka lagi.

Oleh kerana itulah, masalah kenaikan kos kehidupan yang membebankan rakyat Malaysia, terutama sekali golongan berpendapatan rendah juga berlaku di negara bekas penjajah kita iaitu United Kingdom serta di negara lain yang mengamalkan sistem yang sama seperti Amerika Syarikat, negara Eropah, Jepun dan bahkan juga Singapura.  

Dalam sistem ini, sumber dana kepada aktiviti ekonomi adalah hutang yang dibekalkan oleh sistem kewangan. Setiap kali industri kewangan memberi hutang, wang akan tercipta secara automatik. Lagi banyak hutang yang diberikan oleh industri kewangan kepada sektor kerajaan, swasta dan juga isi rumah, maka lagi banyak bekalan wang akan tercipta.

Akibat dari dana hutang yang senantiasa meningkat ini, kos kehidupan juga akan senantiasa meningkat. Jika kerajaan, sektor swasta dan isi rumah sangat cenderung berhutang, maka kadar penciptaan wang ini akan meningkat cepat dan sudah tentu akan melebihi kadar perkembangan output. Inilah yang mengakibatkan keadaan harga barangan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun.

Tambahan pula, kadar kenaikan kos kehidupan adalah lebih tinggi daripada kadar kenaikan pendapatan pekerja. Ini kerana kebanyakan majikan juga banyak berhutang dan oleh itu, menghadapi tekanan untuk mengurangkan kos operasi, terutama sekali kerana persaingan juga sangat sengit antara syarikat swasta yang banyak berhutang.  

Sekarang ini di Malaysia, jumlah hutang dalam negara sangat tinggi iaitu RM1.2 trilion dalam kalangan sektor swasta, RM1.3 trilion dalam kalangan isi rumah dan hampir RM700 bilion oleh pihak kerajaan. Sebab itu lah masyarakat semakin merasa perit dengan masalah kos kehidupan. Jika perbelanjaan kerajaan dan sektor lain tidak dikawal dengan baik dan jumlah hutang bertambah, masalah akan menjadi lebih serius seperti yang berlaku di Greece, Sepanyol, Jepun dan beberapa negara lain.

Apa yang boleh kita rumuskan ialah, dalam jangka panjang, langkah kerajaan menyalurkan wang BR1M tidak akan dapat menyelesaikan masalah keperitan kehidupan golongan berpendapatan rendah di negara kita. Apa yang sebaliknya akan berlaku ialah, hutang kerajaan akan sentiasa meningkat. Jika kerajaan tidak mengawal perbelanjaannya dengan baik, maka kerajaan akan terpaksa menampung perbelanjaannya dengan menaikkan kadar GST pada masa hadapan yang akan menambahkan lagi beban kepada rakyat terutama sekali golongan miskin.

Solusi jangka panjang sebenarnya memerlukan perubahan kepada sistem kewangan supaya ianya tidak menggalakkan pertumbuhan hutang. Di samping itu, rakyat juga perlu merubah nilai kehidupan supaya tidak berbelanja melebihi kemampuan. Pemimpin perlu menjadi contoh kepada rakyat daripada aspek kehidupan sederhana dan tidak suka bermewah-mewah dan membazir.

Pemimpin juga perlu menjadi contoh kepada rakyat daripada segi amalan gemar membantu golongan yang miskin secara sukarela daripada duit poket peribadi mereka sendiri (dan bukan dari duit kerajaan). Akhir sekali, kerajaan juga harus menghapuskan amalan pembaziran dan ketirisan kerana ini juga akan menambahkan beban hutang kerajaan dan menyumbang kepada kenaikan kos kehidupan yang membebankan rakyat.

Prof. Dr. Mohd. Nazari Ismail
Ketua Biro Penyelidikan IKRAM
Pensyarah Fakulti Perniagaan & Perakaunan, Universiti Malaya

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

  • 5-7 April 2024
  • Ahmad Shahimi Senawi (0124061444)

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

  • 5-7 April 2024
  • Us Rozi Abu (0103535159)

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

  • 5-7 April 2024
  • Ruzinoor Che Mat (0194726820) Khairussani Farid (0132227380)

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Dr Mohamad Heerwan Peeie (010-9112045)

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Faisal (0129725464) & Nazilah (01110540165)

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

  • 5 - 6 April 2024
  • Faisal (0129725464)

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

  • 30 - 31 Mac 2024
  • Ustaz Muhamad Faiz bin Muhd Fadhil 019-4102067

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia