“Mari kita bina negara bukan hanya dengan bangunan yang tinggi, tetapi dengan pemikiran serta kefahaman, kerana negara yang cemerlang lahir daripada jiwa-jiwa rakyatnya yang berilmu dan berpengetahuan.”
Negara kita hari ini dihiasi bangunan pencakar langit, lebuh raya bertingkat, pusat beli-belah yang gah dan segala bentuk pembangunan fizikal yang memukau pandangan sesiapa pun yang melihatnya.
Namun, pernahkah kita bertanya, adakah cukup dengan semua ini untuk sebuah negara digelar maju lagi sejahtera?
Bangunan tinggi hanyalah struktur, bukan jiwa. Ia tidak mampu berfikir, apalagi menilai apa-apa. Yang menentukan jatuh bangunnya sesebuah negara bukanlah konkrit mahupun keluli, tetapi manusia yang mengisi ruang di dalamnya iaitu rakyat.
Kitalah manusia itu, yang perlu memiliki ilmu agar bijak mengendalikan sesuatu dan tidak mudah diperdaya atau ditipu.
Tiang seri peradaban
Negara yang hebat tidak bermula daripada susunan batu-bata, tetapi daripada pemikiran yang murni dan jiwa yang berilmu lagi berpengetahuan. Sebuah bangsa yang ingin terus berdiri gagah perlu bermula dengan akal yang tajam, hati yang jernih serta kefahaman yang mendalam.
Negara yang stabil, aman dan disegani lahir daripada rakyat yang tahu berfikir, bukan hanya mengikut tanpa memahami apa yang dilakukan, rakyat yang tahu mempersoal dengan penuh adab, bukan menghukum dengan gunungan kebencian.
Hakikatnya, ia lahir daripada rakyat yang memahami makna kemerdekaan sebenar, bukan sekadar mengibarkan bendera pada hari meraikannya, bahkan lebih daripada itu.
Ilmu adalah cahaya yang membimbing. Ia tidak pernah lapuk, tidak pernah ketinggalan zaman. Dalam Islam, wahyu pertama yang turun bukanlah suruhan berperang, berpolitik atau berniaga, tetapi saranan untuk membaca, mencari ilmu, membuka minda.
Apabila rakyat disinari ilmu, mereka akan bebas daripada penindasan, tidak mudah dimanipulasi dan mereka tidak menelan bulat-bulat setiap sebaran berita palsu, fitnah atau propaganda yang bertopengkan kebenaran, apalagi diceritakan atas nama agama. Mereka menjadi benteng kepada kehancuran masyarakat atas keilmuan dan kefahaman mereka itu.
Tanpa ilmu, bangunan tinggi hanya menjadi “tiang keangkuhan”. Tetapi dengan ilmu, sebatang pokok pun mampu menjadi tempat perbincangan, penyelesaian dan pembangunan nilai.
Bangkit dari kejahilan menuju perubahan
Negara yang terlalu lama dibuai mimpi pembangunan luaran akan akhirnya tersungkur jika rakyatnya tidak diberi bekalan untuk membina kekuatan dalaman.
Kita telah melihat negara yang runtuh walau ekonominya pernah gemilang. Mengapa? Ia menjadi demikian kerana jiwa rakyatnya kosong, pemikirannya beku dan kefahamannya kian tumpul.
Kita perlu akui, ada jurang kefahaman yang besar dalam kalangan sesama rakyat. Ada yang terlalu cepat menghukum, ada yang terlalu penat untuk berfikir. Ada yang terlalu selesa dalam kabus kejahilan kerana tiada siapa yang membimbing tangan mereka untuk keluar dari “kepompong” tersebut.
Di sinilah letaknya peranan besar kita sebagai pendidik, pemimpin dan anggota masyarakat yang berilmu serta memahami. Bukan untuk menghukum mereka yang lemah, tetapi menyentak dan mengangkat mereka dengan ilmu. Bukan menyindir yang tidak tahu, tetapi menyantuni agar mereka ambil tahu.
