KUALA LUMPUR – Konsep Negara Bangsa disifatkan sebagai gagasan utama bagi menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah satu identiti nasional yang berpaksikan nilai perpaduan, keadilan dan kesaksamaan.
Penegasan itu disuarakan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara (KPN), Dato’ Haslina Abdul Hamid, ketika merasmikan Dialog Negara Bangsa: Dilema & Penyelesaian di Auditorium Memorial Tunku Abdul Rahman Putra, di sini hari ini.
Menurut beliau, Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang dibentuk oleh kepelbagaian kaum, agama dan budaya menuntut usaha berterusan dan serius untuk membina identiti bersama yang dikongsi seluruh warganya.
“Konsep Negara Bangsa bukan sekadar slogan, tetapi gagasan besar untuk menyatukan rakyat Malaysia berasaskan nilai perpaduan, keadilan, kesaksamaan serta pengiktirafan terhadap sejarah dan kontrak sosial yang telah menjadi asas kelahiran negara tercinta ini,” katanya.
Mengulas tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, beliau menegaskan bahawa kemerdekaan dan kemajuan negara tidak akan bermakna sekiranya rakyat terpinggir daripada perhatian.
“Nilai-nilai MADANI bukan sahaja menjadi panduan, malah mampu menjadi benteng ampuh dalam menghadapi cabaran masa depan, khususnya di era digital yang penuh risiko dan ketidaktentuan. Justeru, pemimpin dan rakyat mesti seiring sejalan membina sebuah Negara Bangsa yang bersatu, berjaya dan dihormati di persada dunia,” tegasnya.
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Haji Badlishah Sham Baharin, dalam ucapan aluannya menekankan bahawa usaha membina perpaduan dan keharmonian nasional menuntut penglibatan pelbagai pihak.
Katanya, agenda Negara Bangsa bukan sekadar konsep, tetapi perlu diisi dengan amalan dan tindakan nyata.
“Untuk menghidupkannya, kerjasama strategik antara kerajaan, institusi akademik dan badan masyarakat sivil amat diperlukan,” jelas Haji Badlishah Sham.
Tambah beliau, dialog ini dianjurkan untuk memperkasakan rasa cinta akan negara melalui pemahaman tentang isu-isu kesepaduan dan identiti kebangsaan, selain menjadi platform bagi kerjasama pelbagai pihak dalam usaha membina Negara Bangsa.
“Konsep Negara Bangsa ini amat penting dibicarakan kerana ia menjadi faktor utama untuk mewujudkan identiti Malaysia dan memupuk persefahaman ke arah perpaduan. Ini sangat bertepatan dengan penganjuran program dialog tentang Negara Bangsa pada hari ini,” ujarnya.
Program ini dianjurkan bersama oleh IKRAM dan KPN dengan kerjasama strategik Arkib Negara Malaysia, Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Gabungan Pertubuhan India yang dikenali sebagai Pertubuhan Advokasi dan Pemerkasaan Masyarakat (ACE) serta Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong).
Acara ini menjadi lebih bermakna dengan slot Bicara Utama oleh pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, yang terkenal dengan gagasan segar tentang identiti nasional. Seterusnya, pentas dialog dihangatkan dengan forum ilmiah yang menghimpunkan barisan pakar terkemuka dalam bidang perundangan, sosiologi, sosiobudaya dan sejarah.
Antara yang membarisi panel ialah Prof. Dato’ Noor Aziah Mohd Awal, Prof. Datuk Dr. Sivamurugan Pandian, Datuk Prof. Kolonel (K) Dr. Awang Azman dan Prof. Madya Dr. Bilcher Bala. Perbincangan yang sarat dengan wacana kritis ini memberi tumpuan kepada naratif Negara Bangsa, dilema yang membelenggu masyarakat Malaysia serta jalan penyelesaian yang boleh digarap bersama.
Turut memeriahkan majlis ialah Timbalan Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia, En. Zaidin Mohd Noor; Timbalan Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia, Pn. Masila Ya’kub; Ahli Jawatankuasa Pusat ACE, Subramanian Ramasamy; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Huazong, Prof. Dr. Teh Peng Hong; selain kehadiran barisan kepimpinan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM).
Dialog yang dihadiri lebih 300 peserta ini menghimpunkan khalayak pelbagai lapisan iaitu wakil kementerian dan agensi kerajaan, ahli akademik, pertubuhan masyarakat sivil (CSO/NGO), wakil sektor swasta, rakan media dan pelajar universiti.
Kehadiran yang meriah ini mencerminkan komitmen bersama untuk menjadikan konsep Negara Bangsa bukan sekadar wacana, tetapi realiti yang inklusif, progresif dan berpaksikan semangat kebersamaan.
Sebagai sebahagian daripada Sambutan Bulan Kebangsaan 2025, Dialog Negara Bangsa ini membawa mesej jelas: perpaduan adalah denyut nadi Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni.
Foto: Unit Komunikasi Korporat KPN