Dunia sedang mengalami perubahan cuaca yang menyebabkan fenomena alam yang ekstrem. Banjir yang semakin kerap melanda banyak negara termasuk Malaysia merupakan petanda jelas bahawa keseimbangan ekosistem sedang tergugat.
Kejadian ini bukan sekadar fenomena semula jadi tetapi turut didorong oleh tindakan manusia yang merosakkan alam sekitar.
Kesan banjir tidak hanya terbatas kepada kemusnahan harta benda dan infrastruktur tetapi juga memberikan impak besar terhadap kehidupan sosial, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.
Asalnya, ia merupakan bencana yang wujud secara semula jadi, tetapi kebanyakan kejadian banjir kini dipengaruhi oleh perubahan drastik dalam pola cuaca akibat perubahan iklim global.
Pemanasan bumi yang diakibatkan oleh pelepasan gas rumah kaca telah meningkatkan kadar penyejatan, menghasilkan hujan yang lebih lebat dan kerap.
Dalam konteks Malaysia, kawasan bandar yang pesat membangun sering menghadapi banjir kilat akibat saliran yang tidak mencukupi dan perancangan bandar yang kurang efektif.
Penebangan hutan secara meluas juga telah menghapuskan kawasan tadahan air semula jadi, menyebabkan tanah kehilangan keupayaan untuk menyerap air hujan.
Antara isu utama yang manusia sering kali terlepas pandang ialah peranan pencemaran alam, khususnya pencemaran sampah, yang menambah teruk banjir. Aliran sisa sampah seperti plastik bermula dari kawasan tempatan seperti taman, pantai dan sepanjang sistem longkang bandar.
Apabila hujan turun atau angin bertiup, serpihan plastik dengan mudah dibawa melalui saluran air dan longkang. Sungai-sungai yang dulunya merupakan arus air semula jadi kini telah bertukar menjadi “lebuh raya plastik” yang mengangkut berpuluh-puluh tan sisa ke lautan.
Selain sisa dari darat, industri perikanan turut menyumbang kepada pencemaran ini. Pukat ikan yang tidak dibuang dengan betul merupakan sumber utama sisa plastik di kawasan lautan, sekali gus menambahkan beban pencemaran yang sedia ada.
Masalah ini semakin rumit apabila plastik yang mencemari sungai dan kawasan tadahan mengganggu keseimbangan ekosistem air. Selain mencetuskan banjir, pencemaran ini juga memusnahkan habitat semula jadi hidupan akuatik.
Kesannya, bukan sahaja risiko banjir meningkat, tetapi sumber semula jadi yang penting turut terancam. Dalam situasi ini, keperluan untuk menjaga dan melestarikan alam semakin mendesak.
Keperluan penjagaan alam dan kelestarian
Dalam menghadapi cabaran ini, penjagaan alam sekitar tidak lagi boleh dianggap sebagai pilihan tetapi mesti menjadi tanggungjawab bersama. Kawasan hijau yang berfungsi sebagai penampan semula jadi wajib dipelihara.
Kawasan hutan, paya bakau dan kawasan tadahan air perlu dilindungi dan dipulihkan untuk mengembalikan fungsinya sebagai penyerap air hujan. Zon penampan hijau seperti taman bandar juga boleh mengurangkan risiko banjir di kawasan bandar.
Pengurusan sisa pepejal memerlukan perhatian serius. Masyarakat perlu dididik mengenai kepentingan menguruskan sisa dengan betul termasuk kitar semula dan pengurangan penggunaan plastik. Sikap dan tabiat masyarakat mesti berubah dalam soal pengurusan sampah bagi menjaga alam sekitar.
Perlu ada sistem pengumpulan sisa yang lebih efisien dan pelaksanaan undang-undang yang lebih tegas terhadap pembuangan sampah secara haram. Penguat kuasa juga perlu memastikan setiap projek pembangunan mematuhi penilaian impak alam sekitar yang ketat untuk mengelakkan kerosakan kepada kawasan sensitif.
Pembangunan infrastruktur yang mampan perlu menjadi keutamaan. Sistem saliran yang lebih moden, kolam takungan untuk mengawal air hujan dan penggunaan teknologi pintar bagi memantau aliran air adalah langkah-langkah yang boleh membantu mengurangkan keterukan banjir.
Pendekatan holistik melibatkan semua pihak
Mustahil untuk beberapa orang melakukan kerja membersihkan dan melestarikan alam apabila majoriti pihak masih terlibat dengan aktiviti pemusnahan dan pencemaran, ibarat mencuci air yang berlumpur dengan air yang sama.
Justeru, pendekatan holistik yang melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik dan masyarakat amat diperlukan untuk menangani isu banjir dan pencemaran alam sekitar serta merupakan kunci kepada penyelesaian jangka panjang.
Kerajaan mesti memimpin dengan dasar yang tegas dan membuat pelaburan strategik dalam teknologi hijau serta tenaga boleh diperbaharui. Namun usaha ini tidak akan berhasil tanpa sokongan sektor swasta yang mampu mencipta inovasi mesra alam dan mengamalkan perniagaan yang lestari.
Dalam pada itu, NGO boleh menjadi penggerak dalam meningkatkan kesedaran rakyat, menyelaras bantuan teknikal dan mendekati komuniti yang terkesan. Semua ini menuntut keberanian untuk melangkah keluar daripada zon selesa dan mengutamakan kelangsungan bumi kita.
Perubahan sebenar bermula di akar umbi. Masyarakat setempat tidak boleh normalisasikan aktiviti pencemaran alam mahupun rasa selasa atau tidak tersentuh dengan aktiviti kerosakan alam.
Membudayakan kerja gotong-royong, menanam pokok dan mendidik generasi muda tentang penjagaan alam sekitar mampu mencetuskan gelombang perubahan besar.
Usaha bersama ini bukan sahaja mengurangkan risiko bencana, tetapi juga meletakkan asas kukuh untuk masa depan yang lestari.
Pilihan ada di tangan kita sama ada menjadi penyumbang kepada perubahan atau terus menjadi pemerhati yang tidak berdaya. Kini masa untuk bertindak!
Basmin Maarof
Pegawai Komunikasi Korporat
Pertubuhan IKRAM Malaysia