SERI KEMBANGAN – IKRAM Muda dengan kerjasama Ibu Pejabat IKRAM telah menganjurkan Bengkel Artificial Intelligence (AI) yang berlangsung dalam dua sesi pada 20 Mei dan 19 Jun 2025 di Dewan Utama IKRAM.
Program yang disertai oleh 47 orang kakitangan IKRAM ini merupakan usaha strategik IKRAM dalam memperkasa keupayaan digital kakitangan seiring dengan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan yang kini menjadi alat penting dalam pelbagai bidang pekerjaan dan dakwah.
Bengkel intensif selama dua hari ini dikendalikan oleh Coach Salwa dari SalamPro Group Sdn. Bhd., seorang jurulatih berpengalaman dalam bidang pemasaran digital dan teknologi AI.
Peserta diberi pendedahan menyeluruh terhadap pelbagai aplikasi AI seperti ChatGPT, DeepSeek, Gamma, Canva Magic, Suno dan sebagainya.
Mereka belajar menghasilkan kandungan tulisan berkualiti menggunakan ChatGPT, mereka bentuk persembahan interaktif dengan Gamma dan mencipta visual menarik melalui Canva yang dipacu AI.
Bengkel ini juga melibatkan penerokaan DeepSeek untuk analisis data, serta penciptaan muzik melalui Suno yang membuktikan potensi AI dalam bidang seni dan hiburan.
Para peserta tidak hanya mendengar teori, malah terlibat aktif dalam sesi praktikal dan tugasan berkumpulan. Ini termasuk simulasi penggunaan AI dalam tugasan harian, penghasilan bahan promosi digital, serta pembangunan kandungan kreatif yang relevan dengan keperluan organisasi.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman teknikal, malah menyemai keyakinan dalam kalangan peserta untuk meneroka sendiri teknologi baharu.
Kursus ini mendapat maklum balas positif daripada para peserta, antaranya telah mempelajari banyak perkara dan memudahkan kerja seharian. Ini mencerminkan keberkesanan pendekatan kursus yang praktikal dan terus dapat diaplikasikan dalam tugasan harian.
Menurut penganjur, kursus ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada warga kerja IKRAM agar dapat memanfaatkan teknologi AI secara bijak, kreatif dan beretika. Usaha ini seiring dengan agenda pendigitalan organisasi serta memperkukuh keberkesanan penyampaian mesej kepada masyarakat.