Belanjawan negara untuk tahun 2025 telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Semua mata pasti tertumpu kepada perancangan kerajaan bagi memacu ekonomi dan kesejahteraan rakyat untuk tahun hadapan.
Belanjawan yang telah dibentangkan dengan tema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat” dilihat signifikan dengan keperluan semasa rakyat.
Terdapat banyak penambahan bantuan dan peruntukan untuk rakyat terutama keluarga yang meliputi bantuan langsung (sumbangan Rahmah), pendidikan, kesihatan dan perancangan kewangan keluarga.
Kehidupan masyarakat hari ini terutama selepas pasca-COVID-19 terdedah dengan ketidaktentuan sepertimana terma yang biasa diguna pakai oleh ahli ekonomi iaitu VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity and Ambiguity).
Justeru, rakyat di bawah sentiasa mengharapkan terdapatnya pendekatan-pendekatan holistik dan komprehensif yang diambil oleh pihak kerajaan agar ketidaktentuan dan kerumitan tidak menjejaskan perkara-perkara asas dalam kehidupan rakyat sejagat.
Faktor ekonomi dilihat sangat signifikan dengan kesejahteraan keluarga kerana faktor tersebut merupakan antara faktor tunjang kepada kebaikan dan keharmonian keluarga. Hal ini selari dengan sabda Nabi SAW yang menggariskan ciri-ciri keluarga yang bahagia sepertimana dalam hadis riwayat Tabrani yang bermaksud:
Daripada Muhammad bin Sa’ad bin Waqqas daripada ayahnya, katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya antara perkara yang membahagiakan itu ialah tunggangan yang baik, tempat tinggal yang selesa dan isteri yang solehah.”
Secara literal dapat difahami bahawa elemen kebahagiaan, kesejahteraan dan keselesaan hidup di dunia terdiri daripada aspek fizikal juga mental seperti rumah yang lapang serta tunggangan yang baik.
Kebelakangan ini, rakyat Malaysia dihidangkan dengan isu pergolakan rumah tangga yang berpunca daripada isu salah faham pasangan dan ketidakmampuan kewangan dalam pengurusan ekonomi kekeluargaan.
Justeru, artikel kali ini akan membicarakan mengenai pengurusan ekonomi, kewangan keluarga dan hubungannya dengan pembentangan belanjawan 2025.
Pembentukan keluarga dan kelestarian ekonomi
Galakan untuk berkahwin merupakan sunah Rasulullah SAW sebagai memenuhi fitrah manusia dan mencapai objektif pensyariatan.
Oleh itu, proses pembinaan keluarga melalui perkahwinan telah ditetapkan dengan perancangan yang rapi dan didasari kemampuan pasangan untuk membina episod baru kehidupan melalui perkahwinan.
Aspek utama seperti sekufu, kewajipan mahar dan nafkah serta tanggungjawab mencari rezeki telah diajar dalam agama bagi memastikan kesejahteraan sesebuah pasangan dan keluarga mereka. Sabda Nabi SAW dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim bermaksud:
“Wahai para pemuda! Sesiapa antara kamu telah mampu (pembiayaan) berkahwin, maka bernikahlah. Kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara faraj (kelamin). Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).”
Dalam kitab Taudhih al-Ahkam disebutkan bahawa al-Ba’ah (pembiayaan perkahwinan) merujuk kepada kemampuan individu untuk menanggung segala keperluan merangkumi mahar dan nafkah.
Justeru, tanggungjawab kepada bakal suami dalam konteks hadis di atas adalah bersedia, merancang dan bekerja keras bagi menunaikan tanggungjawab tersebut pada masa akan datang.
Walau bagaimanapun, kesediaan bakal isteri untuk memahami dan memberikan sokongan kepada bakal suaminya turut perlu digariskan dan di sini peranan sekufu menjadi aspek penting untuk diberikan perhatian.
Tambahan pula, dengan pesatnya perkembangan platform “audio siar” yang semakin mendapat tempat dalam masyarakat, isu-isu agama Islam termasuk perbincangan mengenai nafkah sering dibincangkan secara terbuka.
Namun, terdapat kebimbangan apabila perbincangan tersebut kadang-kadang menjadi polemik akibat pandangan yang dikemukakan tidak berpaksikan neraca hukum syariah yang sebenar.
