KUALA LUMPUR – “Lelaki Qawwam bukan tentang dominasi, tetapi insan yang membimbing dengan kasih sayang, bijaksana dan akhlak mulia,” tegas Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin dalam ucapannya sempena program “Generasi Qawwam: Anak Muda Hero Keluarga” yang berlangsung di Dewan Jabir Ibnu Hayyan, Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) semalam.
Beliau menyeru agar lelaki muda membina jati diri dengan nilai kepimpinan yang matang, bijaksana dan berjiwa besar seterusnya mampu memainkan peranan sebagai pelindung keluarga dan masyarakat.
Presiden IKRAM menekankan bahawa konsep lelaki Qawwam merupakan asas pembinaan keluarga dan masyarakat yang sejahtera. Merujuk firman Allah dalam Surah at-Tahrim ayat 6, beliau menegaskan bahawa kepimpinan lelaki adalah tanggungjawab yang disertai nilai ihsan dan hikmah.
“IKRAM membawa naratif lelaki Qawwam sebagai pelindung dengan bijaksana dan pemimpin berprinsip, bukan hanya cemerlang akademik, tetapi juga matang emosi dan luhur pekerti,” ujar beliau.
Beliau turut menyeru agar peranan wanita tidak dipinggirkan, malah diangkat sebagai rakan kongsi penting dalam pembinaan keluarga yang stabil dan masyarakat yang seimbang sebagaimana Asma’ binti Abu Bakar mendampingi suaminya Zubair r.a. dan Khadijah r.a. menyokong perjuangan Rasulullah SAW.
Menyentuh realiti semasa, beliau turut memberi amaran terhadap gejala sosial, tekanan identiti dan cabaran nilai yang melanda belia hari ini. Program Generasi Qawwam ini, katanya, merupakan ruang pendidikan sosial yang menyatukan pakar, ibu bapa dan anak muda untuk menyedari tanggungjawab masing-masing.
“Jangan biarkan media sosial dan budaya hedonisme membentuk siapa anda. Jadilah pemuda yang tahu tujuan hidup dan tahu jalan pulang kepada Tuhan,” tegas beliau.
Program ini antara lain bertujuan memupuk nilai kepimpinan, jati diri dan daya tahan dalam kalangan mahasiswa lelaki sebagai persediaan menjadi suami, bapa dan pemimpin masyarakat. Ia juga mengambil inspirasi daripada peranan bapa sebagai qudwah hasanah dalam membimbing keluarga.
Tambah beliau, program ini merupakan usaha kolektif bagi melahirkan lelaki berintegriti yang kuat prinsip dan luhur pekerti.
“Mari pulang hari ini dengan tekad untuk menjadi sebahagian daripada solusi, bukan sekadar pemerhati,” seru Presiden IKRAM mengakhiri ucapannya dengan penuh harapan.
Program anjuran bersama JAKIM, UCMI dan IKRAM ini merupakan sebahagian daripada advokasi Inisiatif Lelaki Qawwam di bawah Pelan Transformasi Al-Falah Agensi Agama. Ia menyasarkan pengukuhan peranan lelaki sebagai pemimpin keluarga berasaskan nilai Islam, sempena sambutan Hari Bapa 2025.
Acara yang dihadiri lebih 500 peserta terdiri daripada mahasiswa, belia dan masyarakat setempat ini turut diserikan dengan sesi bual santai “Inspirasi Qawwam: Lelaki Itu” menampilkan PU Rahmat, Ustazah Yuhaniz Yusop dari JAKIM dan Tiktoker popular Haji Roslan Mohamad.
Slot interaktif “Siapa Qawwam?” dan TED Talk oleh pempengaruh merangkap CEO Arba Foundation, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan turut membuka minda peserta tentang peranan lelaki sebagai pemimpin, pelindung dan pendukung dalam dunia moden yang penuh cabaran.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Dalam ucapannya, beliau mengiktiraf usaha penganjur sebagai inisiatif strategik membina modal insan berkualiti demi kesejahteraan negara.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Mohd Nizam Haji Yahya; Naib Canselor Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Prof. Dato’ Dr. Noor Inayah Ya’akub serta Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Sallawahiu Mohd Salleh.
Kerjasama erat antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjayakan program ini jelas membuktikan kepentingan pendekatan bersepadu bagi memastikan usaha mensejahterakan masyarakat dapat dilakukan secara menyeluruh, berimpak dan berterusan.