“Sistem pendidikan baharu perlu selari dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan serta menerima bahasa Melayu dan sejarah Malaysia sebagai teras amat signifikan.” – Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar
Titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong yang menegaskan bahawa bahasa Melayu mesti kekal sebagai bahasa utama negara wajar ditafsirkan sebagai satu peringatan penting kepada seluruh rakyat Malaysia.
Bahasa Melayu bukan sekadar bahasa rasmi yang termaktub dalam dokumen perundangan, tetapi merupakan asas pembentukan jati diri, sejarah dan perpaduan nasional.
Dalam konteks negara majmuk seperti Malaysia, bahasa kebangsaan berfungsi sebagai titik temu bersama yang memungkinkan rakyat daripada latar belakang berbeza berinteraksi atas landasan yang sama.
Pendidikan pula bukan sekadar proses penyampaian ilmu, sebaliknya medan pembentukan nilai, identiti dan kefahaman tentang siapa kita sebagai sebuah bangsa.
Apabila bahasa kebangsaan diketepikan, yang terhakis bukan hanya medium komunikasi, tetapi roh dan falsafah negara itu sendiri. Justeru, titah ini perlu difahami sebagai usaha mempertahankan keseimbangan antara kemajuan global dan jati diri nasional.
Seiring dengan itu, Pelan Strategik Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2026 menekankan penghasilan graduan holistik yang mempunyai keupayaan dwibahasa dan pelbagai bahasa, namun tetap berpaksikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan simbol kontrak sosial negara.
Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat nilai hormat, termasuk hormat kepada bahasa, budaya dan sejarah negara. Bahasa Melayu dalam konteks pendidikan tinggi bukan penghalang kemajuan, sebaliknya wahana pembinaan pemikiran kritis dan keutuhan identiti nasional dalam dunia tanpa sempadan.
Pencemaran bahasa Melayu
Salah satu isu utama yang disentuh dalam titah tersebut ialah pencemaran bahasa Melayu, khususnya dalam suasana pembelajaran dan komunikasi yang semakin bebas tanpa batasan jarak, waktu dan kawalan.
Pengaruh teknologi digital, media sosial dan budaya global mempercepat percampuran bahasa sehingga menjejaskan struktur, keindahan dan kehalusan bahasa Melayu.
Jika keadaan ini dibiarkan tanpa kesedaran dan tindakan, bahasa kebangsaan berisiko menjadi sekadar bahasa fungsional yang kehilangan nilai estetik dan identitinya. Seperti ungkapan yang sering diperingatkan, “Kalau tiada bahasa, lenyaplah jiwa bangsa.”
Dalam kerangka Malaysia MADANI, nilai hormat diangkat sebagai salah satu teras utama pembinaan negara. Hormat kepada bahasa, adat dan budaya merupakan prasyarat kepada keharmonian masyarakat majmuk.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menyeru rakyat Malaysia agar menghentikan pertelingkahan berpanjangan berkaitan isu bahasa dan kembali menumpukan usaha membina masa depan negara yang lebih bersatu padu dan berdaya saing.
Polemik bahasa yang tidak berkesudahan hanya akan melemahkan perpaduan nasional serta mengalihkan perhatian daripada cabaran sebenar seperti pendidikan berkualiti, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Bahasa yang matang, dinamik
Sejak kemerdekaan, bahasa Melayu telah ditetapkan sebagai bahasa kebangsaan dan kedudukannya diperkukuh melalui Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Peruntukan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan kontrak sosial dan kontrak moral kewarganegaraan.
Dalam mana-mana negara bangsa, kewarganegaraan bukan hanya status undang-undang, tetapi satu komitmen bersama untuk menghormati simbol, sejarah dan bahasa negara.
Menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak bermaksud menolak kepelbagaian linguistik, sebaliknya mengiktiraf satu asas bersama yang memungkinkan kepelbagaian itu berkembang secara harmoni.
Keistimewaan bahasa Melayu juga terletak pada kekayaan lapisan dan fungsinya. Terdapat bahasa istana yang mencerminkan kedaulatan dan adab terhadap raja, bahasa halus yang menjaga kesantunan dan keharmonian sosial, bahasa kiasan yang sarat dengan kebijaksanaan, bahasa sastera yang merakam pemikiran bangsa, serta pelbagai loghat kedaerahan yang memperkaya warisan budaya.
Kesemua ini membuktikan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa yang matang, dinamik dan berakar dalam peradaban panjang Nusantara.
Dasar Pendidikan Kebangsaan menegaskan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada peringkat awal dan menengah, di samping mengiktiraf kepentingan penguasaan bahasa lain.
Pendidikan pelbagai bahasa bukan ancaman kepada bahasa kebangsaan, malah boleh menjadi kekuatan sekiranya dilaksanakan secara seimbang dan berprinsip.
Bahasa kekalkan nilai budaya
Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia, Haji Badlishah Sham Baharin, turut menegaskan bahawa bahasa ibunda berperanan penting dalam mengekalkan nilai budaya dan sejarah sesuatu bangsa, dan setiap individu memikul tanggungjawab memastikan bahasa ini terus hidup dan berkembang.
Dalam konteks hubungan sosial, peribahasa “Serumpun bak serai, sesusun bak sirih” mengingatkan bahawa perpaduan hanya dapat dicapai melalui sikap saling menghormati. Jika kita mengharapkan orang lain menghormati agama, budaya dan bahasa kita, maka kita juga perlu menghormati sensitiviti pihak lain.
Hal ini termasuk juga dalam penggunaan media sosial. Pandangan yang tidak berhemah mudah mencetuskan perbalahan dan meretakkan hubungan antara kaum. Kepekaan dan tanggungjawab bersama amat diperlukan bagi memastikan ruang awam kekal sebagai medan dialog yang matang dan beradab.
Titah Yang di-Pertuan Agong ini juga selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menekankan kerjasama, persefahaman dan penghormatan antara entiti negeri dan rakyat dalam membina negara yang harmoni.
Dalam negara majmuk, bahasa kebangsaan berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan perbezaan, bukan tembok yang memisahkan. Tanpa bahasa bersama yang dihormati, ruang awam mudah terpecah kepada kelompok tertutup yang hanya berinteraksi sesama sendiri.
Kesimpulannya, bahasa Melayu perlu terus dimartabatkan sebagai nadi negara bangsa, tunjang perpaduan nasional dan teras pembinaan jati diri rakyat Malaysia.
Menghormatinya bukan bererti menolak kepelbagaian, tetapi mengiktiraf satu titik temu bersama yang memungkinkan masyarakat majmuk bergerak ke hadapan secara inklusif dan bersatu.
Mempertahankan bahasa kebangsaan ialah tanggungjawab kolektif demi memastikan warisan, nilai dan jiwa bangsa ini kekal berpanjangan untuk generasi akan datang.
Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Ahli Majlis Bahasa Negara
Pengerusi Women in Future Technologies (WiFT), MYRAS




