Para peserta bermalam terlebih dahulu di Pejabat IKRAM Shah Alam. Setelah bersiap diri dan qiyamullail, para peserta bertolak seawal 4.00 pagi hari Ahad ke Bukit Broga secara berkonvoi dengan lima buah kereta.
Jam 5.00 pagi, konvoi berkereta tiba di kaki Bukit Broga. Peserta mula mendaki dalam suasana kelam dan gelap gelita. Ada juga beberapa pasukan pendaki yang mendaki lebih awal untuk ke puncak bukit. Apabila peserta hampir tiba di puncak, azan Subuh berkumandang. Peserta berhenti sebentar untuk solat Subuh berjemaah, membaca Ma’thurat dan mendengar tazkirah.
Kemudian, pendakian diteruskan hingga ke puncak. Tiba di puncak, para peserta menyaksikan kebesaran Allah Ta’ala dan keindahan pemandangan alam ciptaanNya. Selesai turun ke kaki bukit dan bersarapan pagi, peserta bertolak pula ke Sungai Congkak untuk mandi.
Semasa mandi, sesi taaruf diadakan sambil berendam dalam kesejukan air sungai meskipun ada peserta mengigil dan terketar-ketar semasa memperkenalkan diri dek menahan kesejukan air sungai tersebut. Jam 11.00 pagi, para peserta bertolak pulang ke Shah Alam.
Program ini salah satu usaha BISA menyantuni sebahagian peserta belia sebelum diserapkan ke dalam usrah. Semoga program ini menjadi perintis dalam memperkasakan dakwah dan tarbiah di kalangan belia yang mempunyai pelbagai latar belakang, yang juga memerlukan pelbagai pendekatan unik untuk didekati dan disantuni.