Kementerian Luar Arab Saudi telah memanggil Duta Besar Sweden di Riyadh dan memberitahunya tentang bantahan mutlak dan kecaman kerasnya terhadap tindakan ekstremis membakar naskhah al-Quran di hadapan Masjid Pusat Stockholm pada Aidiladha minggu lalu.
Kementerian tersebut menyeru kerajaan Sweden untuk menghentikan segala tindakan yang secara langsung bercanggah dengan usaha antarabangsa yang ingin menyebarkan nilai toleransi, kesederhanaan dan penolakan ekstremisme, serta melemahkan sikap saling menghormati yang diperlukan untuk hubungan antara rakyat juga negara.
Tindakan keji
Ini berlaku selepas Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam Sedunia (OIC), yang dianggotai 57 negara, mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif di ibu pejabatnya di Jeddah pada Ahad untuk membincangkan langkah-langkah ke arah kesan daripada insiden pembakaran naskhah al-Quran.
Wakil tetap Arab Saudi di OIC, Dr Saleh bin Hamad al-Suhaibani menegaskan bahawa tindakan kebencian ini tidak boleh diterima di bawah sebarang justifikasi dan ia jelas menimbulkan kebencian, permusuhan perkauman.
Terdahulu, seorang lelaki Iraq mengoyakkan helaian al-Quran dan membakarnya di luar Masjid Pusat Stockholm pada Rabu lalu, yang bertepatan dengan hari raya pertama Aidiladha.
Insiden itu mencetuskan kemarahan di hadapan kedutaan Sweden di Baghdad dan dikecam oleh beberapa negara Arab juga negara lainnya.
Di samping itu, Setiausaha Agung OIC, Hussein Ibrahim Taha menekankan keperluan untuk menghantar peringatan berterusan kepada masyarakat antarabangsa berhubung penggunaan undang-undang antarabangsa, yang jelas melarang sebarang tindakan provokasi agama hingga mencetuskan kebencian.
Kutukan keras
Sebagaimana terdahulu, Liga Muslim Dunia (MWL) dan beberapa organisasi juga pertubuhan dunia mengutuk sekeras-kerasnya pembakaran al-Quran yang terjadi di Copenhagen, Denmark.
Risiko biadab tersebut hanya mencetuskan kemarahan umat Islam dan masyarakat dunia yang bencikan provokasi dan sentimen permusuhan.
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung MWL, Dr. Muhammad al-Issa mengecam desakan pelampau untuk mengulangi tindakan melulu ini dengan alasan kebebasan bersuara, sedangkan pada hakikatnya mereka menyinggung perasaan serta melampaui konsep kebebasan dan nilai kemanusiaannya.
Selain itu, beliau turut memperbaharui amaran terhadap bahaya amalan kebencian dan provokasi terhadap agama, yang hanya akan mencetuskan agenda ekstremisme, hingga mengganggu usaha untuk mempromosikan dialog dan keharmonian dalam kalangan penganut semua agama.
“Walaupun kami sangat menghargai solidariti antarabangsa dengan tidak mencetuskan sentimen tetapi mengenai jenayah yang tidak masuk akal dan keji ini, kami menggesa semua kerajaan di seluruh dunia menyedari bahaya amalan biadab dan tidak bertanggungjawab ini, serta perlu mengambil tindakan pantas dan tegas terhadap mereka yang terlibat.”
Beliau menyimpulkan bahawa risiko biadab ini hanya akan meningkatkan ketegangan antara agama serta masyarakat dunia.
“Namun keteguhan mereka yang sentiasa menyeru kepada keamanan dan keharmonian terus dipergiatkan bagi memupuk kestabilan dan kesejahteraan masyarakat dan negara mereka.”
Sumbangan penting Tamadun Islam
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning mengulas insiden pembakaran al-Quran semasa demonstrasi di hadapan sebuah masjid di Sweden, ia sebenarnya mencetuskan protes di dunia Arab dan Islam selain menimbulkan kutukan dan kekecohan.
Sebagai tindak balas kepada soalan, Ning berkata dalam ringkasan harian Kementerian Luar China;
“China sentiasa menjunjung rasa hormat, inklusif dan pembelajaran bersama antara tamadun, dan tegas menentang tindakan ekstremis yang menyerang kepercayaan agama yang berbeza serta menghasut pertembungan tamadun apalagi mencetuskan Islamofobia.”
Tegasnya lagi, tamadun Islam telah memberi sumbangan penting kepada tamadun dunia. Akidah Islam dan sentimen agama mesti dihormati.
“Apa yang dipanggil ‘kebebasan bersuara’ tidak seharusnya menjadi alasan untuk mencetuskan konflik dan menimbulkan permusuhan antara tamadun.”
Berikutan itu, China akan sentiasa bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk menegakkan semangat inisiatif tamadun global, menggalakkan pertukaran antara tamadun dan dialog, dan bersama-sama menjaga kepelbagaian tamadun dunia.
Boikot Sweden?
Dalam pada itu, Mufti Besar Kesultanan Oman, Ahmed bin Hamad al-Khalili berkata, Sweden tidak berpuas hati dengan jenayah besarnya terhadap Islam dan terhadap sifat normal, dan di sini ia memberikan cabaran terbesar kepada seluruh negara Islam dengan membakar al-Quran pada hari raya umat Islam.
“Di manakah umat Islam? Di timur dan barat dunia, apakah yang perlu untuk menghadapi jenayah ini?”
Tegasnya, sekurang-kurangnya yang perlu diambil terhadap jenayah besar ini ialah memboikot sepenuhnya.
“Iaitu dengan menolak untuk membeli apa-apa daripada produknya, dengan penarikan semua transaksi kewangan antara negara ini dan mana-mana negara Islam, sama ada kerajaan, institusi atau individu Muslim.”
Kesatuan Eropah dalam kenyataan yang disiarkan di laman web rasminya, berkata:
“Kesatuan Eropah (EU) menyertai Kementerian Hal Ehwal Luar Sweden dalam bantahan kerasnya terhadap pembakaran naskhah al-Quran di Sweden. Perbuatan ini sama sekali tidak mencerminkan pandangan Kesatuan Eropah.”
“Selain itu, ia adalah salah satu bentuk tidak menghormati serta mewujudkan tindakan provokatif yang jelas, manifestasi perkauman, xenofobia dan sikap tidak bertoleransi yang berkaitan, tentunya tidak mempunyai tempat di Eropah.”
Tambahnya lagi, lebih dikesali tindakan sebegitu dilakukan ketika perayaan yang diraikan umat Islam iaitu Aidiladha.
“Kesatuan Eropah terus mempertahankan kebebasan beragama atau kepercayaan dan kebebasan bersuara, di luar negara mahupun dalam negara. Sekarang adalah masa untuk berdiri bersama untuk persefahaman serta rasa hormat seterusnya mengelakkan sebarang permusuhan yang lebih buruk.”
Selain itu, Kesatuan Eropah mengikuti dengan teliti perkembangan di Baghdad dan menyeru agar bertenang dan menahan diri.
“Kami mengutuk serangan ke atas bangunan diplomatik,” ia menyatakan demikian bagi merujuk kepada serbuan penunjuk perasaan di sekitar kedutaan Sweden di Baghdad berikutan seruan daripada pemimpin Syiah di Iraq, Muqtada al-Sadr.
Cetus kemarahan
Sheikha Qatar, Maryam Al Thani, membalas ciapan Twitter oleh jurucakap EU untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Luis Miguel Bueno, yang mana beliau kononnya menangani isu pembakaran naskhah al-Quran semasa demonstrasi di hadapan masjid di Sweden pada hari pertama Aidiladha.
“Masalah kami bukanlah nilai moral mereka merosot dan kesuciannya tidak dihormati, tetapi masalahnya ialah apabila ia tidak menghormati nilai dan kesucian orang lain, bahawa ia adalah contoh yang buruk bagi semua manusia!” ciap Luis Miguel Bueno.
Menurutnya, membakar al-Quran adalah tindakan yang sangat memalukan yang menyinggung perasaan dan kepercayaan ramai orang di Kesatuan Eropah dan di seluruh dunia.
“Terdapat 446 juta rakyat di Kesatuan Eropah. Seorang individu pelampau tidak mewakili mereka. Dia juga tidak mewakili nilai kita semua.”
Bagi pihaknya, Sheikha Qatar mengulas ciapan jurucakap Eropah itu dan berkata:
“Semua orang tahu bahawa apa yang dilakukan adalah dengan persetujuan kerajaan Sweden! Menurut dakwaan anda, tingkah laku itu adalah individu, tetapi tingkah laku ini diulang beberapa kali, dan kami tidak nampak apa-apa tindakan pencegahan oleh Kesatuan Eropah!”
“Jika tidak adil menghakimi orang Eropah kerana tingkah laku seseorang, maka mengapa anda menilai orang Islam sebagai pengganas kerana tingkah laku seorang individu?!” tegasnya.
Polis beri kebenaran
Polis Sweden mengumumkan bahawa mereka telah membenarkan penganjuran demonstrasi yang penganjurnya merancang untuk membakar naskhah al-Quran di luar Masjid Besar Stockholm, bertepatan dengan Hari Raya Aidiladha.
Dalam keputusan tersebut, polis menyatakan bahawa sifat risiko keselamatan yang berkaitan dengan pembakaran naskhah al-Quran itu bersesuaian dengan undang-undang semasa, iaitu tidak boleh menolak permohonan itu atas dasar kebebasan bersuara.
‘Lampu hijau’ tersebut diberikan dua minggu selepas mahkamah rayuan Sweden menolak keputusan polis yang enggan memberikan permit untuk dua demonstrasi di Stockholm yang merancang al-Quran dibakar.
Polis memetik kebimbangan keselamatan pada masa itu, selepas pembakaran naskhah al-Quran di luar kedutaan Turkiye pada Januari mencetuskan tunjuk perasaan berminggu-minggu dan gesaan untuk memboikot produk Sweden sambil menghalang usaha Sweden untuk menyertai NATO.
NATO: Finland okey, Sweden tidak
Speaker Parlimen Turkiye, Mustafa Sentoub mengumumkan bahawa meluluskan permintaan Sweden untuk menyertai NATO adalah sesuatu yang mustahil.
“Kami hanya melihat kenyataan mereka tentang ketegasannya dalam memerangi unsur pengganas, tetapi tidak untuk yang ini.”
Dalam perkembangan lain, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan bahawa kedudukan negaranya positif berhubung permintaan Finland untuk menyertai NATO, tetapi ia tidak menyokong permintaan Sweden.
Semasa ucapan yang ditujukan kepada ahli parlimen Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP), beliau menyatakan bahawa kedudukan Turkiye terhadap Finland adalah positif, tetapi tidak terhadap Sweden.
Beliau berkata, Sweden tidak seharusnya bimbang dengan beban mencuba pada peringkat ini.
“Kami tidak akan berkata ya kepada permintaan mereka untuk menyertai NATO selagi mereka membenarkan tercetusnya pembakaran naskhah al-Quran.”
Pada awal minggu ini, beliau menyatakan bahawa Ankara akan bersetuju dengan Finland menyertai pakatan sebelum Sweden.
Seterusnya, Menteri Luar Finland, Pekka Haavisto memberi maklum balas bahawa negaranya komited terhadap pelan permohonan bersama itu.
Bantahan tidak dijangka
Pada tahun lalu, Sweden dan Finland telah memohon untuk menyertai NATO selepas operasi ketenteraan Rusia di Ukraine. Walau bagaimanapun, mereka menghadapi bantahan yang tidak dijangka daripada Turkiye dan telah cuba memenangi sokongannya sejak itu.
Ankara mahu Helsinki dan Stockholm khususnya mengambil tindakan tegas terhadap Kurdistan Workers’ Party (PKK) dan satu lagi kumpulan yang dipersalahkan Turkiye atas percubaan rampasan kuasa yang gagal pada 2016. Turki dan EU mengklasifikasikan PKK sebagai kumpulan pengganas.
Di samping itu, ketiga-tiga negara mencapai persetujuan mengenai prospek masa depan di Madrid pada bulan Jun, tetapi Ankara menangguhkan rundingan itu berikutan peningkatan ketegangan protes di Stockholm yang mana seorang aktivis Denmark daripada sayap kanan membakar lembaran al-Quran.
Daripada 31 negara anggota pakatan itu, hanya dua negara yang masih belum bersetuju untuk memberikan keahlian kepada Finland dan Sweden, iaitu Turkiye dan Hungary.
Mengikut peraturan NATO, semua ahli mesti bersetuju dengan permohonan sesebuah negara untuk menjadi ahli baharu.
Terdahulu, Erdogan menegaskan bahawa Sweden tidak seharusnya menunggu sokongan Turkiye terhadap permintaannya untuk menyertai NATO selepas insiden pembakaran al-Quran di hadapan kedutaannya di Stockholm pada 21 Januari lalu.
“Sweden tidak seharusnya menunggu sokongan daripada kami untuk menyertai NATO. Jika anda tidak menghormati kepercayaan agama Republik Turkiye atau umat Islam, anda tidak akan menerima sokongan daripada kami,” kata Presiden Turkiye itu.
Organisasi tersebut melaksanakan Perjanjian Atlantik Utara yang ditandatangani pada 4 April 1949 dengan menggunakan sistem keselamatan kolektif, yang mana negara-negara anggota bebasnya bersetuju untuk saling mempertahankan sebagai tindak balas terhadap serangan oleh mana-mana pihak luar.
Ibu pejabat NATO terletak di Haren, Brussels, Belgium, sementara markas Operasi Komando Bersekutu terletak berhampiran Mons, Belgium.
Atriza Umar
Pegawai Jabatan Komunikasi dan Media
Pertubuhan IKRAM Malaysia