Bahasa Melayu: Bagaimana Teknologi AI Menjiwainya?

Bahasa Melayu: Bagaimana Teknologi AI Menjiwainya?

Bahasa ialah anugerah agung yang membezakan manusia daripada makhluk lain. Melalui bahasa, manusia menzahirkan akal dan hati, dua anasir yang membentuk tamadun, maruah dan peradaban insan.

Bahasa Melayu, sebagai bahasa jiwa bangsa, bukan sekadar alat komunikasi, tetapi cerminan akhlak, budi dan nilai masyarakat kita.

Dalam menyambut Bulan Dekad Bahasa Melayu, kita perlu menyedari bahawa dunia kini sedang beralih ke arah kecerdasan buatan (AI), era mesin bukan sahaja mampu berfikir, tetapi juga “berkomunikasi” dengan manusia.

Persoalannya, mampukah AI menjiwai nilai kemanusiaan seperti kasih, empati dan adab? AI kini menjadi “rakan komunikasi” dalam kehidupan seharian daripada telefon pintar hingga ke bilik darjah dan ruang pekerjaan.

Namun, di sebalik kepintaran algoritma, masih wujud jurang nilai. Mesin mampu meniru bahasa, tetapi tidak memahami budi. Kebanyakan model AI juga masih kurang mesra bahasa Melayu.

Ia bukan sekadar isu teknikal, tetapi persoalan maruah bahasa dan identiti bangsa. Bahasa Melayu mesti diangkat dalam pembangunan teknologi agar ia terus hidup dalam ruang digital yang beradab dan berjiwa.

Komunikasi insani

Dalam mendepani gelombang digital, konsep komunikasi insani perlu menjadi teras. Komunikasi insani ialah seni menyulam teknologi dengan empati menggunakan bahasa untuk menyampaikan makna, bukan sekadar maklumat.

Apabila AI dibangunkan berasaskan prinsip kemanusiaan, teknologi akan menjadi lebih beretika dan mendidik, bukan sekadar canggih dan efisien.

Sebagai contoh, sistem pembelajaran berasaskan AI boleh memperkenalkan pelajar kepada pantun, peribahasa dan kisah rakyat Melayu yang sarat dengan nilai murni.

Dalam media sosial pula, pendekatan komunikasi insani mampu menangkis budaya kebencian dengan menanam adab, kasih dan hormat. Inilah roh yang perlu diterapkan dalam setiap pembangunan teknologi agar kemajuan digital tidak melahirkan masyarakat tanpa hati.

Bahasa Melayu merupakan warisan budaya dan identiti nasional yang perlu diperkukuh dalam menghadapi arus globalisasi teknologi, khususnya kecerdasan buatan.

Walaupun AI semakin meluas penggunaannya, pembangunan teknologi yang mesra bahasa Melayu masih terhad dan menimbulkan kebimbangan tentang potensi terhakisnya nilai warisan, kesantunan serta peranan bahasa ibunda dalam komunikasi insani.

Ilmu, nilai dan teknologi 

Pertubuhan IKRAM Malaysia memainkan peranan penting sebagai benteng nilai dan penyubur akhlak masyarakat. Melalui inisiatif dakwah, pendidikan dan kesukarelawanan sosial, IKRAM menegakkan keseimbangan antara ilmu, nilai dan teknologi.

Program seperti wacana kemanusiaan, literasi digital Islamik dan kepemimpinan remaja membuktikan komitmen IKRAM untuk membina masyarakat beradab, berilmu dan berakhlak.

Menurut Pertubuhan IKRAM Malaysia (2023) dalam laporan IKRAM dan Falsafah Masyarakat Beradab Digital, bahasa dan teknologi harus dipandu oleh prinsip rahmah dan kesejahteraan sejagat.

Pendekatan ini membimbing masyarakat agar berinteraksi secara beretika dalam dunia siber, tidak menghakimi tetapi mendidik; tidak menyinggung tetapi menyantuni. Bahasa menjadi jambatan dakwah yang menyatukan masyarakat pelbagai latar, bukan sekadar medium komunikasi.

