Muhammad Fikri Ahmad, Dr Nur Aisyah Zainordin dan Hussaini Khairudin masing-masing mewakili Belia Harmoni, ASEAN Young Leader Forum (AYLF) dan Jawatankuasa Masyarakat Madani IKRAM tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) pada awal pagi tadi.
Kehadiran mereka bertujuan untuk merangka perancangan pertama CSOs serantau bagi tahun 2017 dan mesyuarat ini bertujuan untuk menyuarakan pandangan CSOs kepada pihak berkepentingan.
Kunjungan julung kalinya ini bertujuan untuk meningkatkan keberadaan IKRAM di mata masyarakat ASEAN terutama dalam memperjuangkan hak-hak sivil masyarakat awam.
ASEAN Civil Society Conference merupakan perkumpulan CSOs terbesar di peringkat Asia Tenggara yang diberi mandat untuk mewakili dan menguatkan suara komuniti ASEAN.
Setelah 12 tahun penubuhannya, gabungan CSOs ini telah menjadi platform yang strategik untuk membantu golongan yang terpinggir dan kurang bernasib baik.
Penglibatan Belia IKRAM ini selaras usaha untuk menerajui masyarakat madani melalui pembinaan hubungan dengan CSOs utama dan tokoh-tokoh masyarakat serta menggerakkan kerjasama dalam memperjuangkan isu-isu besar masyarakat dan negara.
Keterlibatan Belia IKRAM ini bukan sahaja untuk menyertai tetapi juga menjadi jawatankuasa yang dilantik oleh Malaysia ke peringkat ASEAN dalam bidang yang berbeza.
Selain menghadiri mesyuarat tiga hari di Manila, aktivis belia ini dijadualkan membuat kunjungan hormat ke pejabat-pejabat CSOs dan pusat-pusat dakwah di sekitar Manila.
Semoga dengan lawatan kali ini mencambahkan usaha dakwah, tarbiah dan kebajikan IKRAM bukan sahaja di bumi Malaysia, malah ke seluruh dunia selaras dengan visi “Malaysia Menjadi Negara Rahmah”.