Bagaimana Sepatutnya Kita Menyambut Ramadan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

PROGRAM MENGHIDUPKAN RABBANIYYAH PADA BULAN RAMADHAN 1437H – 2016M

BAGAIMANA SEPATUTNYA KITA MENYAMBUT RAMADAN

Menemui ikhwah dan akhawat yang dikasihi sekalian.

Segala puji bagi Allah Ta’ala, Pencipta alam semesta, selawat dan salam kepada Rasulullah SAW, kaum keluarga, para sahabat dan para pengikut Baginda sehingga hari kiamat. Sekali lagi marilah kita bersama merafakkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah Azzawajalla kerana nikmat-Nya yang terlalu banyak buat kita sebagai hamba-Nya. Semoga bulan Ramadan yang bakal menjelang ini menjadikan kita orang yang bertaqwa seperti matlamat puasa itu difardhukan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat: 183)

Sesungguhnya telah datang hilal Ramadan.

“Allahu Akbar, Allahu Akbar… Tuhanku dan Tuhan kamu ialah Allah. Ya Allah, jadikanlah kedatangan hilal Ramadan ini dengan keamanan, keimanan, kesejahteraan, ketundukan serta taufik ke arah apa yang Engkau cintai dan redha, hilal yang mengiringi bersamanya kebaikan dan petunjuk. Saya beriman dengan apa yang Dia ciptakan.”

Segala puji-pujian tertentu bagi Allah yang telah membawa pergi bulan Sya’ban dan telah mendatangkan bulan Ramadan.

Waktu seumpama ini pada tahun yang lalu kita telah menyambut Ramadan. Kini bulan yang mulia ini telah kembali lagi dengan penuh bercahaya untuk kita menyambutnya buat kesekian kalinya. Maka kita ucapkan selamat datang kepada bulan ketaatan, bulan tazkiah, bulan ibadah dan kesucian.

Adakah kita sedar bahawa kedatangannya merupakan satu episod dari kehidupan kita yang sebenarnya semakin mengurang, satu peringkat dari sebilangan peringkat yang telah terputus dan satu langkah dalam siri perjalanan kehidupan menuju ke garisan penamat yang tidak diketahui oleh semua insan bagaimana ketentuan yang akan dimuktamadkan untuknya di kemudian hari…

Sesungguhnya waktu tersebut telah hilang dalam lautan masa lalu yang begitu luas. Ia menjadi cair dalam lipatan ombaknya seperti cairnya salji dimamah mentari terik di siang hari lalu musnah dan tidak akan kembali lagi. Demikianlah perjalanan tahun-tahun yang berlalu…

Alangkah baiknya kita semua menghisab diri masing-masing. Apakah masa yang berlalu itu telah digunakan sebaiknya? Apakah yang telah kita laksanakan dan bagaimanakah akhirnya kita di sana nanti?

Tiada hari yang bermula melainkan ia akan menyeru:

“Wahai anak Adam, aku adalah makhluk baru yang akan menjadi saksi ke atas amalan kamu. Maka rebutlah peluang ini kerana aku tidak akan kembali lagi hingga hari kiamat.”

Alangkah rendahnya nilai masa di sisi kita sedangkan ia adalah suatu yang paling mahal dalam hidup. Tidakkah masa itulah sebenarnya kehidupan?

Benar! Masa adalah kehidupan. Mensia-siakan masa bermakna mensia-siakan kehidupan yang tidak akan dapat diganti dengan harta paling mahal milik kita.

Marilah ikhwah dan akhawat sekalian kita melihat apakah yang telah kita jayakan untuk diri kita dan umat kita sepanjang tahun lalu. Adakah kita memperolehi petunjuk dalam bulan Ramadan yang lalu dengan uslub yang betul bagi mentarbiah diri, membersih jiwa serta menggilap akhlak sehingga kita memiliki diri yang suci, memiliki jiwa yang bersih dan akhlak yang baik berbanding sebelumnya.

Jika amalan lampau kita kesali, hendaknya amalan sama tidak berulang lagi di masa mendatang. Ayuhlah kita menyingsing lengan masing-masing bagi merebut peluang yang terhidang di hadapan kita ini… jadikan bulan Ramadan kali ini peluang untuk kita mentajdid iman kita dan amalan kita.

Sehubungan dengan itu, pihak Jawatankuasa Tarbiah (JKT) IKRAM memohon kerjasama daripada semua Yang Dipertua (YDP) IKRAM Negeri dan Pengerusi JKT Negeri untuk menjayakan Program Menghidupkan Rabbaniyyah Pada Bulan Ramadan 1437H – 2016M.

Objektif Umum:

Memperkasa makna rabbaniyyah sepanjang bulan Ramadan tahun ini. Ia dibahagikan kepada tiga mihwar iaitu individu, rumahtangga dan masyarakat.

Setiap mihwar mengandungi kewajipan dan amal tarbawi dan da’awi tertentu. Semoga Allah SWT membantu kita semua insya-Allah.

Slogan umum bulan ini:

“Bersegeralah kamu semua kepada Allah”.

Objektif umum program:

“Jadilah kamu golongan rabbaniyyun”.

 

Kewajipan Amali untuk memperkasakan rabbaniyyah di bulan Ramadan ini:

Pertama: Mihwar Individu

1. Berniat dan berazam untuk memanfaatkan waktu sepanjang bulan Ramadan ini untuk beribadat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT

2. Berusaha khatamkan al-Quran sebanyak dua kali; termasuk berusaha mengkhatamkannya khusus pada 10 hari terakhir dari Ramadan.

3. Memelihara zikir pagi dan petang paling tidak Wazifah Sughra dan jangan meringan-ringankannya.

4. Memelihara solat berjamaah serta takbiratul ihram bersama imam di masjid.

5. Memelihara solat sunat rawatib sebelum dan selepas solat fardhu.

6. Memelihara solat dhuha dan witir setiap hari.

7. Beriktikaf di masjid paling tidak tiga (3) hari terutama pada 10 hari terakhir Ramadan.

8. Menunggu di dalam masjid sejurus selesai solat Subuh sehingga naik matahari dalam keadaan berzikir dan bertilawah paling tidak sekali dalam seminggu.

9. Memelihara solat tarawih dan tahajjud sepanjang Ramadan.

(Kewajipan ini di peringkat individu dan menjadi tanggungjawab murabbinya memutabaah individu berkenaan).

 

Kedua: Mihwar Rumahtangga

1. Menyediakan suasana rumah dengan menghiaskannya untuk menyambut bulan Ramadan.

2. Menggesa isteri dan anak-anak untuk taat kepada Allah pada bulan ini.

3. Mengadakan halaqah tilawah al-Quran harian di rumah.

4. Berkumpul untuk berzikir dan berdoa sejurus sebelum berbuka.

5. Membawa bersama keluarga mengerjakan solat tarawih di masjid.

6. Memilih tokoh tertentu seperti sahabat Nabi RA; mengkaji sirah dan pengajaran bermanfaat dan bersesuaian dengan isteri dan anak-anak. Di samping itu, boleh juga diadakan kuiz untuk menaikkan semangat.

7. Bersedekah dan memotivasi anak-anak ke arah itu, bercakap dengan mereka tentang kewajipan zakat dan lainnya.

8. Menyusun berbuka puasa secara berjamaah di kalangan jiran tetangga paling tidak sekali dalam bulan Ramadan ini.

 

Ketiga: Mihwar Masyarakat

1. Mengucapkan tahniah untuk jiran dan rakan taulan di tempat kerja bersempena kedatangan bulan Ramadan tahun ini.

2. Berbuka puasa secara berjamaah bersama jiran dan kaum keluarga terdekat.

3. Mengingatkan jiran, keluarga terdekat dan rakan taulan di tempat kerja untuk mengeluarkan zakat fitrah.

4. Mengajak jiran bersama-sama ke masjid untuk bertarawih.

5. Berusaha bersama-sama jiran tetangga menghias dan merapikan lorong dan membersih masjid untuk menyambut bulan Ramadan.

6. Menguatkan hubungan paling tidak bersama 10 orang rabtul am sepanjang bulan Ramadan ini dengan menfokuskan tiga (3) orang di kalangan mereka akan bersama kita dalam organisasi mulia ini.

7. Bersama menyusun program beriktikaf di masjid terdekat dengan tempat tinggal masing-masing.

8. Berusaha menyusun program berbuka puasa secara jama’ie di tempat kerja paling tidak sekali dalam bulan ini.

 

Semoga Allah SWT kasih dan redha kepada kita semua.

Semoga Allah SWT panjangkan usia kita untuk sama-sama menyambut bulan Ramadan pada tahun ini.

Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan mereka yang mendapat rahmat dan barakah bulan mulia ini.

Semoga dengan adanya sokongan daripada YDP dan Pengerusi JKT Negeri, program ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya insya-Allah. Segala kerjasama dan jasa baik pihak Tuan, kami dahulukan dengan ucapan jazakumullahu khairan kathira.

Selamat menyambut Ramadan dan marilah kita semua bersegera mendekatkan diri kepada Allah SWT serta jadilah golongan rabbaniyyun.

Sekian. Wassalam.

“UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN”

 

Ustaz Tajul Arifin bin Che Zakaria (UsTACZ)

Pengerusi Jawatankuasa Tarbiah
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
29 Syaaban 1437H / 5 Jun 2016

 

Penafian: Penulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak menggambarkan pendirian IKRAM.

Aneka bangsa dan juga budaya,
Perpaduan terjalin sekian lama,
Selamat menyambut Hari Malaysia,
Walau berbeza, tetap teguh bersama.

Ingin mengikuti pandangan semasa dan info terkini dari IKRAM?
Hantar maklumat anda kepada kami:

ARTIKEL TERKINI

Sumbangan

Untuk membuat sebarang sumbangan anda dialu-alukan untuk menyumbang secara terus kepada mana-mana institusi IKRAM.

Maaf, anda perlu bayar untuk dapatkan kajian ini. Sila hubungi pihak KADRI untuk info lanjut melalui email [email protected]

Berita Terkini IKRAM

Dapatkan info TERKINI

Langgan berita terkini supaya anda tidak ketinggalan info penting daripada Pertubuhan IKRAM Malaysia