Pertunjukan bersama plakad itu bertujuan memberikan peringatan dan kesedaran kepada semua tentang Hari Wanita Antarabangsa yang disambut pada 8 Mac setiap tahun.
Dengan tema tahun ini iaitu ‘Berinovasi Untuk Perubahan’, ia bersesuaian dengan konsep perubahan yang membolehkan wanita berada di hadapan untuk menjalankan tugasnya.
Timbalan Ketua Wanita IKRAM, Prof Madya Dr Sabariah Baharun berkata, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2019 adalah merupakan salah satu daripada Sambutan Ulang Tahun ke-10 IKRAM.
“Untuk sambutan pada tahun ini, Wanita IKRAM telah menggunakan tema ‘Berinovasi Untuk Perubahan’ dan terdapat tiga program yang dirancang iaitu Pertandingan Fotografi, Flashmob.”
Tambahnya lagi, acara kemuncak bagi sambutan ini akan diadakan Seminar Hari Wanita Antarabangsa pada 17 Mac ini dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Sinar Harian, Karangkraf, World Quran Hour dan TV AlHijrah di Dewan besar IKIM.
“Wanita IKRAM ingin membawakan mesej memartabatkan wanita. Walaupun sebenarnya dalam Islam wanita memang telah dimartabatkan, tetapi kini kita dapat lihat kedudukan wanita itu tidak pada tempatnya,” ujar Sabariah.
Selain itu, menurutnya, perjuangan yang dibawa adalah ingin meletakkan martabat wanita itu ke tempat yang sepatutnya dan sesempurnanya serta yang penting ialah kesaksamaan antara wanita dan lelaki.
“Semua itu dengan mengambil kira unsur-unsur biological, kedudukan antara lelaki dan wanita tetapi masing-masing mempunyai peranan untuk membangunkan negara supaya menjadi sejahtera dan aman.”
Naib Ketua Wanita 1 Prof Madya Dr Hjh Roohaida Othman dalam ucapannya semasa flashmob berkata, ‘Inovasi Untuk Perubahan’ yang diperlukan ini adalah berdasarkan kepada cara pemikiran, yang memastikan kesaksamaan wanita dan lelaki berdasarkan kepada ciri-ciri semula jadi wanita itu sendiri.
“Kesaksamaan adalah lebih baik daripada kesamarataan kerana kesaksamaan adalah berdasarkan kepada keadilan, dan kepada individu itu sendiri.”
Beliau menyeru kepada semua pihak, kerajaan, individu, ahli masyarakat agar wanita perlu diberi peluang bagi membolehkan mereka menjalankan tugas, menyumbang kepada masyarakat serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara.
“Oleh itu yang kita inginkan, inovasi, teknologi, kaedah-kaedah infrastruktur yang lebih baik, yang membantu wanita dan membolehkan mereka berada dalam masyarakat dengan selamat dan terjamin.”
Dalam pada itu, Wanita IKRAM bercita-cita menjadikan masyarakat hari ini memiliki keluarga yang utuh iaitu bermula daripada diri wanita itu sendiri mempunyai kekuatan fizikal, rohani, mental agar boleh menyumbang kepada masyarakat dengan lebih baik.
Turut bersama dalam pertunjukan flashmob ialah Ahli JKP IKRAM merangkap Pengarah Sambutan Ulang Tahun ke-10 IKRAM, Hj Nahar Md Nor, Bendahari Wanita Pn Haliza Abdul Malik, AJK Wanita Dr Normah Abdulah serta kakitangan Ibu Pejabat IKRAM, MyCARE dan Iman Shoppe.
Pertunjukan flashmob yang buat julung kalinya diadakan semalam turut berlangsung secara serentak di 17 lokasi lain di seluruh negara sempena menyambut Hari Wanita Antarabangsa 2019.