Benarkah kerajaan halalkan industri vape?

SERI KEMBANGAN – Kerajaan digesa supaya menjelaskan pendirian dalam isu menghalalkan vape yang mengandungi nikotin bagi membolehkan cukai dikenakan ke atas produk berisiko tersebut.

 

Gesaan ini disuarakan dalam satu kenyataan bersama oleh Pertubuhan Green Lung Malaysia (MGLA), Pertubuhan Wanita Malaysia untuk Aktiviti Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH), Persatuan Kesihatan Remaja Malaysia (MAAH), Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia dan Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health).

 

“Perkara ini amat sangat dikesali dan membimbangkan sekiranya semua kenyataan industri vape menjadi satu kebenaran, terutamanya ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19 yang mengancam kesihatan rakyat dan meragut nyawa.”

 

Kenyataan pihak JTI Malaysia di Buletin Utama TV3 dan NST, serta kenyataan Dewan Perniagaan Vape Malaysia di Kosmo! baru-baru ini menganggarkan bahawa kutipan cukai bagi cecair vape boleh mencecah RM250 juta setahun.

 

“Hasil RM250 juta ini tidak menunjukkan betapa hebatnya sumbangan industri vape kepada ekonomi negara, sebaliknya ia hanya memaparkan hakikat betapa ramainya rakyat Malaysia kini ketagih kepada nikotin dan betapa lemahnya kerajaan dalam menangani ketagihan nikotin di negara kita. Angka ini bukan sesuatu yang terpuji, tetapi memalukan,” jelas lima NGO tersebut.

 

Tambah mereka, Dewan Perniagaan Vape Malaysia dalam satu kenyataan meminta agar kerajaan menghalalkan penjualan vape bernikotin, dan juga mengakui bahawa 97 peratus selebihnya adalah cecair vape bernikotin.

 

“Jualan produk yang ternyatanya haram di bawah Akta Racun 1952 harus dibanteras, apatah lagi dihalalkan dan dikenakan cukai.

 

“Jika penjualan sebegini dihalalkan, di manakah kewibawaan kerajaan dan undang-undang? Reputasi Malaysia sebagai Ahli kepada Kerangka Konvensi Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pasti akan turut tercemar,” tegas mereka.

 

Menurut mereka, sejak kebelakangan ini, berita-berita yang dimuat naik ke laman-laman sosial menunjukkan bahawa kerajaan seolah-olah bersetuju untuk membenarkan penjualan cecair Vape bernikotin.

 

“Tulisan-tulisan dan berita sebegini telah mendapat sambutan positif daripada pihak industri tembakau gergasi yang sedang menunggu untuk meneruskan perdagangan produk yang berisiko ini.”

 

Malahan, kata mereka, peristiwa lobi-melobi secara terang-terangan berlaku di peringkat tertinggi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sepatutnya menjaga kepentingan kesihatan rakyat terutamanya ketika negara sedang berdepan dengan kesusahan.

 

“Semua kejadian dan berita ini memandu kita untuk mempercayai bahawa kerajaan seolah-olah telah bersetuju untuk meluluskan penjualan vape bernikotin dan seterusnya mengenakan cukai ke atas produk ini tanpa pengetahuan orang ramai.”

 

Tambah mereka dalam kenyataan itu, sekiranya cadangan industri untuk membenarkan penjualan vape bernikotin diluluskan dengan begitu cepat sedangkan Akta Tembakau yang baharu sudah menunggu lebih lima tahun dan masih belum dibentangkan untuk kelulusan, jelasnya kerajaan telah memilih untuk berdiri di pihak industri dan mementingkan keuntungan cukai semata-mata lebih daripada nyawa dan kesihatan rakyat, tanpa mengambil kira beban ekonomi tindak balas tersebut.

 

“Oleh itu, kami NGO yang prihatin terhadap kesihatan golongan pemuda, wanita dan kanak-kanak serta pengguna secara keseluruhannya, dengan ini mendesak kerajaan Malaysia untuk memaklumkan pendirian dan TIDAK termakan dengan cadangan industri dan mengikuti kehendak mereka yang rakus dalam mengaut keuntungan tanpa prihatin terhadap beban ekonomi kesihatan rakyat.”

 

Sebagaimana kenyataan yang dikeluarkan oleh 58 NGO pada 9 Mei 2021, mereka tegas mendesak agar kerajaan melarang sepenuhnya sebarang bentuk penjualan dan penggunaan produk vape sama ada mengandungi nikotin atau tidak mengandungi nikotin seperti yang telah dilaksanakan di negara-negara jiran seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Kemboja.

 

“Kami berharap pemimpin-pemimpin dapat membuka mata dan memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia.

 

“Cukup-cukuplah rakyat dibebani dengan pandemik Covid-19 yang tiada penghujungnya.

 

“Jangan ditambah lagi penderitaan rakyat dengan menghalalkan racun yang akan memburukkan lagi keadaan.”

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia