Belanjawan negara untuk tahun 2026 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semua mata pasti tertumpu kepada perancangan kerajaan bagi memacu ekonomi dan kesejahteraan rakyat untuk tahun hadapan.
Belanjawan yang telah dibentangkan dengan tema “Belanjawan Rakyat” dilihat signifikan dengan keperluan semasa rakyat. Belanjawan tahun ini memberikan fokus kepada sembilan tekad dan fokus penulisan kali ini tertumpu kepada Tekad 7 iaitu “Menjamin Kelangsungan Hidup Rakyat.”
Tema utama belanjawan kali ini tertumpu kepada aspirasi rakyat dan melalui tekad 7, semua lapisan masyarakat mendapat manfaat sewajarnya. Antara bentuk belanjawan yang dirancang adalah Sumbangan Tunai Rahmah, pemberian penghargaan SARA, bantuan kebajikan masyarakat, inisiatif menangani kos sara hidup, i-Saraan Plus, Pelan Tindakan Penuaan Kebangsaan, kebajikan warga emas dan Latihan Care Worker.
Tekad 7 dan maqasid syariah
Tekad 7 belanjawan Rakyat 2026 telah menonjolkan beberapa elemen maqasid syariah yang dapat diperhalusi keselariannya terhadap aktiviti-aktiviti yang bakal dilaksanakan serta fokus perbelanjaan yang lebih berhemah dan saksama.
Maqasid syariah secara dasarnya menekankan tentang kewajipan penjagaan maslahah daruriyyat (kemaslahatan utama) yang terdiri daripada penjagaan agama, akal, keturunan, nyawa dan harta. Hal ini bertujuan mencapai objektif pensyariatan iaitu pemeliharaan manfaat dan kebaikan dan penolakan kemudaratan dalam kehidupan manusia.
Berdasarkan kepada peruntukan kewangan dalam Tekad 7, aspirasi kemanusiaan yang diketengahkan dalam panduan maqasid syariah yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia boleh dijadikan rujukan. Kemanusiaan telah disebutkan dalam al-Quran sebanyak 60 kali dan ia sangat signifikan dengan tuntutan penjagaan nyawa.
Kerajaan sudah pasti perlu memberikan tumpuan terhadap aspek kemanusiaan yang akan mengutamakan perihal pengurangan isu-isu penderitaan dan kesusahan rakyat, seterusnya memupuk masyarakat penyayang dan berempati. Hal ini sekali gus mencerminkan komitmen terhadap nilai kebaikan, belas kasihan dan hak intrinsik manusia.
Syariah telah memuliakan manusia dan mengakui penciptaan manusia sebagai sebaik-baik kejadian Allah SWT. Penegasan al-Quran terhadap penjagaan nyawa dapat diperhatikan apabila al-Quran menyebutkan bahawa penyelamatan satu nyawa manusia seperti menyelamatkan nyawa seluruh manusia.
Justeru, syariah turut menuntut manusia menjaga perkataan dan tindak tanduk agar tidak terjerumus ke lembah kerosakan.
Berdasarkan elemen tersebut, beberapa garapan prinsip daripada aspirasi kemanusiaan dapat diketengahkan seperti memenuhi keperluan asas manusia. Kerajaan telah menambah peruntukan kepada keperluan asas melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan kebajikan masyarakat dan inisiatif kos sara hidup.
Konsistensi dalam tekad ini sewajarnya menampilkan usaha kerajaan untuk memastikan sumber kewangan disalurkan kepada pihak berkaitan dan memupuk pembangunan masyarakat yang seimbang.
Peruntukan belanjawan melalui Tekad 7 turut mewujudkan insentif caruman padanan melalui i-Saraan Plus kepada pekerja gig dan e-hailing. Insentif ini selaras dengan prinsip pemeliharaan kesejahteraan generasi masa hadapan.
Walaupun sektor pekerjaan ini bukanlah sektor pekerjaan untuk tempoh yang panjang, namun sektor ini berjaya memberikan nafas kepada sesetengah individu untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Kewujudan sektor ini telah memberikan manfaat yang luas kepada ekosistem masyarakat dan menjadi kewajipan kepada pihak kerajaan memberikan insentif tertentu untuk mencapai aspirasi kemanusiaan yang telah digariskan.
Aspirasi yang sering diperkatakan sejak akhir-akhir ini dan menjadi fokus dalam kebanyakan pengkaji dan ahli akademik ialah aspek kebolehcapaian dan keterangkuman. Aspirasi ini selaras dengan tuntutan syariah iaitu galakan belas kasihan, kesejahteraan masyarakat dan manfaat kolektif masyarakat.
Melalui buku AISAR terbitan IKRAM, kebolehcapaian dan keterangkuman mampu difahami apabila syariah diamalkan secara menyeluruh tanpa cenderung kepada ketaasuban terhadap aspek tertentu seperti bangsa, budaya mahu warna kulit.
Melalui Tekad 7, aspirasi ini jelas dapat dipetakan kepada peruntukan dalam pembangunan Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045.
Antara prinsip yang dinyatakan dalam aspirasi kebolehcapaian dan keterangkuman adalah pengagihan kekayaan melalui skop kewangan sosial. Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan penting dibangunkan apabila Malaysia melalui fasa negara menua dalam tempoh 10 ke 15 tahun akan datang.
Isu produktiviti yang berkurangan dan peningkatan kos sara hidup akan menjadi kekangan kepada perkembangan negara. Justeru, prinsip yang digariskan diharap dapat diusahakan oleh kerajaan dalam rangka tindakan penuaan kebangsaan yang bakal dibangunkan.
Cadangan merealisasikan Tekad 7 Belanjawan 2026
Menjadi kelaziman terhadap pemerhati dalam kalangan pengkaji dan ahli akademik untuk mengulas dan mencadangkan penambahbaikan bagi memastikan belanjawan yang dibentangkan dapat direalisasikan pada tahun pelaksanaannya. Justeru, dalam penulisan kali ini, beberapa cadangan diharap dapat diketengahkan:
- Pelaksanaan Segera dan Tepat Sasaran
Mengoptimumkan pangkalan data bagi memastikan bantuan yang diperuntukkan diterima oleh individu yang benar-benar layak dan mengelakkan ketirisan. Selain itu, penyampaian bantuan sosial perlu dipermudah. Birokrasi seperti kekerapan permohonan atau pembaharuan dokumen oleh warga emas dan OKU perlu dikurangkan.
- Pengukuhan Daya Tahan Ekonomi Isi Rumah
Selain bantuan sara hidup, tekad ini perlu disokong oleh program peningkatan kemahiran yang berfokuskan golongan rentan dan warga emas yang masih aktif. Hal ini bertujuan peningkatan pendapatan dan bukan sekadar meringankan bebanan kewangan.
Selain itu, sebuah mekanisme yang komprehensif perlu diwujudkan untuk memantau harga barang supaya tidak berlaku pencatutan harga barang dan spekulasi peruncit terutama di luar bandar.
- Ketelusan dan Akauntabiliti
Laporan kemajuan terhadap program yang dilaksanakan perlu diterbitkan kepada awam secara berkala seperti jumlah isi rumah yang keluar dari kategori miskin tegar dan impak program kepada pembangunan masyarakat.
Kerajaan juga perlu mewujudkan saluran maklum balas yang responsif dan mudah diakses oleh rakyat bagi pelaporan penyaluran bantuan, ketirisan atau aduan kos sara hidup.
Aspirasi maqasid syariah
Belanjawan 2026 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia dengan bertemakan belanjawan rakyat memenuhi aspirasi dalam maqasid syariah terutama dalam aspek kemanusiaan. Walau bagaimanapun, pengoperasian dan teknikal merupakan fokus yang turut perlu diberikan perhatian.
Hal ini bagi menjamin prinsip-prinsip yang digariskan dalam aspirasi maqasid syariah dapat diterjemahkan secara berkesan kepada masyarakat.
Semoga dengan usaha-usaha yang dilakukan, rakyat secara keseluruhan dapat merasai kenikmatan berterusan daripada disiplin dan roh syariah yang ditinggikan melalui realisasi belanjawan yang telah dibentangkan.
Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM, Shah Alam
 
				 
															 
								



