PUTRAJAYA – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) telah menyertai Sesi Libat Urus Kumpulan Fokus Belanjawan 2023 mengenai Kemiskinan dan Kos Sara Hidup di Kementerian Kewangan, di sini pada Jumaat.
Sesi libat urus dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kewangan I, YB Datuk Seri Ahmad Maslan dihadiri oleh kira-kira 40 orang wakil daripada kementerian, agensi-agensi kerajaan, pengusaha bisnes, ahli akademik dan NGO.
Ketua Kluster Kemakmuran Ekonomi IKRAM, Mohammad Abdul Hamid telah mengemukakan beberapa pandangan, iaitu pelaksanaan intervensi bersasar yang diperhalusi (refined) dan disesuaikan (customised) mengikut keperluan golongan miskin dan rentan yang pelbagai.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan intervensi gelagat (behaviour) dalam menangani isu kos sara hidup dan kemiskinan, umpamanya dorongan budaya filantropi, serta menangani oligopoli (kartel) yang berlaku dalam kalangan pembekal atau pengimport yang menyebabkan kenaikan kos makanan.
“Kita juga menyarankan agar kerajaan menerima pakai modul Ibu Bapa Memastikan Peningkatan Akademik Anak (IMPAK) untuk menangani kemiskinan antara generasi (intergenerational poverty) melalui intervensi pendidikan,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Kluster Masyarakat Progresif IKRAM, Hj Ainullotfi membangkitkan beberapa isu, antaranya menyeru kerajaan supaya tidak hanya menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi mentakrifkan kemiskinan dalam memberikan bantuan, tetapi juga mengambil kira juga faktor-faktor kemiskinan bukan pendapatan, seperti ketidakupayaan, hubungan sosial, harta, hutang dan seumpamanya.
“Perkara-perkara ini boleh dirumuskan dalam MPI (Multidimensional Poverty Index) yang telah digunakan sejak RMK11 lagi, yang boleh diperluaskan lagi,” tambah beliau.
Beliau turut meminta kerajaan agar mengambil kira transisi ketika seseorang penerima bantuan menambah pendapatannya melebihi PGK, supaya tidak menghentikan terus bantuan tersebut.
“Penghentian terus menyebabkan penerima bantuan kurang berminat untuk menambah pendapatan mereka, kerana pendapatan bersih akan berkurangan lantaran tiadanya bantuan tersebut.”
Hj Ainullotfi turut menyarankan agar para perancang di peringkat atas seharusnya turun ke ke akar umbi masyarakat untuk membincangkan sebarang penyelesaian yang mahu diketengahkan.
“Ini perlu dilakukan agar mereka mendengar sendiri pandangan akar umbi, terutamanya apabila melibatkan cara hidup dan juga tingkah laku, supaya ia dapat memberikan penyelesaian yang betul-betul bermanfaat dan digunakan,” ujarnya.
Dalam sesi itu, IKRAM telah menghantar tiga orang wakil, iaitu Mohammad, Hj Ainullotfi dan Pengerusi Koperasi Islah Malaysia Berhad, Dr Hj Ahmad Zainuddin Abdullah.
Turut hadir memberikan pandangan dalam sesi libat urus tersebut Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Hj Ameer Ali Mydin, CEO FOMCA Saravanan Thambirajah, wakil-wakil daripada Pertiwi Soup Kitchen, Yayasan Foodbank, Yayasan MyKasih, IDEAS, APPG-SDG dan lain-lain.