Berubahlah Ramadan Ini, Elak Pembaziran Makanan

Bulan Ramadan merupakan bulan yang membentuk jati diri umat Islam agar sentiasa bersyukur atas segala nikmat kurniaan-Nya. Bahkan, Ramadan juga mengajar kita menghargai rezeki selain menyelami penderitaan golongan kurang bernasib baik. 

Namun, di sebalik keberkatan Ramadan, isu pembaziran makanan semakin meruncing dek masih ramai yang terjebak dengan budaya berlebihan. 

Maka, tidak hairanlah meja makanan dipenuhi juadah berbuka puasa yang tidak termakan sementara bazar Ramadan pula menjadi medan berbelanja tanpa kawalan. Akhirnya, makanan yang sepatutnya menjadi nikmat itu sekadar menjadi penghuni tong sampah semata-mata.

Oleh hal yang demikian, jika Ramadan mendidik kita untuk bersyukur, mengapa kita masih terjebak dalam dunia pembaziran? Tepuk dada, tanya selera. 

Mensyukuri rezeki: Hikmah di sebalik kesederhanaan 

Dalam Islam, rezeki bukan sekadar apa yang diperoleh, tetapi bagaimana kita menguruskannya dengan baik. Al-Quran mengingatkan kita dalam Surah Ibrahim, ayat 7 yang bermaksud: 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memberitahu: ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu kufur (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amatlah pedih.

Ayat ini menjelaskan bahawa syukur bukan sekadar ucapan, tetapi bagaimana kita menghargai rezeki kurniaan Allah SWT.

Menurut Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia membuang kira-kira 4,005 tan metrik makanan sehari sepanjang bulan Ramadan tahun 2023.

Jumlah ini sudah mencukupi untuk memberi makan kepada lebih tiga juta orang sehari. Hal ini menunjukkan kepada kita bahawa sebenarnya kita gagal memahami erti sebenar bersyukur dalam kehidupan seharian. Jadi, tidak hairanlah jika terlalu banyak pembaziran berlaku di bulan ini dek nafsu serakah yang menyelubungi diri. 

Sehubungan itu, Allah SWT menggambarkan golongan yang membazir makanan ini sebagai al-Musrifun (pembazir), al-Muʻtadin (orang yang melampaui batas) dan al-Mubazzirin (pemboros).

Perkara ini telah dijelaskan dalam al-Quran menerusi Surah al-Aʻraf (7: 31), Surah al-Baqarah (2: 190) dan Surah al-Israʼ (17: 27). Tambahan pula, mereka juga digelar sebagai “saudara-saudara syaitan,” seperti yang dinyatakan dalam ayat 27, Surah al-Israʼ. 

Sementara itu, fenomena ini jelas mencerminkan kurangnya rasa syukur dan kelemahan iman kita dalam menguruskan rezeki kurniaan Allah SWT. Dalam Islam, Allah SWT telah menetapkan bahawa alam semesta, termasuk tumbuhan dan haiwan merupakan sumber rezeki buat umat manusia. 

Firman-Nya dalam Surah Ibrahim (14: 32), al-An’am (6: 99), an-Nahl (16: 11), dan al-Maidah (5: 96) menjelaskan bahawa air yang diturunkan dari langit berperanan menyuburkan bumi, sekali gus membolehkan manusia memperoleh rezeki secara berterusan.

Ketetapan ini menggambarkan kebijaksanaan Allah SWT dalam mengatur nikmat untuk hamba-hamba-Nya yang beriman. Namun, sejauh manakah kita mensyukuri setiap kurniaan tersebut? Fikir-fikirkanlah. 

Budaya bazar Ramadan: Nikmat atau bencana? 

Bazar Ramadan sentiasa menjadi tarikan utama bagaikan pesta makanan yang dinanti-nantikan saban tahun. Namun, dalam keterujaan mengunjungi bazar Ramadan, kita sering terlupa kepentingan berbelanja secara berhemah. 

Kajian oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mendapati peniaga bazar Ramadan sering kali mengalami lebihan jualan yang akhirnya dibuang begitu sahaja. 

Hal ini bukan sahaja membazirkan makanan, tetapi menyumbang kepada peningkatan sisa pepejal. Realitinya, nafsu membeli melebihi keperluan sebenar, menyebabkan kita terperangkap dalam tabiat pembaziran yang tidak berkesudahan.

“Puasa satu amalan, 

Sebagaimana yang diperintah-Nya, 

Moga dapat kulenturkan, 

Nafsu yang selalu membelenggu diri tiada henti-henti.” 

Lirik lagu “Harapan Ramadan” yang dinyanyikan kumpulan nasyid Raihan bersama Man Bai ini mengingatkan kita puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga latihan spiritual dalam menundukkan hawa nafsu.

Menahan diri daripada membeli secara berlebihan di bazar Ramadan adalah satu bentuk mujahadah yang mencerminkan ketaatan kita kepada perintah-Nya. Islam menegaskan kepentingan mengawal nafsu makan dan tidak berlebih-lebihan sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 

“Tidaklah anak Adam memenuhi satu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap makanan untuk menegakkan tulang belakangnya. Jika harus (makan lebih banyak), maka sepertiga untuk makanannya, sepertiga untuk minumannya dan sepertiga untuk pernafasannya.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmizi) 

Hadis ini mengajar kita bersederhana dalam menjamu selera bukan sahaja bertujuan menjaga kesihatan, tetapi memastikan agar kita tidak terjebak dalam dunia pembaziran.

Justeru, marilah kita menjadikan Ramadan ini ruang untuk memperbaiki diri, menahan diri daripada sikap boros serta lebih menghargai setiap rezeki kurniaan Allah SWT. 

Bagi mengatasi isu pembaziran makanan pula, terdapat beberapa langkah boleh diambil. Misalnya, masjid boleh mewujudkan “Tabung Makanan Ramadan,” tabung yang mengumpulkan lebihan makanan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.

Pusat membeli-belah dan medan selera pula boleh memperkenalkan “Food Bank Ramadan”, membolehkan makanan tidak habis terjual disalurkan kepada petugas keselamatan dan pekerja pembersihan. 

Di bazar Ramadan pula, peniaga boleh mengamalkan konsep “Ambil Sekadar Perlu,” iaitu konsep menawarkan pilihan hidangan bersaiz kecil bagi mengelakkan pembaziran.

Selain itu, restoran juga boleh menjalankan inisiatif “Pay It Forward”, iaitu pelanggan boleh membayar lebih untuk menyediakan makanan kepada yang memerlukan.

Jika langkah-langkah ini diamalkan secara meluas, budaya pembaziran dapat dikurangkan sekali gus menjadikan Ramadan bulan yang penuh keberkatan. 

Ramadan sebagai Madrasah Takwa 

Ramadan bukan hanya bulan menahan lapar dan dahaga, tetapi juga madrasah untuk membentuk peribadi dan meningkatkan ketakwaan dalam diri. Takwa bukan hanya diukur melalui solat dan puasa, tetapi juga melalui tindakan kita dalam menghargai nikmat Allah SWT.

Jika kita membiasakan diri dengan pembaziran makanan tanpa rasa bersalah, adakah kita benar-benar mencapai tujuan Ramadan sebenar? 

Lantaran itu, dengan membangunkan jiwa takwa, kita bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari, tetapi juga belajar mengawal keinginan nafsu dalam pelbagai aspek kehidupan, termasuklah nafsu terhadap makan makanan berlebihan.

Ramadan seharusnya menjadi bulan yang lebih bersederhana, lebih memberi dan lebih menghargai setiap nikmat yang diberikan. 

Pepatah ada menyebut, “Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit.” Jika kita berusaha mengurangkan pembaziran sedikit demi sedikit, lama-kelamaan ia akan membawa perubahan besar dalam masyarakat.

Justeru, masyarakat juga perlu menghayati peribahasa “Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.” Jika kita terlalu tamak dalam membeli makanan tanpa mengira keperluan sebenar, akhirnya makanan yang dibeli itu tidak dihabiskan dan terbuang begitu sahaja. 

Belajarlah daripada peribahasa “Ukur baju di badan sendiri” supaya kita membeli makanan mengikut keperluan dan bukan memenuhi kehendak nafsu semata-mata. 

Kesimpulan 

Ramadan mendidik umat Islam bersyukur dan bersikap sederhana dalam kehidupan. Walaupun Ramadan terpalit isu pembaziran makanan, Islam menegaskan kepentingan mengawal nafsu serta mengurus rezeki dengan baik agar tidak menjadi golongan al-Musrifun, golongan yang dibenci Allah SWT.

Justeru, kita perlu menjadikan Ramadan sebagai madrasah takwa yang mengajar kita menghargai setiap nikmat, mengawal keinginan dan mengamalkan sikap berjimat cermat demi kesejahteraan masyarakat sejagat. 

Semoga Ramadan kali ini membuka pintu hati kita menjadi insan lebih bertanggungjawab dalam menguruskan rezeki.

Marilah kita bersama-sama mengubah tabiat agar Ramadan kali ini bukan sekadar tuntutan untuk berpuasa, tetapi bulan yang membangunkan jiwa takwa umat Islam yang sebenar-benarnya. 

Nur Adawiyah Fauzi
Pemenang Sagu Hati
Pertandingan Artikel Ramadan 1446 H

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia