BANDAR BARU BANGI – Berkata benar serta sifat amanah, jujur dan berintegriti menjadi kunci kepada kepimpinan berwibawa sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, kata Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Hj Badlishah Sham Baharin.
Tambahnya, kajian meluas seluruh dunia yang dibuat oleh dua penulis terkenal bidang pengurusan dan kepimpinan, Kouzes dan Posner dalam buku mereka “Credibility: How Leaders Gain and Lose It, Why People Demand It” menyenaraikan sepuluh kebenaran dalam kepimpinan.
“Dalam buku Prophet Muhammad: The Hallmark of Leadership, Dr Azman Hussin, Dr Rozhan Othman dan juga Dr Tareq al-Suwaidan telah memadankan 10 kebenaran dalam kepimpinan ini dengan gaya kepimpinan Nabi Muhammad SAW,” katanya.
Jelas beliau semasa berucap merasmikan program Konvensyen Mahasiswa IKRAM Internasional (KONSISTEN 2022 : The Comeback) anjuran IKRAM Luar Negara (IMAN) pada Sabtu di German-Malaysian Institute (GMI) di sini, hasil padanan itu mendapati gaya kepimpinan Rasulullah SAW memang menepati sepuluh ciri itu, bahkan lebih daripada itu.
Kata beliau, sebenarnya dalam dunia kepimpinan dan pengurusan ini, memang banyak buku telah dikeluarkan oleh sarjana Barat kerana mereka terkehadapan dalam bidang ini.
“Tapi mereka juga mengakui tidak ada satu ‘role model’ dalam kepimpinan merangkumi 10 kebenaran tadi, walaupun dalam kalangan CEO, Pengarah Urusan mana-mana syarikat besar dunia hari ini.”
“Tapi dalam diri Muhammad SAW, 10 kebenaran dalam kepimpinan ini ada. Inilah keunikan dan kelebihan yang ada pada Nabi Muhammad SAW.”
Kata Badlishah lagi, dalam buku Credibility oleh Kouzes and Posner ini, mereka juga telah membuat kajian meluas terhadap salah satu daripada 10 kebenaran kepimpinan iaitu tentang kredibiliti atau kewibawaan dalam kepimpinan.
“Mereka dapati kredibiliti ini ada dua ciri yang mana apabila mereka interviu semua orang, dua ciri ini semua orang memperkatakannya, iaitu truthfulness (berkata benar) dan honesty (jujur).
“Jadi asas kewibawaan ini sebenarnya dua ciri ini: berkata benar dan jujur,” ujarnya.
Menurutnya, Rasulullah SAW memang ada ciri-ciri ini iaitu as-siddiq (berkata benar) dan al-amanah (jujur) yang dibuktikan melalui kisah bagaimana baginda sangat-sangat dipercayai untuk menyimpan dan menjaga barang masyarakat Quraisy, ucapan di Bukit Safa serta peristiwa peletakan batu hajarul aswad di Kaabah.
“Inilah ciri yang diharapkan oleh manusia juga, inilah dia fitrah yang Allah jadikan dalam hati kita bahawa kita memang dambakan, kita tuntutkan supaya di kalangan pemimpin itu mesti ada as-siddiq dan al-amanah.”
Badlishah turut menyeru peserta KONSISTEN 2022 supaya meneladani keperibadian Sultan Muhammad al-Fatih yang berfikir dengan taktik luar biasa untuk menawan kota Constantinople melalui jalan darat.
“Kita pun kena fikir strategi yang paling baik dalam kita melakukan pengislahan, reformasi negara kita ni ke arah yang lebih baik, sepertimana Sultan Muhammad al-Fatih fikir (strategi) waktu itu.”
Kata beliau lagi, tugas aktivis dakwah bukan sahaja untuk membawa cahaya Islam, tetapi juga cahaya keadilan, cahaya sosial, cahaya pengislahan, cahaya kebaikan dan pelbagai lagi cahaya yang Islam menyinari dunia ini dengannya.
“Kita ini sebenarnya ditugaskan untuk membawa cahaya ini kepada dunia,” jelasnya sambil menambah ciri-ciri orang yang membawa cahaya ini.
“Iaitu orang yang tidak dilalaikan oleh perdagangan dan jual beli daripada mengingati Allah, melaksanakan solat, menunaikan zakat, mereka takut kepada hari ketika hati dan penglihatan menjadi goncang (hari kiamat).” (An-Nuur: 37)
“Apakah anda bersedia untuk menjadi cahaya kepada dunia? Apakah kita bersedia menjadi cahaya dakwah ini kepada dunia?” soal beliau.
Mengakhiri ucapan perasmian, beliau menyeru peserta agar bersama-sama mengambil semangat Tahun Baru Hijrah untuk berubah kepada kebaikan, berubah menjadi lebih baik, lebih bertenaga dan lebih inginkan untuk memperjuangkan agama Allah SWT ini.
Turut hadir dalam perasmian KONSISTEN 2022 ialah Pengarah Urusan GMI, Prof. Ir. Dr Azmi Hassan, Setiausaha Agung IKRAM, Haji Shahrul Aman Mohd Saari, Ketua IKRAM Muda, Khairul Anuar Kamaruddin, Ketua IKRAM Luar Negara (IMAN), Ustaz Dr Hajar Opir, Timbalannya Dr Diana Katiman dan Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM.
KONSISTEN 2022 yang berlangsung pada 29 hingga 31 Julai lalu merupakan program tahunan anjuran IMAN yang menghimpunkan aktivis-aktivis mahasiswa IKRAM yang merangkumi 16 buah negara.