Beribadat sekadar nak jadi baik?

Wujud suatu kefahaman bahawa tujuan beragama dan beribadat adalah untuk memperbaiki keperibadian, menyucikan jiwa serta mendidik hati semata-mata.

 

Oleh itu, apabila seseorang itu dapat memenuhi tujuan tersebut dengan apa-apa cara sekalipun, maka agama dan ibadat tidak lagi menjadi suatu keperluan dalam hidup manusia.

 

Agama dan ibadat bagi mereka sekadar salah satu cara untuk ‘menjadi baik’. Tiada keperluan untuk menyusahkan diri dengan melakukan solat lima kali setiap hari, berpuasa sehingga sebulan penuh, bermusafir jauh untuk melaksanakan ibadat haji dan semua ibadat yang lain sedangkan ada cara serta kaedah yang lain untuk mencapai tujuan.

 

Tujuan ibadat

 

Kefahaman sedemikan amat tersasar dengan hakikat serta tujuan ibadat itu sendiri. Ibadat merupakan tujuan manusia diciptakan, ia bukanlah semata-mata bertujuan untuk menjadi baik serta menyucikan hati seperti yang disangkakan. Firman Allah:  

 

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka beribadat (mengabdi diri) kepada-Ku.” (Al-Dzaariyat: 56)

 

Ibadat secara terminologinya bermaksud hak serta tanggungjawab seorang hamba kepada Penciptanya agar manusia merasakan dirinya lemah yang hanya bergantung hidup kepada-Nya semata-mata. Firman Allah SWT:

 

“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (Faathir: 15)

 

Menzahirkan kehambaan kepada Allah SWT serta mematuhi segala suruhan-Nya merupakan illah (sebab) kepada semua ibadat khusus contohnya seperti solat, puasa, zakat, haji, tilawah al-Quran, zikir, doa dan iltizam dengan hukum halal dan haram.

 

Adapun memperbaiki diri serta menyucikan jiwa daripada sifat-sifat yang keji adalah hasil daripada ibadat yang betul dan sempurna seperti yang dikehendaki oleh Allah. Firman Allah SWT:

 

“Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.” (Al-Baqarah: 21)

 

Kalimah (لعّل) dalam ayat tersebut membawa maksud al-tarajji (mengharap) dan bukannya bermaksuk al-ta’lil (penyebab). Tuntasnya, tuntutan ibadat adalah dengan harapan orang-orang yang melakukannya menjadi orang yang bertakwa, bukanlah dengan melakukan ibadat pasti menyebabkan kamu menjadi bertakwa.

 

Begitu juga dengan firman Allah SWT berikut:

 

“Sesungguhnya Aku Ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang hak) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Taha: 14)

 

 “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar.” (Al-Ankabut: 45)

 

Tujuan solat seperti yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam kedua-dua ayat di atas adalah untuk seseorang hamba itu bermunajat serta mengingati-Nya.

 

Walaupun mendirikan solat juga dapat mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar tetapi ia adalah hasil dan tuaian solat yang sempurna. Namun, tujuan solat itu sendiri seperti firman-Nya dalam ayat tersebut, “mengingati Allah SWT itu adalah lebih besar”.

 

Kesimpulannya, sesiapa yang beribadat seperti solat dan puasa semata-mata untuk menyucikan hatinya (tazkiyah nafs), menjadikan dirinya berakhlak mulia serta beroleh kelebihan dan fadilat tertentu tanpa merasai tanggungjawab sebagai hamba, tunduk, patuh, cinta, rendah diri dan merasa kerdil di hadapan Allah, maka jadilah segala ibadatnya itu sekadar adat dan rutin harian yang dilakukan setiap hari.

 

Ianya tidak ubah seperti seseorang yang makan dan minum setiap hari demi kesihatan dan keperluan tubuh badannya, tidur untuk kerehatan dirinya dan lain-lain.

 

Ustaz Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib
Ketua Hal Ehwal Syariah
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia