KUALA LUMPUR – Keupayaan sesebuah negara diukur bukan hanya pada kemajuan ekonomi, tetapi sejauh mana ia mengangkat golongan rentan untuk kembali berdikari dalam masyarakat.
“Bagaimana kita angkat masyarakat golongan rentan merupakan kayu ukur mana-mana negara yang bertamadun. Perjuangan ini harus menggabungkan suara kita bersama,” seru Penasihat Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Puan Nurul Izzah Anwar dalam ucapan perasmiannya di Konvensyen Kepulihan Kebangsaan (KKK) 2025 pagi tadi.
KKK 2025 adalah satu perhimpunan ulung bekas-bekas penagih dadah berjaya, pusat-pusat pemulihan dadah persendirian berdaftar yang diterajui dan dikendalikan oleh bekas penagih dadah, aktivis, wakil daripada agensi kerajaan dan penyelidik berkaitan masalah penagihan dadah. Konvensyen ini bertujuan untuk memperkukuh strategi rawatan serta memperjuangkan reformasi dasar dadah di Malaysia.
Nurul Izzah menegaskan bahawa bekas penagih dadah sering berdepan kesukaran untuk mendapatkan peluang kedua membina kehidupan, meskipun telah berusaha keluar daripada ketagihan.
“Usaha untuk memadamkan rekod lampau mereka amat penting, terutamanya bagi mereka yang ingin bekerja, memperoleh peluang kedua dan membina semula kehidupan. Apatah lagi, untuk meneruskan kelangsungan hidup sahaja sudah cukup mencabar. Hakikatnya, kita semua tidak sempurna,” katanya.
Beliau turut meluahkan kebimbangannya terhadap stigma masyarakat yang menghalang bekas penagih daripada membina kehidupan baharu.
“Berjuang untuk keluar dari cengkaman ketagihan sudah cukup mencabar, namun selepas berjaya melepaskan diri, mereka masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Seolah-olah masyarakat enggan memberi mereka peluang untuk benar-benar bebas dan membina kehidupan baharu,” tambahnya lagi.
Menurut beliau, akses kepada rawatan bagi penagih dadah adalah satu keperluan asas yang perlu dipastikan oleh semua pihak namun pencegahan adalah jalan terbaik.
“Mencegah adalah jauh lebih mudah daripada merawat. Kita dapat melihat bagaimana penyalahgunaan dadah terus berkembang, bukan sekadar melibatkan opioid, tetapi juga dadah sintetik. Apabila dadah sintetik digunakan, kesannya terhadap otak amat drastik dan serius,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan betapa pentingnya pendidikan dan langkah pencegahan awal bagi menghindarkan generasi muda daripada terjerumus ke dalam kancah ketagihan.
“Selain berusaha menutup ruang yang mendorong ketagihan, kita juga perlu turun ke sekolah, mendidik dan berkongsi dengan anak-anak tentang keperitan serta penderitaan akibat ketagihan. Mereka perlu memahami bahawa sekali terjerumus, jalan untuk kembali amat sukar,” katanya.
Menyentuh aspek perundangan semasa, beliau mengkritik ketidakadilan dalam sistem yang sering menghukum individu bawahan dalam sindiket dadah, sedangkan dalang sebenar terus terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Jika kita hanya menumpukan kepada hukuman semata-mata, kesannya akan membebankan kita semua. Hakikatnya, dalang besar sering terlepas, sedangkan yang dihukum hanyalah individu bawahan yang dijadikan kambing hitam,” ujarnya dengan nada tegas.
Nurul Izzah menyeru semua pihak daripada masyarakat umum hingga ke peringkat pembuat dasar untuk berganding bahu dalam memperjuangkan keadilan sosial dan memberikan peluang pemulihan kepada mereka yang memerlukan.
Konvensyen Kepulihan Kebangsaan (KKK) dianjurkan bersama oleh Malaysian Substance Abuse Council (MASAC), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Drug Policy Program Malaysia (DPPM) dan Yayasan Tengku Abdullah.
Puan Faridah Maludin mewakili IKRAM sebagai ahli panel jemputan dan moderator dalam dalam slot forum, manakala Prof Dr Hj Sahrim Ahmad menyampaikan pembentangan resolusi yang menyokong usaha memperkukuh reformasi dasar dadah negara.
Turut hadir dalam konvensyen ini ialah Timbalan Presiden IKRAM, Jusni Yusoff; Ketua Kluster Masyarakat Progresif, Hj Ainullotfi Abd Latif; Ahli Jawatankuasa Pusat (AJKP), Dr Maznah Ahmad; wakil IKRAM Kuala Lumpur; Hj Mohammad Munawer Ismail; wakil IKRAM Setiawangsa, Abdul Rashid Mohamad Alias dan wakil IKRAM Bandar Tun Razak, Puan Zulaini Zainal Abidin.