Masyarakat yang membaca adalah masyarakat yang hidup. Masyarakat yang berfikir adalah masyarakat yang kuat. Dan masyarakat yang berilmu adalah masyarakat yang sukar ditumbangkan walau dunia bergoncang hebat dengan mehnah, propaganda dan juga polemik.
Bayangkan jika setiap ibu bapa tahu mendidik anak dengan hikmah. Setiap guru mengajar anak didiknya bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk membentuk peribadi manusia. Setiap pemimpin meletakkan pendidikan sebagai agenda utama negara untuk memandaikan rakyat.
Tentunya, perubahan itu tidak mustahil. Ia sedang berlaku di kelas-kelas komuniti, di surau-surau kecil, di platform digital, di program-program ceramah rakyat.
Sedarlah, setiap langkah kecil ke arah kefahaman tersebut adalah satu tamparan lembut kepada sistem lama yang hanya memuja pembangunan tanpa jiwa yang menghidupkan.
Negara tidak akan hebat dengan rakyat yang malas berfikir
Lihatlah sekeliling kita, virus kebencian semakin rancak disebarkan. Polarisasi semakin tajam. Media sosial menjadi gelanggang perbalahan, menabur kebencian, menghina sesukanya. Ia fenomena yang seakan hilang adab dan tandus akhlak.
Ia bukan kerana rakyat yang semakin jahat, tetapi kerana ramai yang belum cukup ilmu untuk membaca di sebalik berita, menilai di sebalik suara dan menyaring di sebalik sensasi yang disebarkan.
Justeru, inilah saatnya kita bangkit dan melaungkan: Tidak cukup dengan hanya membina bangunan. Ayuh kita bina fikiran, mencari ilmu dan pengetahuan untuk kesejahteraan hidup dalam bernegara!
Apa yang penting, jangan sesekali putus harap. Setiap kita memiliki potensi luar biasa. Apalagi, anak-anak muda penuh dengan daya fikir, ibu bapa sarat dengan kasih sayang, guru-guru pula kaya dengan idea juga semangat.
Segala ini cuma perlukan satu instrumen iaitu akses kepada ilmu yang menyentuh jiwa dan membuka ruang minda-minda manusia.
Ketahuilah, ilmu itu bukan milik segelintir elit, bukan pula hanya di kampus atau universiti. Ilmu mesti dibawa ke kampung, ke pangsapuri, ke pasar malam, ke alam maya hingga ke mana pun berada.
Di sinilah Jabatan Pendidikan Masyarakat, melalui Asas Islam Rahmah (AISAR), berusaha menjadi peneraju dan penggerak dalam membawa sinar ilmu ke seantero negara.
Ilmu adalah “simbiosis”
Ya, cinta kepada negara bukan dengan laungan semata, tetapi dengan usaha mendidik rakyatnya. Cinta bukan sekadar mengkritik, tetapi membina. Cinta bukan menyerah kalah, tetapi memperjuangkan kefahaman, walau perlahan namun tetap berjalan.
Sesiapa yang mencintai negaranya seharusnya mencintai ilmu. Ilmu adalah cinta yang paling tulus untuk membina masa depan yang lebih baik lagi sejahtera. Moga dengan itu, negara mencapai suatu tahap yang diimpikan semua, Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur iaitu negeri yang baik dan Tuhan yang Maha Pengampun, insya-Allah.
Mari kita bina negara, bukan hanya berbangga dengan bangunan yang tinggi, tetapi dengan pemikiran yang jernih dan kefahaman yang mendalam. Sebuah negara yang cemerlang tidak lahir daripada keangkuhan struktur fizikal, tetapi daripada jiwa-jiwa rakyat yang berilmu dan berpengetahuan.
Negara tidak akan pernah gagal jika rakyatnya terus mahu belajar dan rakyat tidak akan pernah rugi jika pemimpin negaranya terus menggalakkan amalan menuntut ilmu serta memahamkan segala itu.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Pendidikan Masyarakat
Pertubuhan IKRAM Malaysia