Bantuan Kemanusiaan: Hayati Dari Sudut Keikhlasan Hati

Dalam dunia yang sering dibelenggu cabaran sosial dan bencana alam, masih ada sinar harapan melalui naluri kemanusiaan yang sentiasa diraikan oleh manusia-manusia mulia di seluruh pelosok dunia.

Tindakan yang selalunya “mengikut naluri” ini bukan sahaja memberikan bantuan material, tetapi juga membawa harapan dan suara komuniti. Sokongan moral juga adalah sesuatu yang tak ternilai kepada mereka yang berdepan dengan penderitaan dan ketidakpastian yang berpanjangan.

Sebagai contoh, waktu pandemik dan bencana banjir besar yang melanda negara beberapa tahun lepas, kita menyaksikan gerakan bantuan kemanusiaan ini tidak mengharapkan tindakan badan berkuasa, agensi dan NGO sedia ada.

Mereka terdiri daripada masyarakat tempatan, anak muda dan komuniti yang merasakan ada keperluan bantuan dijalankan walaupun antara mereka tiada langsung kepakaran dan pengalaman dalam bantuan kemanusiaan.

Nilai kemanusiaan

Dalam setiap tindakan yang dilakukan, terdapat nilai kemanusiaan yang tinggi harganya. Usaha mereka yang di luar jangkaan adalah contoh terbaik bagaimana bantuan kemanusiaan boleh mengubah hidup seseorang, mengurangkan penderitaan dan menyebarkan kebaikan.

Melalui kerja keras dan dedikasi mereka, kita dapat melihat bagaimana prinsip rahmatan lil ‘alamin benar-benar diterapkan dalam kehidupan seharian, memberikan rahmat kepada seluruh umat manusia.

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadis riwayat Thabrani, Al-Mu’jam al-Ausath, juz VII, hal. 58, disahihkan oleh Muhammad Nasiruddin al-Albani dalam kitab As-Silsilah as-Sahihah)

Kasih sayang dalam Islam tidak hanya terbatas pada satu kaum, satu bangsa atau satu kumpulan sahaja, tetapi merangkumi seluruh makhluk yang wujud dalam alam semesta ini; daripada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan sehinggalah kepada alam semesta ini. Setiap Muslim diperintahkan untuk membawa kebaikan dan semestinya kasih sayang.

Dalam konsep kemanusiaan, kefahaman ini membimbing seluruh masyarakat Muslim tanpa memerhatikan batasan kaum, politik, wilayah atau agama dalam memberikan bantuan kemanusiaan kepada yang memerlukan. Ia juga berlaku dalam kumpulan kemanusiaan yang belum kembali kepada fitrah.

Konsep rahmatan lil ‘alamin

Setiap tindakan baik, sekecil apa pun ia, adalah nyata dalam konsep rahmatan lil ‘alamin. Ia mencakupi amalan memberi makan kepada yang lapar serta merawat dan melindungi mereka yang terlantar, menabur bakti juga kebaikan kepada semua.

Yayasan Ikram Malaysia melalui sukarelawannya yang rata-rata ahli Pertubuhan IKRAM Malaysia adalah contoh terdekat bagaimana bantuan kemanusiaan boleh mengubah hidup seseorang, mengurangkan penderitaan dan menyediakan peluang menyebarkan kebaikan.

Melalui kerja keras dan dedikasi mereka di lapangan, kita dapat melihat bagaimana prinsip “menyebarkan rahmah” yang diimani itu benar-benar diterapkan dalam kehidupan, memberikan rahmat kepada seluruh umat manusia.

Walaupun sukarelawan ini kebanyakannya tidak terlatih, mereka tidak gentar menghadapi kesukaran dalam membantu mangsa bencana. Dalam keadaan banjir, mereka mengenakan jaket keselamatan dan menaiki bot, meredah air banjir untuk memastikan bantuan sampai kepada setiap individu yang terjejas.

Usaha ini menunjukkan betapa pentingnya kecekapan, keberanian dan komitmen dalam menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang berada dalam situasi kritikal.

Maksud “altruisme” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat menyatakan bahawa ia adalah sifat atau prinsip suka mengutamakan kebajikan atau kebahagiaan orang lain daripada diri sendiri. Altruisme juga adalah naluri manusiawi yang selalunya ada dalam ciri-ciri seorang sukarelawan kemanusiaan.

Mereka mendapatkan “kepuasan” dalam kehidupan dan nilai tambah diri untuk sentiasa berasa berguna kepada masyarakat dan komuniti. Ia juga adalah peluang terbaik untuk “giving back to the society.”

Menginsafi segala yang dijejaki

Secara peribadi, saya sebagai sukarelawan selepas waktu kerja bersama IKRAM dan bekerja di pejabat operasi Yayasan Ikram Malaysia berpandangan bahawa konsep sedekah, pemberian sukarela dan zakat juga adalah antara elemen dalam beragama yang mendorong Muslim untuk membantu golongan yang memerlukan.

Tidak dinafikan bahawa nilai baik ini sentiasa ada pada semua kaum, agama dan masyarakat. Tetapi sebagai Muslim, ia kelihatan lebih jelas apabila saya sering kali berhadapan dengan mereka yang betul-betul tidak mementingkan diri sendiri dan berbuat kebaikan hanya untuk mendapatkan sesuatu.

Sebagai Muslim juga, kita sentiasa disajikan dan menginsafi sirah Nabi dan Rasul yang telah memberikan kita panduan dan pandangan bahawasanya hidup ini bukanlah hanya di dunia.

Antara hadis yang diriwayatkan daripada Anas r.a. bermaksud, “Doa Nabi SAW yang paling sering diucapkan ialah: “Ya Allah, Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami daripada seksa api neraka.” [Riwayat al-Bukhari (6389) dan Muslim (7016)]

Perspektif kita tentang kehidupan sering kali berubah atau ia merubah cara kita berfikir. Begitu juga halnya apabila mungkin saya sering kali bertemu mereka yang beriman dan mencerminkan kehidupan mereka agar lebih ‘akhirat centric’ (berfokuskan akhirat).

Sangat mudah bagi dekad-dekad hidup mereka berlalu tanpa banyak usaha yang disalurkan ke arah akhirat, sama ada disebabkan oleh kesibukan keluarga dan kerja atau tekanan kehidupan seharian.

Namun, jika individu ini mengubah cara mereka mendekati rutin harian dari segi mental dan spiritual, mereka dapat dengan mudah meningkatkan pelaburan ke arah kehidupan akhirat seiring berlalunya masa di dunia ini.

Setiap manusia yang punya nilai dan semangat kemanusiaan semestinya mempunyai niat yang ikhlas dan mencari peluang untuk melakukan kebaikan.

Bersama-samalah kita berdoa agar mereka yang selalu dalam jalur bantuan kemanusiaan akan sentiasa dipelihara-Nya dan sesungguhnya sebagai Muslim, kita hanya mengharapkan satu perkara: reda Allah.

Teruskan menyumbang jiwa dan harta, siapa tahu mungkin kita adalah sebahagian kisah bahagia mereka.

Muhd Khairulanuar bin Mohd Salleh
Jabatan Komunikasi, Yayasan Ikram Malaysia
Yang Dipertua IKRAM Lembah Pantai (Kuala Lumpur)

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia