Suatu pagi ketika menunaikan haji wada’, Rasulullah SAW meminta bantuan Ibnu Abbas untuk mengutip batu-batu sebagai persediaan melontar Jamrah Aqabah. Ketika itu baginda berada di atas kenderaan.
Kemudian apabila Ibnu Abbas meletakkan batu-batu kecil di atas tapak tangan Rasulullah SAW, baginda pun bersabda yang bermaksud: “(Ya) sebesar ini! Jauhilah kamu ghuluw (melampau) dalam agama, kerana sesungguhnya ghuluw dalam agama telah membinasakan mereka yang sebelum kamu.” (Riwayat Nasa’i, Ibnu Majah, Baihaqi dan Ahmad)
Dalam kisah tersebut, Rasulullah SAW membenarkan tindakan Ibnu Abbas kerana telah mengutip batu-batu yang kecil sahaja kerana itu sudah memadai untuk melontar jamrah. Lalu baginda SAW mengingatkan bahawa rosaknya agama yang terdahulu adalah kerana sifat ghuluw terhadap ajaran para rasul.
Maka tidak perlu berlebih-lebihan dalam hal agama, cukup sekadar apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kerana sifat ghuluw akan banyak mendorong perkara-perkara yang melampau sehingga berlaku perpecahan dalam masyarakat.
Pengertian ghuluw
Ghuluw dalam bahasa Arab bermaksud melampaui batas dan sempadan yang dibenarkan seperti berlebihan dalam ibadah yang telah ditetapkan dalam al-Quran dan Sunnah, berlebihan dalam memuji sehingga menyanjung atau berlebihan dalam mengkritik sehingga menghina.
Ia merupakan sifat ekstrem yang berlebihan membicarakan perkara remeh-temeh serta bersikap keras kepada perkara-perkara cabang (furu’). Sifat ini dilarang dalam Islam kerana ia akan melahirkan kecurigaan yang tidak berasas serta tuduhan yang melulu sehingga memporak-perandakan masyarakat.
Perkataan ghuluw disebut dua kali dalam al-Quran iaitu dalam surah an-Nisa’ ayat 171 dan surah al-Maidah ayat 77.
يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ لَا تَغۡلُواْ فِي دِينِكُمۡ وَلَا تَقُولُواْ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلۡحَقَّۚ
“Janganlah kamu melampaui batas dalam perkara agama kamu, dan janganlah kamu mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar.” (An-Nisa: 171)
Ayat tersebut menjelaskan bagaimana kaum terdahulu telah melampaui batas dalam membicarakan tentang Nabi Isa a.s. dan Allah SWT sehingga mencapai tahap menganggap Nabi Isa a.s. sebagai anak Tuhan serta mempercayai konsep triniti.
Perbicaraan tentang agama yang ditokok tambah sedikit demi sedikit dengan panduan akal semata-mata mampu membawa kepada kesesatan yang sangat parah sehingga terjerumus kepada kesesatan akidah.
Perkataan ghuluw dalam surah al-Maidah ayat 77:
قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ لَا تَغۡلُواْ فِي دِينِكُمۡ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٖ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيرٗا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ ٧٧
“Katakanlah (Muhammad), “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu berlebih-lebihan dengan cara yang tidak benar dalam agamamu. Dan janganlah kamu mengikuti keinginan orang-orang yang telah tersesat dahulu dan (telah) menyesatkan banyak (manusia), dan mereka sendiri tersesat dari jalan yang lurus.”
Ayat ini juga menjelaskan bahawa sikap keterlaluan mengagungkan Nabi Isa a.s. menjadi punca munculnya pelbagai akidah yang menyeleweng mengikut kehendak nafsu pemerintah Rom ketika itu.
Mereka menggunakan agama untuk menyokong tindakan-tindakan mereka sehingga menyeleweng daripada ajaran asal yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. ke arah mentauhidkan Allah SWT.
Jelas bahawa ghuluw adalah tindakan yang melampaui batas syariah serta menokok tambah hal-hal agama kerana kejahilan dan menganggapnya sebagai agama, sedangkan ia bukan dalam perihal agama.
Sikap ini akan menjadikan pengikutnya taksub dengan pandangan sendiri tanpa menghormati pandangan lain. Sampai satu tahap, mereka sanggup mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan dalam agama serta bersikap keras terhadap orang yang berpandangan berbeza.
Faktor yang menyerlahkan watak dan sifat ghuluw
Banyak faktor yang melahirkan watak ghuluw dan ia berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.
Antaranya ialah kerana kejahilan orang itu terhadap agama serta tidak memahami maqasid syariah. Dia lebih cenderung untuk mengikut sesuatu pandangan atas dasar emosi tanpa cuba mengetahui hakikat yang berlaku di sebaliknya.
Akibat terlalu taasub dan fanatik dengan pandangannya sehingga menolak segala bentuk perbincangan, dia bertindak rakus dan gopoh melaksanakan tindakan di luar batasan.
Lihatlah kisah Abdul Rahman bin Muljam al-Muradi yang merupakan seorang ahli ibadah, ahli al-Quran, yang telah mengambil tindakan membunuh Saidina Ali r.a. dengan alasan untuk berjuang atas agama Allah SWT. Ketika dijatuhkan hukuman qisas ke atasnya, dia masih tetap yakin tindakannya mendapat keredaan Allah SWT.
Mengekang ghuluw dengan konsep wasatiyyah
Memahami hakikat keadilan dalam Islam dengan prinsip wasatiyyah merupakan antara cara mengekang sifat ghuluw. Wasatiyyah bukanlah sederhana atau berlebih kurang, malah ia merupakan prinsip keseimbangan, kecemerlangan dan keadilan.
Islam merupakan agama yang seimbang dan telah mengambil kira kepentingan keseluruhan aspek manusia. Al-Qaradawi telah memperincikan enam elemen wasatiyyah iaitu keadilan, istiqamah, terbaik, keamanan, kekuatan dan kesatuan.
Semua elemen ini mencerminkan pendekatan wasatiyyah yang seimbang dalam semua keadaan. Prinsip wasatiyyah perlu diterapkan dalam semua aspek termasuk akidah dan juga ibadat.
Maka, sifat ghuluw juga perlu dielakkan dalam semua aspek berikut iaitu tidak melampau dalam segala tindakan sehingga mendatangkan mudarat kepada diri sendiri ataupun pihak lain.
Wasatiyyah dalam akidah merupakan manhaj terbaik iaitu beriman dengan penuh keyakinan sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah tanpa sebarang tokok tambah dan takwilan yang salah, di samping bersikap terbuka memberi peranan kepada akal dalam mengukuhkan agama dan akidah.
Pendekatan wasatiyyah tidak terlalu ketat (ifrat) dan tidak terlalu longgar (tafrit) serta mengutamakan apa yang lebih utama.
Prinsip ini menolak kepercayaan kuasa jin dan hantu, menolak prasangka bahawa Allah SWT tidak adil apabila ditimpa ujian serta menolak sifat taasub kepada pemimpin sehingga menganggap mereka terpelihara daripada kesilapan.
Malah, wasatiyyah dalam akidah membentuk keharmonian dan perpaduan tanpa membangkitkan permusuhan, pertelingkahan dan perdebatan yang mengelirukan masyarakat.
Kalimah syahadah yang dilafazkan oleh setiap Muslim telah mengikat akidah umat Islam dan tidak sewajarnya mereka dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan hinaan jika berlaku sebarang salah faham dan pertelingkahan. Umat Islam perlu bersatu dengan akidah yang benar tanpa unsur ghuluw sebagai pengikat ukhuwah.
Wasatiyyah dalam ibadah terserlah apabila umat Islam perlu tekun beribadah dan berlumba-lumba menjadi insan yang paling bertakwa, namun dalam masa yang sama tidak melupakan tanggungjawab fardu kifayah yang lain.
Prinsip wasatiyyah dalam ibadah yang tidak memberatkan dan juga tidak terlalu memudahkan telah membuktikan keindahan Islam berbanding agama-agama lain yang sebahagiannya bersifat terlalu keras dalam sesuatu perkara.
Selain itu, perlu juga diberi perhatian terhadap amalan-amalan baharu yang tidak bersumberkan Rasulullah SAW seperti amalan-amalan tertentu yang bersumberkan hadis-hadis palsu.
Perlu ditekankan bahawa dalam usaha memperbanyak amal ibadat serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT, kita perlu merujuk sumber ilmu yang berautoriti.
Semangat tinggi untuk beramal ibadat bukanlah satu lesen untuk mengada-adakan ibadah yang baharu dengan memberi ruang kepada penipuan atas nama Rasulullah SAW.
Secara keseluruhannya, dapat disimpulkan bahawa masyarakat perlu ditingkatkan kefahaman dan ilmu pengetahuan tentang ajaran Islam yang sebenar, seterusnya tidak memandang ringan situasi perkembangan sifat ghuluw dan taasub.
Malah, mereka perlu memahami konsep wasatiyyah dengan penghayatan yang tinggi bagi memastikan keharmonian dan perpaduan dalam masyarakat.
Pn Hasliza Talib
Pensyarah Universiti Islam Selangor