PFA adalah kemahiran asas yang perlu ada kepada sukarelawan yang terlibat dalam membantu mangsa yang diuji dengan bencana sama ada gempa bumi, kesan peperangan, tsunami dan juga banjir besar seperti yang melanda negara baru-baru ini.
Bengkel sehari ini dibimbing oleh pakar psikiatri PPUKM, Dr Tuti Iryani Mohd Daud (gambar utama) menggunakan modul PFA yang bersumberkan bahan yang dibangunkan oleh World Health Organisation (WHO) dan ia dihadiri oleh kira-kira 35 orang peserta termasuk wakil daripada Persatuan Hindu Sangam Malaysia.
Menurut Setiausaha Agung IKRAM, Haji Nahar Md Nor yang merasmikan bengkel ini, bengkel PFA ini berbentuk ‘bottom up’ di mana ahli IKRAM yang berkepakaran proaktif mencadangkan program yang bersesuai dengan keadaan semasa yang dihadapi.
Beliau memetik dua potong ayat daripada surah al-Hujurat ayat 15 sebagai motivasi kepada peserta betapa pentingnya PFA ini dalam bentuk memberi bantuan harta dan jiwa agar dapat membawa ketenangan kepada mangsa bencana.
Latihan menangani Trauma Bising dan Trauma Senyap
Apa yang menarik dalam bengkel sehari ini ialah peserta diberikan latihan bagaimana menghadapi bencana gempa bumi. Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan sebagai sukarelawan membantu mangsa gempa bumi dan mangsa gempa bumi.
Mangsa memainkan pelbagai peranan antaranya menangis kerana kehilangan emak yang dipanggil trauma bising dan ada mangsa yang mengalami trauma senyap, tidak berkata apa-apa dan ada yang memainkan peranan sebagai seorang budak berumur 10 tahun.
Berdepan dengan suasana bencana, sukarelawan perlu melengkapkan diri dengan PFA agar dapat memberi bantuan yang berbentuk humane dan sokongan praktikal kepada individu-individu yang baru sahaja terdedah kepada bencana.
Sukarelawan PFA diingatkan supaya tidak mengganggu mangsa bencana sekiranya mereka tidak memerlukan bantuan, mengenal pasti penjagaan praktikal dan sokongan, menilai keperluan dan kebimbangan individu tersebut dan membantu individu untuk mendapatkan keperluan asas seperti makanan dan air.
Perkara paling asas yang perlu ada kepada sukarelawan PFA ialah agar memastikan keselamatan diri mereka juga terjaga terlebih dahulu. Rasionalnya ialah sekiranya diri sukarelewan tidak terjaga, bagaimana mereka boleh membantu orang lain yang memerlukan?
Prinsip PFA
Peserta juga didedahkan kepada empat prinsip PFA iaitu membuat persiapan (prepare), membuat pemerhatian (look), mendengar (listen) dan membuat hubungan (link).
Apa yang dimaksudkan dengan membuat persiapan ialah mendapat maklumat sebanyak mungkin tentang krisis yang berlaku, keadaan keselamatan semasa dan juga khidmat sokongan yang sudah sedia ada. Contohnya seperti mengenal pasti wujud pusat yang menyelaraskan bantuan kepada mangsa bencana.
Apabila tiba di tempat bencana, sukarelawan perlu membuat pemerhatian tahap keselamatan setempat kerana mungkin ada bangunan yang tidak selamat contohnya. Di samping itu, sukarelawan hendaklah mengenal pasti mangsa yang memerlukan bantuan segera atau berada dalam keadaan kesedihan yang amat dahsyat.
Melalui prinsip yang paling penting iaitu mendengar, sukarelewan diingatkan agar mengenalkan diri mereka kepada mangsa terlibat.
Dalam keadaan tekanan, elakkan daripada bertanya kenapa kerana kadangkala mangsa sendiri tidak tahu kenapa dan apa yang menimpa mereka. Adalah lebih baik untuk menjadi pendengar yang sabar dan bercakap sesuai dengan masa dan keadaan.