HIKAM memandang serius penggunaan istilah “kafir harbi” terhadap orang bukan Islam di Malaysia. Penggunaan label sedemikian bukan sahaja tidak tepat, malah berpotensi menimbulkan salah faham dan konflik dalam masyarakat majmuk kita.
Perlu difahami bahawa kafir harbi merujuk kepada orang bukan Islam yang secara terang-terangan dan berterusan memerangi atau memusuhi umat Islam dan negara Islam sepertimana yang dilakukan oleh rejim Zionis sekarang. Mereka dengan sengaja mengisytiharkan permusuhan terbuka, menjadi ancaman nyata kepada keselamatan dan kedaulatan negara Islam.
Penggunaan istilah ini secara sewenang-wenangnya terhadap warganegara bukan Islam yang hidup harmoni dalam negara kita adalah kesilapan yang harus dibetulkan. Tuduhan ini bercanggah dengan ajaran Islam yang menekankan perlindungan terhadap golongan bukan Islam dalam negara Islam, seperti yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:
“Ingatlah! Barangsiapa menzalimi kafir mu’ahad (orang bukan Islam yang ada perjanjian dengan orang Islam seperti orang bukan Islam di Malaysia yang telah berjanji mematuhi perundangan dan perlembagaan) atau menindas, membebankan di luar kemampuan atau mengambil sesuatu tanpa persetujuannya maka aku akan menjadi pembela baginya pada hari Kiamat”. (Riwayat Abu Dawud)
Sejarah Islam sendiri membuktikan wujudnya keharmonian hidup antara umat Islam dan bukan Islam. Piagam Madinah yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW menjamin hak dan keselamatan semua penduduk Madinah, termasuk orang Yahudi yang menghormati perjanjian tersebut.
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dalam konteks Malaysia, orang bukan Islam yang menerima perlembagaan dan undang-undang negara dikategorikan sebagai muwatin atau warganegara yang dilindungi undang-undang, bukannya kafir harbi.
Menggelar mana-mana pihak, parti politik atau pertubuhan yang sah mahupun individu rakyat Malaysia sebagai kafir harbi adalah tidak berasas dan berbahaya. Ia bertentangan dengan ajaran Islam yang menekankan keadilan dan toleransi dalam masyarakat majmuk. Al-Quran dengan jelas menyatakan panduan Allah yang bermaksud:
“Allah tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu dalam urusan agama dan tidak mengusir kamu dari kampung halamanmu. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Al-Mumtahanah: 8)
HIKAM menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk menolak retorik yang memecahbelahkan masyarakat. Sebaliknya, marilah kita bersama-sama mempromosikan keharmonian dan perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama, selaras dengan ajaran sebenar Islam yang membawa rahmat kepada seluruh alam.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
1. Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
2. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
3. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
4. Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Sekretariat Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
Azizuddin Ahmad
Setiausaha Agung
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Shahrul Aman Mohd Saari
Setiausaha Agung
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Muhammad Aliemran Norasid
Setiausaha Agung
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Mohd Sabbri Md Yudin
Setiausaha Agung
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)