Ketiadaan rujukan yang tepat kepada sumber-sumber agama yang sahih, seperti al-Quran, hadis dan pandangan para ulama yang muktabar, boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pendengar dan masyarakat.
Bagi memastikan kelestarian ekonomi keluarga menurut neraca syariah, sudah pasti soal nafkah menjadi tumpuan penting dalam kebahagian rumah tangga. Perihal kewajipan nafkah suami kepada isteri telah disepakati oleh para ulama mencakupi perbelanjaan keperluan manusia seperti makanan, minuman, pakaian dan tempat tinggal.
Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaily, nafkah wajib tersebut merangkumi makanan, pakaian, tempat tinggal, perkakas dapur dan rumah, alat kebersihan diri dan pembantu rumah (bagi suami yang mampu).
Bahkan, para ulama seperti Imam Khatib al-Syirbini tidak pernah mewajibkan suami memberi wang poket kepada isteri jika suami telah memberi nafkah keperluan asas yang cukup kepada isteri.
Tambahan pula, pengarang kitab Fiqh al-Manhaji menekankan perihal kemampuan suami sama ada kaya dan berkemampuan, sederhana atau fakir dalam pemberian nafkah didasari kepada kadar ketentuan uruf masyarakat setempat sebagaimana yang digariskan dalam firman Allah SWT surah al-Baqarah ayat 231.
Ekonomi keluarga dan belanjawan negara 2025
Ekonomi sebuah keluarga Islam pastinya bertunjangkan kepada pendapatan yang halal dengan tanggungjawab suami mencari rezeki yang diberkati.
Oleh yang demikian, setiap keluarga perlu berusaha untuk tidak terjerumus dalam masalah kewangan terutama pasangan yang baru merancang untuk pernikahan. Ilmu pengurusan kewangan terutama dalam pengurusan hutang perlu diberikan perhatian kerana telah menjadi antara faktor perceraian rumah tangga.
Antara langkah awal dan penting dalam perancangan kewangan keluarga ialah penyediaan tempat tinggal yang sesuai tanpa mengabaikan ciri-ciri penting seperti selamat, bersih dan selesa. Objektif penyediaan tempat tinggal perlu memenuhi aspek maknawi dan subjektif seperti al-Sakinah, al-Mawaddah dan al-Rahmah.
Syeikh Sa’id Hawwa menyebutkan bahawa walaupun perkara tersebut dipandang kecil dan remeh oleh sesetengah pihak, namun ia merupakan aspek yang besar di sisi syarak terutama apabila melibatkan penerimaan dan keberkatan amalan dan ibadat ahli keluarga.
Dalam pada itu, merancang pemilikan sebuah rumah secara tetap sudah pasti menjadi dilema sebahagian masyarakat terutama golongan muda yang baru bekerja dan berkahwin serta golongan yang tinggal di bandar-bandar besar.
Oleh itu, masyarakat perlu celik kewangan dengan mengambil peluang merancang dan berusaha memanfaatkan peruntukan daripada kerajaan.
Kita dapat lihat antaranya, dalam pembentangan Belanjawan 2025, terdapat peruntukan hampir RM900 juta bagi pelaksanaan 48 program resindensi rakyat dan 14 projek rumah mesra rakyat.
Selain itu, skim jaminan kredit perumahan Madani (SJKP) diluluskan sebanyak RM12.8 bilion jaminan kerajaan kepada lebih 57,000 pembeli rumah pertama. Pelepasan cukai individu sehingga RM7,000 ke atas bayaran faedah pinjaman perumahan turut diperuntukkan bagi galakan memiliki rumah pertama.
Termasuk dalam komponen kesejahteraan keluarga dalam hadis Nabi SAW ialah penyediaan tunggangan yang selesa. Syeikh Sa’id Hawwa menjelaskan tentang “perelokkan kenderaanmu” dalam konteks hari ini sebagai kepentingan kebersihan dan kekemasan kenderaan, dan termasuk ciri-ciri keselamatan untuk menyampaikan seseorang ke tempat tujuan.
Ketua keluarga perlu memastikan kenderaan yang baik, selesa dan selamat berdasarkan kemampuan disediakan bagi tujuaan ke tempat kerja dan kegunaan keluarga.
Hal ini termasuk keperluan yang perlu dirancang dengan bijaksana tanpa mendatangkan beban kepada perkara yang utama seperti makanan, pendidikan dan kesihatan ahli keluarga.
Dari sisi Belanjawan 2025, Sumbangan Tunai Ramah (STR) yang disasarkan kepada B40 dan M40 telah diperluas kerana kumpulan ini paling terkesan dengan inflasi dan peningkatan kos barangan keperluan.
Selain itu, kerajaan juga telah membuat cadangan kenaikan gaji minimum sebagai usaha memastikan upah yang setimpal dan jurang pendapatan dalam kalangan rakyat dapat dikecilkan.
Tambahan pula, pendekatan yang paling ditunggu oleh ramai kalangan pakar adalah rasionalisasi atau subsidi bersasar RON95 yang bakal memberikan impak positif kepada ekonomi rakyat jika diuruskan dengan baik.
Nasihat kewangan bagi kesejahteraan ekonomi keluarga
Penekanan terhadap pembangunan keluarga merupakan sebuah keutamaan bagi seseorang suami. Ajaran Islam telah menyediakan garis panduan berupa hak dan kewajipan yang mesti dipatuhi agar segala keperluan rumah tangga dapat dilaksanakan dengan baik, teratur dan sempurna.
Sebagai ketua keluarga, tanggungjawab memastikan penyediaan makanan asas perlu mencukupi dari sudut kuantiti, kualiti dan khasiat nutrisi seimbang berdasarkan budaya persekitaran masyarakat setempat.
Taraf pendidikan adalah antara indikator yang menyumbang kepada penjanaan pendapatan per kapita keluarga, seterusnya menjamin keterjaminan hak keluarga yang menyumbang kepada kesejahteraan keluarga.
Selain daripada pengurusan nafkah yang teratur, pengurusan harta secara bersama turut menjadi kunci utama kebahagiaan keluarga.
Pasangan perlu berbincang mengenai perancangan kewangan jangka panjang seperti simpanan untuk pendidikan anak-anak, pembelian rumah dan pelaburan. Pelaburan patuh syariah seperti Tabung Haji dan Amanah Saham Bumiputera boleh menjadi pilihan untuk pasangan yang ingin mengembangkan harta secara halal.
Islam membenarkan berhutang tetapi menggalakkan umatnya untuk mengelakkan hutang yang tidak perlu. Berhutang untuk perkara seperti kad kredit, pinjaman peribadi atau gaya hidup mewah boleh membawa kepada masalah kewangan yang serius dan merosakkan keharmonian rumah tangga.
Data Jabatan Insolvensi Malaysia menunjukkan bahawa golongan muda yang baru berkahwin adalah antara kumpulan yang terdedah kepada masalah kewangan akibat hutang yang tidak terkawal. Hamka dalam Tasauf Moden menyatakan bahawa:
“Kalau hendak miskin, ingatlah segala yang teringat, kenanglah segala yang belum ada, hendaki ini dan itu, hendaki berumah lebih cantik, kerana sekarangan walau bagaimanapun cantiknya, belum juga cukup rasanya. Padahal rumah kita sendiri sudah titik air liur orang lain melihatnya.”
Oleh itu, pasangan perlu bijak dalam mengurus hutang dan hanya berhutang untuk keperluan yang benar-benar penting.
Harapan besar rakyat
Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Malaysia membawa harapan besar kepada rakyat dalam usaha memulihkan ekonomi dan memastikan kesejahteraan keluarga.
Aspek penting seperti perancangan kewangan dan pemilikan rakyat terhadap asas-asas kehidupan seperti rumah, akses pendidikan dan kesihatan perlu dijamin melalui sokongan inisiatif kerajaan yang membantu keluarga menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Dalam Islam, perancangan kewangan yang baik berlandaskan syariah, termasuk nafkah yang mencukupi, pengurusan hutang yang berhemah dan pelaburan halal, menjadi asas penting bagi mencapai kebahagiaan dan keharmonian rumah tangga.
Sebagai ketua keluarga, suami wajib memastikan kesejahteraan fizikal dan mental ahli keluarga melalui pengurusan kewangan yang bijak, selaras dengan ajaran Islam.
Dr. Wan Mohd Al Faizee Wan Ab Rahaman
Pensyarah Kanan,
Arshad Ayub Graduate Business School
UiTM, Shah Alam