Nilai bahasa dan budi 

Baru-baru ini, kejayaan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu dan Malam Puisi Mengukir Bangsa turut membuktikan bahawa bahasa dan seni masih berdenyut sebagai nadi bangsa.

Dalam mengangkat nilai bahasa dan budi, dengan menyanjung warisan tokoh sastera tersohor Allahyarham Dato’ Usman Awang, yang diiktiraf sebagai Tokoh Mengukir Bangsa (Penyair Tersohor). Acara tersebut menghimpunkan cendekiawan, penyair dan penggiat budaya yang membincangkan peranan bahasa Melayu dalam arus globalisasi teknologi.

Ia bukan sekadar ilmiah, tetapi simbol penyatuan antara bahasa, seni dan nilai. Malam puisi pula mengingatkan kita bahawa kata-kata yang indah mampu membina bangsa yang berjiwa seiring dengan gagasan “AI berakal, manusia berhati”.

Bahasa Melayu ialah aset strategik bangsa dan perlu diarusperdanakan dalam pembangunan teknologi masa depan. AI yang memahami konteks budaya dan nilai tempatan boleh menjadi pemangkin kemajuan beretika bukan sekadar alat pintar, tetapi sahabat insani.

Kerjasama antara universiti, industri dan masyarakat sivil amat penting untuk merealisasikan hasrat ini. Institusi akademik perlu melahirkan pakar bahasa digital, industri teknologi harus membangunkan sistem AI dwibahasa, manakala IKRAM boleh menjadi jambatan nilai dan akhlak dalam memastikan teknologi digunakan untuk kebaikan manusia sejagat.

Langkah strategik 

Antara langkah strategik yang dicadangkan termasuk pembangunan korpus data bahasa Melayu berskala besar bagi meningkatkan keupayaan AI memahami bahasa dengan lebih baik.

Standardisasi istilah teknikal bahasa Melayu juga perlu digerakkan melalui kolaborasi antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), institusi pendidikan dan industri teknologi. Dalam bidang pendidikan pula, aplikasi AI berbahasa Melayu wajar diperluas dalam sistem pembelajaran digital untuk memperkukuh penggunaannya dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar.

Selain itu, pembangun AI perlu menekankan unsur “cultural embedding” memasukkan nilai kesantunan, adab dan kearifan tempatan dalam interaksi mesin agar teknologi berfungsi dengan lebih insani dan mesra pengguna. 

Kerajaan pula disaran memberikan insentif kepada syarikat teknologi tempatan untuk membangunkan aplikasi AI yang mesra bahasa Melayu dan berpaksikan nilai murni. 

Akhirnya, kemajuan sebenar bukan diukur pada sejauh mana mesin berfikir, tetapi sejauh mana manusia mampu berkomunikasi dengan hati. Bahasa Melayu harus kekal sebagai bahasa akal dan budi, menjadi suara kasih dan nilai dalam dunia maya yang kian kehilangan makna.

Seperti pepatah Melayu, “Bahasa jiwa bangsa.” Dalam era AI ini, biarlah bahasa juga menjadi jiwa teknologi agar setiap ciptaan manusia bukan sahaja berakal, tetapi juga berhati.

Prof. Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw FCILT
Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia &
Pengerusi Interim Women in Future Technologies (WiFT), MyRAS

3 Tahun PTI Tidak Dapat Dilangsungkan, Kini Tiba Masanya…

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Kulim

Masjid Al Muqarabbin, Taman Angsana, Kulim

Sungai Petani

Masjid Bandar Perdana, Bandar Perdana Sg Petani

Kubang Pasu / Alor Setar

Masjid An Nur IPG Kampus Darulaman, Jitra

Pekan

Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan

Pahang Barat

Surau RPSB Kg. Pagar, Penjom, Lipis

Pahang Barat

Surau Al Hidayah, Kg Melayu Sg Lui, Raub

Kota Samarahan

Masjid Al-Malik, Taman Uni Garden

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email kadri@ikram.my

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia